Wednesday, April 22, 2020

KALAU TIDAK MAHU MEMBERI ‘BANTUAN’ JANGAN MEMBERI ‘MALU’  
Ulasan oleh Ir.Jovilis Majami  


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah diterajui oleh parti WARISAN tidak seharusnya memalukan rakyat Sabah sekiranya tidak mempu memberi bantuan untuk meringankan beban dalam tempoh masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Menurut Ir. Jovilis Majami jawapan yang diberikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan seperti yang dipetik oleh Utusan Borneo Online seolah-olah menujukan selama ini rakyat Sabah bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan negeri untuk hidup.

Sepatutnya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini boleh dijadiakan landasan untuk menyelesaikan rungutan dan masalah rakyat Sabah sepanjang tempoh PKP ini seperti pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerejaan negeri tidak menyeluruh, rungutan masyarakat bahawa bantuan kerajaan negeri hanya ditempat-tempat tertentu sahaja dan permohonan bantuan ‘one off’ RM300 susah untuk dibuat dan bukannya menuduh rakyat dengan tudauhan yang bukan-bukan.

Ir. Jovilis berkata melabel rakyat dengan kata-kata bahawa ‘membantu rakyat sepatutnya tidak dijadikan budaya sebaliknya rakyat perlu membantu diri-sendiri‘ adalah sangat pedih dan sakit didengar oleh rakyat ketika mereka kini tertekan kerana tidak tahu dimana mendapatkan sumber kewangan untuk membeli keperluan harian akibat daripada mematuhi arahan daripada kerajaan.

 “Saya percaya Ketua Menteri tahu bahawa rakyat kehilangan sumber pendapatan bukanlah disebabkan oleh masalah rakyat itu tetapi sebaliknya disebabkan oleh mereka mematuhi arahan kerajaan untuk tidak keluar berkerja maka sudah seharusnya kerajaan perlu bantu mereka”

“Tindakan kerajaan pusat untuk melaksanakan PKP disusuli dengan memperkenalkan pelbagai ramuan bantuan kewangan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas termasuklah bantuan sokongan kepada kerajaan negeri sebanyak 130 juta sepanjang perintah ini berkuatkuasa sepatutnya digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk membantu rakyat”

Ir. Jovilis menambah tanggungjawab kerajaan pusat untuk melindungi rakyat daripada pandemik COVID19 sudah dilaksanakan manakala rakyat Sabah juga memberi respon yang baik untuk menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang diminta oleh kerajaan jadi kerajaan negeri juga seharusnya menunaikan tanggungjawab meraka kepada rakyat Sabah dan bukannya dengan melemparkan tuduhan yang boleh menambah tekanan kepada rakyat.

Mengulas menganai kenyataan Pengarah Komunikasi Parti WARISAN Ismaily Bongsu bahawa isu ini timbul selepas Ketua Menteri menjawab soalan daripada ADUN Tambunan yang membawa maksud selepas PKP ini selesai, Ir. Jovilis berkata ianya cuma kenyataan untuk meredahkan kemarahan rakyat selepas KM mereka mengeluarkan kata-kata yang tidak elok.

“Saya juga ada meneliti teks ucapan yang disampaikan oleh Dr. Jeffrey G. Kitingan dan lima daripada tujuh perkara yang disentuh oleh beliau adalah menjurus kepada bantuan semasa perintah PKP ini berjalan dan bukannya selepas negara kita bebas daripada COVID19”

Wednesday, April 8, 2020

PAKEJ PRIHATIN TAMBAHAN TERBAIK UNTUK USAHAWAN : FAIRUZ

  Fairuz Renddan

KOTA KINABALU: Usahawan belia di Sabah menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) Tambahan bernilai RM10 bilion bagi Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang diumumkan kerajaan pada Isnin.

Mereka menyifatkan Pakej Prihatin PKS  itu tepat pada waktunya dan mampu membantu meringankan beban pengusaha PKS berikutan Wabak Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Armada Bersatu Bahagian Kota Belud, Fairuz Renddan berkata, beliau dihubungi oleh ramai usahawan belia yang menyambut baik dan menyokong Pakej Prihatin Tambahan itu.

Katanya, mereka juga menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana prihatin dengan masalah yang mereka hadapi.

"Usahawan belia mengalu-alukan Geran Khas Prihatin sebanyak RM3,000 yang diberikan kerajaan kepada pengusaha PKS mikro yang mampu membantu usahawan dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan semalam mengumumkan langkah tambahan Pakej PRIHATIN Tambahan bernilai RM10 bilion bagi meringankan beban kewangan PKS, selain memastikan mereka mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua bantuan sebelum ini.

Muhyiddin berkata, beliau menyedari PKS adalah tunjang utama ekonomi Malaysia yang menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini, di samping hampir 40 peratus kepada ekonomi.

Katanya, penting kerajaan memastikan sektor PKS terus cekal dan mampan dalam menghadapi tekanan dan cabaran ekonomi yang melanda negara ketika ini, terutama masalah aliran tunai ketika pelaksanaan PKP ekoran penularan wabak COVID-19.

Muhyiddin berkata, pakej tambahan RM10 bilion bagi membantu PKS disediakan bentuk kenaikan subsidi upah RM7.9 bilion dan Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM2.1 bilion.

Fairuz berkata, ramai usahawan belia membuat pinjaman daripada syarikat kewangan dan kini boleh menarik nafas lega kerana kerajaan menggalakkan penangguhan pembayaran balik pinjaman selama enam bulan sama seperti pihak bank.

Menurutnya, usahawan belia yang paling terkesan akibat PKP dan Covid-19 adalah mereka yang pengusahakan peruncitan dan perkhidmatan kerana terpaksa menghentikan operasi sepanjang PKP.

"Walaupun berhenti operasi untuk sementara waktu, namun mereka tetap dikehendaki membayar sewa bulanan premis perniagaan dan upah gaji pekerja.

"Bagi yang tidak mampu melangsaikan bayaran sewa bulanan premis, mereka mungkin terpaksa menutup perniagaan sekiranya tuan punya premis enggan memberi pengecualian atau penangguhan bayaran sewa untuk beberapa bulan", tegasnya.

Fairuz berharap pemilik premis swasta di Sabah akan patuh kepada gesaan PM agar memberi kelonggaran sewa ketika PKP dan 3 bulan selepas itu.

Menurutnya ini kerana pemilik bangunan untuk premis perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mendapat pengecualian cukai tambahan bersamaan dengan jumlah sewa bulanan pada April hingga Jun ini.

Syarat pengurangan sewa perlulah sekurang-kurangnya 30 peratus daripada sewaan semasa.

Beliau berkata, program subsidi upah, kerajaan yang dinaikkan jumlahnya daripada RM5.9 bilion yang diumumkan pada 27 Mac lalu kepada RM13.8 bilion amat membantu bagi mengurangkan pemberhentian pekerja.
NAMA PEMIMPIN ROSAK KERANA PENGIKUT SENDIRI  


Nama Dr.Jeffrey Kitingan melonjak naik sejak kebelakangan ini akibat persepsi berbeza di kalangan netizen khususnya golongan penganalisa kurang ternama di laman sosial.

Ramai yang memberikan pendapat tetapi tidak pernah lari dari kritikan malah cemuhan terhadap lelaki bertubuh kecil yang bernama Jeffrey Kitingan ini.

Hampir sebulan ini,saya membaca banyak halaman,banyak teks dari puluhan grup Whatsapp Sabahan malah juga menyubuk masuk sekali sekala ke grup-grup whatsapp yang merangkumi seluruh anggota politik negara yang mana di dalamnya itu ada juga pemimpin-pemimpin tertinggi parti politik besar.

Saya tidak saja melihat komen-komen negatif mengenai Jeffrey,tetapi juga membaca komen-komen membina,kreatif dan munasabah berkenaan Presiden Star Sabah ini.

Satu persoalan sering terlayar di kotak fikir saya ialah ;
Apa sebenarnya salah Jeffrey Kitingan ini kepada rakyat Sabah ?

Menilai keperibadian politik semasa Sabahan,wajarkah kita menutupi kekhilafan pemimpin-pemimpin lain yang seolah-olah suci dari dosa manakala dosa-dosa yang ada itu ditumpahkan ke tubuh Jeffrey Kitingan seorang sahaja ?

Kadang saya terfikir,betapa dungunya pemikiran sesetengah golongan pengkritik itu (tidak kira ternama atau tidak),kerana begitu taksub menjatuhkan hukuman tanpa menilai dari segenap sudut seperti mana lakunya SOP seorang pegawai penyiasat dan mahkamah.

Mencakna situasi ini,saya mengilhamkan beberapa peringkat corak pemikiran mereka.

A. Pentaksub kepada sesebuah parti politik ;
Golongan ini berkiblatkan satu perjuangan sahaja dan memikir bahawa hanya parti mereka sahaja yang berada di landasan yang betul.

B. Individu pencari nama ;
Golongan ini terlalu ramai sehingga mampu memiliki dua atau lebih nombor telefon.Kadang dia soal,kadang dia jawab semata-mata untuk mengujudkan satu situasi atau provokasi.

C. Pemikir dan penganalisa ;
Golongan ini jarang memberikan komen sehingga keadaan sangat memerlukan sahaja atau berperanan sebagai penyalur maklumat,pembaris dan bicara dengan fakta.

D. Sang Al-Gojo ;
Golongan ini sering di panggil sebagai golongan celupar,lantang,keras kepala dan penjatuh hukuman sebelum perbicaraan bermula.

Nah...Silalah lihat di mana kedudukan anda sebenarnya di dalam grup-grup whatsapp yang ada sertai.

Berbalik kepada isu Jeffrey Kitingan itu,nama beliau melambung-lambung di usung oleh tiga katagori di atas iaitu katagori A,B dan D.

Paling popular ialah katagori D yang mana nama Jeffrey Kitingan sangat mudah di cantas,di benam,di lunyai sebelum hukuman maha berat dijatuhkan.

Golongan ini diibaratkan sebagai dialah pengadu,dialah penerima aduan...Dia juga pegawai penyiasat dan bawa ke mahkamah dia sendiri dan di akhirnya dia melantik dirinya sendiri sebagai Pendakwaraya juga peguambela lalu akhirnya dia melantik dirinya sebagai hakim yang bijaksana menjatuhkan seberat-berat hukuman.

Cukup rasanya mengupas satu golongan sahaja kerana anda juga boleh mengopak makna bagi katagori A dan B itu.

Kita imbas dahulu di perenggan atas yang menyebut tentang Kekhilafan dan Dosa seorang pemimpin.

Tahukah anda,tidak pernah muncul seorang pun pemimpin di Sabah ini yang tidak pernah melakukan dosa dan kekhilafan lebih-lebih lagi di masa kini,sejak kebelakangan ini.

Semua saya anggap pendosa...Seperti saya dan anda semua.

Manusia tidak lari dari kesilapan dan dosa.Maknanya,tiada yang suci bersih malah para pengamal agama juga bersetuju dengan saya,rasanya.

Pemimpin datang dan pergi...Bila ternama,disanjung-sanjung...
Bila sudah tiada kuasa,dosa lama di ungkit melambung-lambung...
Macam orang putus cinta atau kahwin cerai..Masa bersama indah belaka,bila sudah putus hubungan,segala keburukan di sembur-sembur melata...

Tetapi ada di antara pemimpin yang melakukan kekhilafan itu,sepantas waktu memperbaiki dan sepantas itu juga menyedari hakiki sebenar.

Selalunya,seseorang pemimpin itu,baik orangnya...
Yang menjahanamkan nama pemimpin adalah pengikut-pengikutnya sahaja..
Bila pengikut berpersonaliti buruk,secara tidak langsung perbuatan dan kata-katanya itu adalah mewakili pemimpin itu sendiri.

Baik tutur budi pengikut-pengikut,baik jugalah nama ketua mereka.

Namun,kebaikan begitu akan menerima serangan dari Katagori A,B dan D kerana mereka berada di pihak seberang sana.Tidak sama tidak sehaluan terutamanya Katagori A.

Pada hemat saya,seorang ketua yang bagus dan logika kepimpinannya adalah seorang yang apabila dia membuat kebaikan yang nyata,berhadapan pula dengan cemuhan,kritikan dan makian dari pihak-pihak lain.

Ibaratnya,seorang perempuan itu perlu menyelami peribadi seorang lelaki sebelum akad nikah termaktub sah suami isteri sebab keduanya akan hidup lama bersama berumahtangga dan beranak pinak.

Melihat dengan nyata kebaikan hati seseorang pemimpin itu ialah berdasarkan pada pekertinya kepada rakyat dan budi bahasanya kepada khalayak seperti apa yang dia sudah lakukan untuk rakyatnya dan bagaimana pula cara dia menyantuni khalayak itu sendiri.

Bila berpandukan kepada apa yang tertulis di atas ini,sekaligus saya ingin berkongsi tiga persoalan dengan anda seperti di bawah ini ;

1. Yang menghairankan,Jeffrey sudah didapati bersalah oleh mereka dan dijatuhkan hukuman berat,tetapi Jeffrey masih jelas bebas sebagai seorang manusia biasa yang menggendong amanah dan tanggungjawabnya selaku seorang ADUN,Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri Persekutuan ??

2. Banyak sangatkah kerusi DUN dan Parlimen milik Star sehingga mampu menerbitkan fenomena ketakutan dan kekhuatiran di kalangan penyokong-penyokong parti lain ??

3. Mengapa lelaki bernama Jeffrey Kitingan ini dijadikan papan bidikan umum setelah beliau menerima jawatan di Kabinet Persekutuan sedangkan umum sendiri tahu bahawa laluan perjuangan Hak-Hak Sabah itu semakin terbuka luas bila Jeffrey dan 5 MP lain kini didalamnya ??

Rakyat harus sedar,Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin baru mahu melangkah tetapi terhalang dengan landaan Covid-19.

Keselamatan rakyat jelata diutamakan dahulu.

Renung-renungkan bersama........
Bodoh tu memang free,tapi jangan kasi tayang selalu kio..






















Monday, April 6, 2020

PERLU TINDAKAN PANTAS UNTUK JAMIN BEKALAN BERAS TEMPATAN  
Dari minda Rahman Dahlan  


Kerajaan perlu mulakan projek menambah bekalan beras di Sabah dengan membuat keputusan pantas untuk aktifkan semula tanah padi yang terbiar di Sabah.

Kawasan jelapang padi di Sabah yang terbesar ialah di Kota Belud dan Kota Marudu. Dua daerah ini adalah berjiran di pantai barat Sabah.

Di Kota Belud ada 6,000 ekar tanah padi. Hanya 2,000 ekar yang di tanam padi kerana 4,000 ekar berdepan dengan masalah pengairan.


Di Kota Marudu beribu ekar lagi terbiar kerana masalah yang sama.

Kawasan tanah padi terbiar memang sudah ada sistem talian air. Walaupun usang tapi masih boleh digunakan jika ada punca air.

Punca air memang ada tetapi yang diperlukan ialah pam air berkuasa tinggi untuk menyedut air dari sungai berdekatan untuk di salurkan ke sistem pengairan dan saliran.

Pada tahun 2008 kita melihat bekalan beras terganggu sehinggakan harga beras naik lebih dari dua kali ganda. Itu hanya kerana China dan beberapa negara lain bermasalah dengan pengeluaran padi mereka . Mereka bolot bekalan beras untuk negara lain dari Vietnam, kambodia dan Thailand pada waktu itu. Sekarang semua negara mahu beras lebih kerana terkesan dengan wabak, bukan sahaja China.

Sebagai respon pada waktu itu, kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk membangunkan beberapa kawasan jelapang padi baru dan meningkatkan hasil jelapang padi yang sedia ada.  

Maka kerajaan mencadangkan sebuah empangan baru dibina di Kota Belud yang mampu menyelesaikan masalah pengairan sawah padi dan seterusnya dapat meningkatkan hasil pengeluaran beras, bukan sahaja di Kota Belud tetapi di Kota Marudu. 

  Empangan Kg.Sayap Kota Belud  

Malah empangan itu juga sekali gus boleh menyediakan bekalan air dan menjana elektrik yang lebih dari mencukupi serta mengawal masalah banjir yang berlaku di Kota Belud.

Malangnya empangan itu tidak dapat diteruskan bila mendapat tentangan dari beberapa pihak terutamanya dari DAP. Maka kita terlepas peluang besar untuk menyelesaikan masalah negeri Sabah dan masalah Kota Belud.  

Sekarang kita kembali kepada realiti. Covid 19 telah menyebabkan rantaian bekalan beras sekali lagi menjadi rumit dan sukar.

  Gambar Hiasan  

Dalam masa kritikal ini, saya cadangkan penyelesaian jangka pendek. Saya minta supaya kerajaan membeli pam-pam berkuasa tinggi yang mencukupi untuk menyedut air dari sungai. Kerajaan juga perlu membeli mesin dan jentera mencukupi untuk memastikan kawaaan baru diairi itu dapt ditanam dengan padi.

Buat masa ini tidak perlu bina empangan atau buka kawasan jelapang padi baru yang memakan peruntukan yang besar dan masa yang lama. Kita tidak cukup kewangan dan kita tidak ada masa. Itu boleh dilakukan bila krisis virus ini telah reda.

Saya tidak rasakan belanja kerajaan besar dalam hal ini. Percepatkan pembelian jentera dan pam-pam tersebut. 

Sekurang-kurangnya Sabah akan mempunyai lebihan bekalan beras tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada beras import jika keadaan bertambah serius.

Jabatan Pertanian Negeri Sabah boleh memberi taklimat mengenai cadangan ini kepada kerajaan pusat. Jelapang padi lain diseluruh Malaysia juga boleh diambil tindakan serupa. 

Semoga Allah melindungi kita dan negara Malaysia.

DARD
UMNO SEPANGGAR AKTIF SERAH BANTUAN SECARA BERPERINGKAT : JAINAB  
Oleh Sam Hj.Othman  


KOTA KINABALU : Umno Bahagian Sepanggar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,telah bergerak ke beberapa kampung dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Rakyat yang terjejas berikutan PKP yang sudahpun masuk ke fasa kedua.

Deligasi misi diketuai oleh Ketua Wanita Umno Sabah Datuk Dr.Hjh.Jainab Ahmad Ayid dan pergerakan dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi Kg.Likas, Kg.Tebobon, Rampayan, Lokub dan Kg.Tatahan.


Kampung lain yang turut menerima antaranya ialah  Kg.Selambangan, Suang Parai, Kalansanan dan Kg.Warisan.

Menurut Jainab lagi,UMNO Sepanggar menubuhkan beberepa delegasi atau kumpulan yang beliau sendiri ketuai manakala beberapa AMT Bahagian pula mengambil bahagian membantu mengerakkan misi bantuan rakyat yg terjejas berikutan PKP yang sudah masuk ke fasa kedua.


“Saya mengetuai kumpulan kecil ke Taman Jaya Diri, Kg Kelansanan, Kg Likas (peringkat 1,2,3),Kg. Jawa, Kg.Gusong, KgSuang Parai, Rampayan, Selambangan, Tebobon dan beberapa kampung yang lain.

Misi tersebut telah sempurna dilaksanakan dan syukur kerana ia berjalan dengan begitu lancar,”kata Jainab ketika ditemui di sini.


"Umno pada dasarnya memberikan bantuan sekadar yang termampu demi rakyat seluruhnya yang terjejas akibat PKP ini.

Alhamdulillah..Dan saya sebagai mewakili seluruh warga UMNO Sabah dan Sepanggar khususnya,mengucapkan jutaan terimakasih kami kepada YB Tan Sri DSP Musa Hj.Aman dan YB Dato' Seri Bung Moktar Radin,Ketua UMNO Sabah di atas keperihatinan dan sumbangan besar ini," ujarnya lagi.


Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada team Umno Sepanggar khususnya kepada Ketua Bahagian yang juga merangkap Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah,Datuk Hj.Yakub Khan dan Timb.KUB (Asri) dalam menjayakan misi kemanusiaan ini.

Katanya,bantuan diserahkan juga kepada semua Ketua-Ketua Cawangan Induk,Ketua-Ketua Wanita,Pemuda dan Puteri untuk diagih-agihkan mengikut senarai yang sedia ada.


Para penerima ketika ditemui turut melahirkan rasa terimakasih kepada Umno Sepanggar atas usaha murni ini dan bersyukur menerima setiap sumbangan bagi meringankan beban keluarga.

Bercakap mengenai Bantuan Prihtin Rakyat yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri,Jainab berharap agar rakyat menggunakan bantuan tersebut sebaik-baiknya untuk keluarga sepanjang tempoh PKP dan menjelang Ramadhan yang bakal tiba ini.

“Saya juga ingin mengingatkan mengenai SMS Scammer (palsu) yang sering tular mengenai kelulusan BPN.


Jangan terlalu teruja bila SMS tersebut mengatakan anda lulus dan perlu mengisi data-data perbankan anda semula kerana ini semua tidak betul kerana cukuplah anda sudah mengisi borang online dari bpn.hasil.my ,maka tidak perlu lagi melayani permintaan SMS dari nombor telefon yang meragukan,” jelas Jainab.

Beliau juga turut berpesan agar rakyat Sabah khususnya warga Sepanggar agar terus mematuhi PKP dan berusaha bersama-sama untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 supaya kita semua kembali dalam keadaan normal seperti dahulu.

“Kalau perlu mau keluar rumah bagi membeli keperluan asas harian,gunakanlah Face Mask,sarung tangan getah dan hand sanitizer.

Elakkan berdiri terlalu rapat dengan orang lain sekurang-kurang dalam jarak 1 meter dan apabila anda ingin membeli barang keperluan,perhatikan dahulu,jika sudah pasti itu adalah barangan yang anda mahukan,ambil dan letak di dalam troli atau bakul....Elakkan dari menyentuh banyak barangan dan kurangkan masa anda ketika berada di tempat awam mahupun di pasaraya.

Mandilah atau bersihkan diri dahulu di luar rumah sebelum anda memegang ahli keluarga yang lain...Barang-barang belian anda,letaklah dahulu di luar rumah beberapa ketika atau lapkan barangan tersebut (barangan kering) sebelum membawa masuk ke dalam rumah,” jelas Jainab lagi.

#StayAtHome
#StaySafe

Sunday, April 5, 2020


DAKWAAN WIRA WARISAN TAK BERASAS,PATUT FOKUS BANTU RAKYAT

  Israq Arsit. 

KOTA KINABALU: Wira Parti Warisan Sabah sepatutnya membantu mengurangkan kelemahan Kerajaan Negeri dalam pengagihan bantuan makanan kepada rakyat yang terkesan akibat Wabak Covid-19, kata Ketua Armada Bersatu Negeri Sabah, Encik Mohd. Isquzawan Israq Datuk Arsit. 


Sebaliknya katanya, Wira Warisan tidak wajar terus bermain politik dengan membuat dakwaan tidak berasas kononnya Sabah bersendirian dalam memerangi pandemik Covid-19.


Beliau berkata, kenyataan Timbalan Ketua Wira Pusat, Mohd Ismail Ayub amat tidak matang dan menggambarkan ideologi sempit Wira Warisan Sabah.


Menurutnya, daripada membangkitkan isu-isu yang tidak berasas, adalah lebih wajar Wira Warisan membantu jentera kerajaan negeri mengagih-agihankan pakej bantuan makanan kepada rakyat tempatan yang amat memerlukan bantuan itu.


'Ramai rakyat tempatan Sabah yang layak mendapat bantuan pakej makanan daripada Kerajaan Negeri, namun masih belum memperolehinya lagi.


"Akibat kelemahan dan masalah ketulusan dalam pengagihan itu menyebabkan ramai rakyat terkesan kerana bantuan makanan daripada Kerajaan Negeri tidak sampai kepada golongan sasar yang layak.


"Ini yang sepatutnya menjadi fokus Wira Warisan, membantu agar dapat mengurangkan beban hidup rakyat yang terjejas akibat Wabak Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)", katanya dalam kenyataan, hari ini.


Isquzawan mengulas kenyataan Mohd. Ismail Ayob yang mendakwa bahawa Sabah bersendirian dalam memerangi pandemik Covid-19.


Beliau juga mempersoalkan di mana perginya semua menteri dan timbalan menteri Persekutuan dari Sabah yang dilantik oleh Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.


Isquzawan berkata, Mohd.Ismail sepatutnya maklum dan sedar bahawa Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM130 juta kepada semua negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).


Menurutnya, adalah jelas bahawa Kerajaan Warisan Sabah yang kini adalah pembangkang di peringkat persekutuan juga mendapat agihan peruntukan itu.


Selain itu katanya, Wira Warisan seolah-olah tidak mengiktiraf tugas dan peranan kakitangan Hospital dan Klinik Kerajaan, Jabatan Kesihatan Sabah dan pasukan keselamatan yang merupakan jabatan Kerajaan Persekutuan di Sabah yang bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19.


"Mereka adalah kakitangan Kerajaan Persekutuan yang bertugas di barisan hadapan (front lines) menghadapi penularan wabak Covid-19 bersama Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah dan agensi Kerajaan Negeri yang lain", tegasnya.


Katanya, Wira Warisan sepatutnya sedar bahawa Kementerian Kesihatan Sabah yang diwujudkan oleh Kerajaan Warisan tidak mempunyai tenaga pakar dan doktor sendiri untuk menangani Wabak Covid-19.


Isquzawan berkata, rakyat Sabah daripada pelbagai peringkat turut menikmati pelbagai bantuan dan insentif dibawah Pakej Prihatin Kerajaan Persekutuan berjumlah RM250 bilion.


"Ini kerana Kerajaan Persekutuan amat prihatin, peduli rakyat dan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban semua dengan tiada golongan yang akan tercicir", tambahnya.

Wednesday, April 1, 2020

UMNO SABAH GESA INSTITUSI KEWANGAN KERAJAAN NEGERI BERI PENANGGUHAN BAYARAN PINJAMAN



KOTA KINABALU: UMNO Negeri Sabah hari ini menyeru institusi kewangan milik Kerajaan Negeri agar turut memberi penangguhan bayaran ansuran bulanan pinjaman (moratorium) kepada semua pelanggannya.

Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Encik Ghazalie Ansing berkata, sebagai contoh Perbadanan Pinjaman Sabah (Sabah Credit Corporation), Yayasan Usaha Maju (YUM) dan beberapa lagi agensi lain wajar memberi moratorium 6 bulan seperti yang dilakukan oleh bank-bank komersial yang lain.

Katanya, ini adalah bagi memudahkan para peminjam mereka untuk menstruktur semula kewangan berikutan Pandemik Covid-19.

"Rakyat amnya dan para peniaga serta peminjam khasnya sangat terjejas dan terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan  wabak Covid-19 yang melanda  negara ketika ini", katanya dalam kenyataan.

Katanya, institusi kewangan utama di Malaysia telah pun memberikan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk individu, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan syarikat korporat.

"Pakej penangguhan selama 6 bulan ini wajar dinikmati oleh peminjam dan pelanggan Sabah Credit, YUM dan institusi  kewangan negeri yang lain".

"Institusi dan agensi kewangan negeri sepatutnya prihatin dengan nasib dan beban yang ditanggung oleh pelanggan mereka yang hilang mata pencarian kerana tidak dapat keluar bekerja atau berniaga dalam tempoh kritikal ini", tegas Ghazalie.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau berkata, saranan untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman oleh agensi kewangan negeri Sabah amat diharapkan oleh semua peminjam yang terlibat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac 2020 berkata, Kerajaan amat berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia dan industri perbankan yang menawarkan kelonggaran moratorium itu.

Katanya, sebagai balasannya, Kerajaan bersetuju supaya pendapatan pihak bank dari faedah atau keuntungan ke atas pinjaman atau pembiayaan yang terlibat dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan ini, hanya dikenakan cukai apabila pendapatan tersebut diterima selepas tempoh moratorium.

"Selain itu, langkah moratorium akan dipanjangkan dan dilaksanakan bagi pinjaman dengan TEKUN, MARA dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman kepada PKS mulai 1 April 2020", tambahnya.


Kenyataan Media oleh :
Ghazalie Ansing
Ketua UMNO Bahagian Tawau
Pengarah Komunikasi UMNO Sabah