Politik Hari ini :
SINDROM TAKUT BAYANG-BAYANG SENDIRI
Oleh Sam Hj.Othman
Ramai pemimpin politik yang berpendapat bahawa kebangkitan suara rakyat dari segenap pelusuk rantau samada di grup-grup whatsapp mahupun Medsos sebagai angin yang berlalu begitu sahaja.
Selepas menang PRN16,ada wakil rakyat yang mula tinggi diri,lupa asal usul sewaktu masih dalam kumpulan pembangkang malah merasa diri mereka bukan lagi diri mereka yang terdahulu yakni,lupa bahawa kemenangan ciput mereka itu adalah hasil pangkah pengundi yang memberi belas kasihan.
Di tanah Malaya,ribut taufan melanda ‘Sindrom Takut Bayang-Bayang Sendiri’ sehingga lupa bahawa Pandemik Covid19 masih terlalu kukuh berlagak bagai Malaikatul Maut.
Kerana gila kuasa dan gila pangkat,mereka sanggup menikam rakan sendiri tanpa rasa malu dan pada masa yang sama,berusaha untuk memartabatkan Ego masing-masing tanpa berfikir bahawa rakyat memerhati tingkah laku mereka untuk pengadilan seterusnya.
Apakah kerana politik,kuasa dan jawatan itu lebih penting berbanding dari memikirkan kesejahteraan rakyat jelata ?
Mahu di panggil BANGANG & BODOH,kita pula di saman dan di ambil tindakan.
Jadi,wajar bagi rakyat Malaya sana mengadili mereka pada Pilihanraya Parlimen akan datang ini berdasarkan sikap belacan mereka itu di kala negara di landa musibah Covid19 yang makin bermaharajalela.
Hukum mereka sewajarnya kerana mereka tidak peduli kepada nasib dan masalah rakyat (pengundi) tetapi lebih kepada memenangkan poket mereka sendiri.
Di Sabah pula,kesan begitu belum lagi ketara tetapi para penyokong-penyokong parti Malaya ini sudah mula meniupkan sentimen tersebut di grup-grup whatsapp dan MedSos yang sekaligus menggambarkan bahawa mereka ini begitu cenderung kepada pergolakan politik Malaya sedangkan para pemimpin Sabahan pula berusaha sedaya upaya untuk memenuhi aspirasi rakyat dengan penubuhan kerajaan GRS.
Apakah para penyokong parti import ini masih taksub kepada Malaya sedangkan kita di Sabah ini memiliki autonomi dan parti lokal sendiri yang bekerjasama semahu-mahunya ?
Tidak kira dari parti manapun,politik Sabahan bercorak dengan seninya yang tersendiri malah keunikan seni politik tersendiri itulah yang menjadikan Sabah ini negeri yang begitu versetail.
Kesenian politik Sabah ada kembang,ada kuncupnya dan mengamalkan sistem ‘hidup ibarat roda’,ada kala di atas,ada kala di bawah.
Bersembah diri kepada rakyat pada waktu dunia di landa musibah ini adalah suatu tindakan yang bijaksana jika dilakukan oleh para pengamal politik hari ini khususnya yang ingin menjadi calon pilihanraya akan datang.
Rakyat mempersembahkan peluang kepada bakal-bakal calon ini untuk mengetengahkan diri mereka sendiri andai ada terdetik nawaitu mereka mahu bertanding di pilihanraya yang akan datang.
Bakal-bakal calon ini seharusnya mengambil peluang ini untuk berusaha menampilkan diri mereka untuk berbakti kepada rakyat yang mengundi tanpa memikirkan istilah ‘boleh saja menang kerana parti ini pilihan rakyat’.
Istilah ini sudah lapuk dan rakyat bukannya bodoh untuk diperkotak-katikkan dengan istilah zaman purba sebegitu kerana dari parti mana sekalipun kamu,atau siapapun kamu,atau sebesar mana jentera politikmu sekalipun,kamu boleh saja tumbang bila-bila masa tanpa sebarang amaran.
Seseorang calon yang ingin mencalonkan diri mereka untuk bertanding nanti (selepas pandemik menurun dan mungkin SPR bagi laluan pilihanraya),bukanlah kaleng-kaleng orangnya (saya rasa) lantaran untuk menjadi seorang calon pilihanraya ini,sudah tentu anda itu punya kewangan yang mencukupi,pengaruh yang hebat dan mendapat kepercayaan pucuk pimpinan pula.
Setiap calon pilihanraya perlu mengorbankan wang ringgit mereka untuk mendekati rakyat dan waktunya itu sudah ada di depan mata,yakni di musim rakyat terkesan dengan bencana alam dan pandemik Covid-19 ini.
Apakah perlu menunggu ‘bantuan’ dari parti baharulah mahu turun padang ?
Calon ditentukan oleh parti tetapi parti pula mahu melihat komitmen calon yang sesuai,jadi adakah perlu seseorang calon itu menunggu sumbangan parti,kemudian,barulah mahu bergerak menyumbang kepada rakyat?
Pemikiran seperti ini hanya akan membuatkan pucuk pimpinan parti berhak memilih sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai dan berupaya menjadi calon pilihanraya bagi mewakili parti ataupun mengambil pendekatan drastik untuk tidak meletakkan calon di sesuatu kawasan tersebut.
Maknanya,kamu tidak semestinya akan jadi calon pilihanraya walau sekaya mana sekalipun kamu kerana rakyat tidak mahu memilih kamu kelak.
Mutu kewangan yang teguh oleh seseorang yang ingin bertanding di sesuatu kawasan pilihanraya itu haruslah berkorban dahulu mencari dana dari sumber lain (jika kedekut dari poket sendiri) kerana rakyat ingin melihat lebih jelas siapakah yang muncul membantu mereka di saat mereka memerlukan.
Berjanji kosong atau berbohong pada rakyat akan membuatkan rakyat bakal menjatuhkan hukuman di saat-saat akhir kelak.
PENGARUH YANG HEBAT
Pengaruh yang hebat boleh saja lahir dari tindak tanduk keperihatinan seseorang bakal calon itu apabila lebih mementingkan rakyat dari yang lain.
Tetapi,pengaruh yang hebat bukan datang dari laporan sekutu-sekutu terdekatnya yang ‘kaki jeck’ sedangkan pada sebaliknya adalah Zero dan rakyat ‘fed-up’ dengan segala impian yang dijanjikan tidak kunjung tiba.
Akar umbi adalah pengundi dan pengundi adalah penentu masa depan politik kamu.
Ada di kalangan para pengamal politik ini sudah kerapkali masuk keluar kampung berziarah dan menyantuni rakyat walaupun dengan hanya membawa sekampit beras untuk setiap keluarga tanpa memikirkan adakah fahaman politik keluarga berkenaan.
Ini tindakan bijak kerana si pelaku ini sekaligus menonjolkan dirinya kepada orang awam sebagai salah seorang dari Ikon Masyarakat yang prihatin.
Dia tidak menunggu lama untuk memperkenalkan dirinya walau dengan hanya sekampit beras,dia terus bersabar dan berusaha mencari penaja-penaja atau dana yang bukan daripada parti yang dianggotainya sendiri kerana sedia maklum bahawa urusan memohon dana itu banyak prosedur dan lambat ketibaannya.
Dia tidak mengamalkan sikap menunggu hingga bantuan berlori-lori,barulah mahu turun padang,cukup sekadar hari ini membeli 10 kampit beras,cari sasaran warga OKU dan daif atau keluarga yang terjejas lalu hantar sumbangan tersebut sambil bertanya khabar sihat walafiat.
PILIHAN PUCUK PIMPINAN
Bila sudah ada kewangan yang teguh,pengaruh yang hebat dan dikenali oleh rakyat sebagai seorang yang prihatin,baharulah Pucuk Pimpinan akan buka mata.
Tidak bodoh seorang Presiden Parti memilih calon pilihanraya yang mewakili parti dari kalangan pemimpin yang rakyat tidak berapa kenal atau jarang tunjuk muka ke kampung-kampung.
Pucuk Pimpinan tidak ingin menggadaikan maruah partinya semata-mata untuk kepentingan individu pelobi calon itu sendiri sedangkan undi yang bakal di terima hanya ciput dan ini amatlah memalukan sekali.
Pucuk Pimpinan sudah pernah merasai bahawa ada ex-calon-calonnya yang gagah perkasa,tumbang kalah teruk di pilihanraya lalu dek kerana di hukum oleh rakyat atas sebab-sebab keperibadiannya.
Pucuk Pimpinan parti sudah masak tentang asam garam kehidupan dalam karenah politik hari ini yang menonjolkan Rakyat Itu persis Sang Algojo (penjatuh hukuman) dan bukan lagi mahu melihat siapa kamu dan dari parti apa kamu datang.
Rakyat hanya mahu melihat kamu muncul di ketika mereka memerlukan.
Dan bukan pada ketika memerlukan rakyat (undi),baharulah kamu muncul.
Politik hari ini sudah jauh berbeza dari genre politik di tahun-tahun lalu dan adalah menjadi suatu kelemahan bagi setiap pengamal politik yang masih lagi mempraktikkan sistem drama politik yang nyata sudah jauh ketinggalan.
No comments:
Post a Comment