Monday, August 23, 2021

MP KIMANIS WAJAR BERADA DALAM KABINET ISMAIL SABRI



Lebih daripada wajar sekiranya ada pihak tertentu yang berani untuk menyuarakan nama Datuk Mohamad Hj.Alamin,Ahli Parlimen Kimanis sebagai calon mengisi jawatan kabinet baru pimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob,Perdana Menteri ke-9.

Rasional juga jika di lihat dari sudut ‘kengiluan’ rakyat terhadap perlantikan nama-nama established sedia ada dalam Umno yang di anggap sudah ‘otai’ malah masih lagi ‘bekakai’ di dewan pengadilan menangkis segala tuduhan.

Jika di lihat pula dari sudut politik Sabahan itu sendiri,UMNO Sabah hanya ada dua kerusi parlimen iaitu Kinabatangan (DS Bung Moktar) dan Kimanis,Datuk Mohamad Hj.Alamin. 

Mana mungkin Bung melepaskan jawatan penting nombor dua di Sabah apatah lagi setelah diletakkan di kementerian penting kepembangunan negeri.

Alih-alih,Mohamad Alamin adalah pilihan tepat untuk sebarang jawatan di Kabinet Persekutuan agar berlakunya gandingan bahu,jambatan antara Sabah dan Pusat.

Datuk Arthur Kurup (Pensiangan-PBRS), DSP Dr Maximus Ongkili (Kota Marudu-PBS),DS Dr Ronald Kiandee (Beluran-Bersatu) dan beberapa orang MP lagi termasuklah (Senator) Datuk Guandee Kohoi (Star) sudah pernah berada di dalam kabinet sebelum ini dan nasib jawatan masing-masing masih lagi 50-50,samada kekal atau pindah kementerian ataupun tidak lagi di sambung khidmat.

Antara nama-nama di atas, kemungkinan kekal ialah Pensiangan,PBS, Bersatu (Ronald Kiandee) dan Guandee (STAR) manakala yang lainnya wallahualam.

Rakyat meneriak di MedSos mahukan wajah-wajah baharu yang freshie dicantumkan dengan ‘mantan’ menteri yang benar-benar kenampakkan buat kerja sebelum ini.

Saya tertarik dengan sebuah kenyataan dari Sdr Samin Ongki yang menyifatkan Mohamad Alamin seorang yang cukup berkelayakan untuk diletakkan sebaris dengan kabinet persekutuan yang baru ini.

Katanya, Sabah tidak ketandusan pemimpin untuk membarisi Kabinet Malaysia yang bakal diumumkan.

Mau pemimpin muda, berpendidikan tinggi ?

Mohamad Hj Alamin adalah seorang Peguam lulusan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa dan berlatarbelakang pendidikan agama di SMU Toh Puan Hajah Rahmah Kota Kinabalu.

Lagipula, P176 Kimanis yang dimenangi oleh Mohamad bukanlah sebuah kawasan yang kecil malah ianya turut merangkumi 3 buah kawasan DUN dengan jumlah 29,664 orang pengundi berdaftar pada masa itu.

Beliau yang memenangi kerusi parlimen Kimanis dengan memperolehi 12,706 undi (majoriti 2,029) pada bulan Januari 2020, kini hanya menjawat jawatan di GLC sahaja.


-Analisa

STAR TETAP INGIN TERUS PERJUANG HAK-HAK SABAH : JAMES

Oleh Sam Hj Othman

Dr.James Liew


TAHNIAH diucapkan kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di atas perlantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9.

Walaupun kemelut politik Malaysia agak hangat baru-baru ini, harapan kami sebagai rakyat Sabah di dalam Persekutuan Malaysia, tetap ingin terus memperjuangkan hak hak Sabah dan Sarawak dalam MA63,meskipun bukan dalam fahaman atau parti yang sama.

Naib Ketua Bahagian STAR N39 Tambunan, Dr.James Liew Tze Vun berpendapat, adalah menjadi kewajaran sekiranya semua parti-parti tempatan bersatu padu dan saling bekerjasama untuk terus menyuarakan hak-hak Sabahan termasuklah daripada terikat dalam kuasa dan kewangan di dalam pentadbiran Sabah itu sendiri daripada Kerajaan Persekutuan.

Ini adalah salah satu dari perjuangan YB Datuk Seri Panglima Dr.Jeffrey Kitingan,Presiden Star sejak sekian lama.

Kami juga berharap YAB Perdana Menteri baru akan dapat memfokuskan ke arah isu pandemik Covid-19 dan segera memastikan sasaran vaksinasi untuk rakyat Malaysia tercapai sepenuhnya di mana 11 juta lebih telah dilengkapi 2 dos penuh setakat ini.

Bukan itu sahaja, semoga kerajaan baharu di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri akan mampu menjana kembali keaktifan ekonomi, produktiviti, pemulihan kewangan negara dan yang paling penting sekali ialah meningkatkan punca pendapatan rakyat, diletakkan sebagai (priority) keutamaan pentadbiran baru di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri. 

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan baru untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia terjamin, meredakan kekalutan politik semasa dan fokus kepada penyelesaian masalah yang melanda pada negara pada masa ini.

Sekali lagi TAHNIAH diucapkan pada YAB Perdana Menteri Baru Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Dr.James Liew Tze Vun

Naib Ketua Bahagian Parti STAR N39 Tambunan

merangkap Ketua Biro Kebajikan Star Tambunan.

Friday, July 9, 2021

SABAH SERIUS PASTIKAN KESTABILAN POLITIK & EKONOMI TERUS TERJAGA : KONG

Kong Soon Choi
Oleh Sam Hj.Othman

RANAU:Rakyat di Negeri Sabah komited ingin terus melihat kestabilan politik berkekalan di negeri ini supaya ekonomi mampu dijanakan agar rakyat boleh menikmati suasana hidup tanpa tekanan akibat terlalu banyak berhadapan dengan karenah politik.

Demikian menurut Sdr Kong Soon Choi,Timbalan Ketua Wiramuda Star Sabah, sambil menyifatkan kenyataan Dato' Sri Bung Mokhtar Radin semalam yang menyatakan Umno Sabah akan terus kekal bersama Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai bukti bahawa pemimpin politik negeri Sabah amat serius untuk mempastikan kestabilan pentadbiran demi menaikkan ekonomi rakyat dan pembangunan negeri.

“Rakyat Sabah sudahpun menghadapi Pilihanraya Umum Negeri Sabah Ke-16 baru-baru ini dan ia suatu sistem demokrasi yang mana beberapa calon-calon parti politik mengambil bahagian dan telah dipilih oleh rakyat. 

Melalui itu, terbentuklah kerajaan GRS yang ada ketika ini. Harapan rakyat agar selepas PRN Sabah, maka gerak kerja untuk memajukan kawasan dan negeri adalah keutamaan dan bukan mewujudkan isu politik baru yang memberi tekanan kepada rakyat”, jelas Kong ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Beliau juga turut menegaskan bahawa tumpuan utama ketika ini adalah pemutusan rantaian penularan Covid-19 dan proses pemvaksinan kepada seluruh rakyat Sabah amnya dan Malaysia khasnya.

Justeru itu semua pihak perlulah berkerjasama demi memastikan visi dan misi ini dapat dijayakan secara tuntas. 

Kekecohan yang ditimbulkan dengan beragendakan kepentingan politik peribadi hanya akan membantutkan usaha itu termasuk mewujudkan suasana kurang selesa kepada rakyat.

Sehubungan itu, Kong turut bersedia bersama-sama barisan Pemuda Star Sabah bergerak seiringan dengan pihak berwajib dalam semua program vaksinisasi kepada rakyat dimana juga kawasan.

Thursday, June 10, 2021

MENCERNA MAKNA SABAH MAJU JAYA : APA KATA ANAK MUDA

Bersama Tetamu Khas Sdr.Kong Soon Choi

Oleh Sam Hj.Othman


Selain menggunakan platform Zooming,pihak kami juga turut menggunakan segala aspek dan sudut untuk cara mana boleh kita melakukan Wawancara Khas bersama Tetamu Jemputan dalam konteks membicarakan isu-siu penting semasa dalam berbagai genre.

Oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin dikuatkuasakan dalam usaha kita semua membendung penularan dan berusaha melandaikan situasinya,maka pihak Editorial melakukan 'bual bicara' secara teks untuk dipaparkan kepada umum.

Salah satu segmen yang telah berjaya kami utarakan sebagai perkongsian.Tetamu Jemputan kami kali ini ialah Sdr.Kong Soon Choi@Ah Choi,Ketua Wiramuda Star Paginatan,Ranau yang juga merupakan seorang penulis blog dan usahawan muda di Sabah.

Berikut adalah rentetan bual bicara beliau bersama kami di Sabah_Online_News yang dikendalikan oleh Sam Hj.Othman sebagai Moderator Maya.

Tetamu Jemputan : Sdr Kong Soon Choi (KSC)

Tajuk Bicara : Mencerna Makna Sabah Maju Jaya



MODERATOR : Bagaimanakah anda mencerna makna sebenar 'Sabah Maju Jaya' yang dijadikan slogan terbaru Sabah masa kini?

KSC : Pada saya, slogan ini memerlukan komitmen jitu semua peringkat kepimpinan dalam kerajaan semasa yang ada ketika ini.

Untuk menjadikan ianya suatu realiti, saya sebagai anak muda perlu berani tampil menyuarakan segala aspirasi rakyat contohnya isu-isu pembangunan yang tertangguh sekian lama, peluang kerjaya dan peningkatan ekonomi serta kemajuan sumber manusia lain.

Hentikan sikap bagai ‘Katak Dibawah Tempurung’ dan kita kena terbuka menerima apa jua kritikan agar ianya mampu di adun untuk mencapai kesepakatan bagi mengimplementasikan makna sebenar Sabah Maju Jaya.

 

MODERATOR : Bagaimanakah keberkesanannya kepada rakyat apabila ianya dilaksanakan di peringkat daerah,kampung dan masyarakat luar Bandar?

KSC : Rakyat masa kini telah bijak menilai.

Bila mereka mendengar sahaja slogan Sabah Maju Jaya, apa yang terbayang di minda mereka adalah suatu bentuk pembangunan yang maju dan moden.

Maka dengan itu, jika ia dilaksanakan diperingkat daerah, kampung mahupun masyarakat luar bandar, sudah tentu memberikan sinar masa depan cerah kepada seluruh peringkat rakyat.

Inilah yang ditunggu-tunggu oleh segenap masyarakat di negeri ini....Justeru, mulakan dengan agenda pembangunan hakiki terlebih dahulu khasnya soal pembaikan jalan-jalan raya, elektrik dan air kerana itu adalah tuntutan golongan rakyat bawahan di daerah, kampung dan luar bandar.

 

MODERATOR : Pada pandangan anda,dari sudut manakah STAR dibawah pimpinan YB DSP Dr Jeffrey Kitingan,boleh membela nasib Rakyat khususnya di peringkat akar umbi?

KSC : Peranan Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah ketika ini tepat pada waktunya.

Sebagai presiden Parti STAR, umum mengetahui majoriti pemimpin dan ahli organisasi politik ini adalah dikalangan masyarakat Bumiputera Sabahan khususnya suku kaum KDMR.

Sudah tentu mereka mengharapkan peranan dan komitmen jitu DDJK untuk membela nasib mereka.

Pada saya perjuangan DDJK sejak sekian lama khasnya dalam memperjuangkan MA63 memberikan banyak manfaat kepada rakyat akar umbi.

Namun itu diperingkat skop yang lebih luas. Pada masa kini, rakyat akar umbi khasnya di kampung-kampung agak jarang kedengaran lantang menyuarakan isu-isu mega, mereka hanya ingin melihat beberapa isu lama dapat diselesaikan.

Antaranya kerosakan jalan raya, ketiadaan bekalan air dan letrik serta isu-isu komoditi.  Jadi, sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya rasa DDJK wajar memperjuangkan isu ini secara total terlebih dahulu untuk mempastikan rakyat akar umbi benar-benar dapat menikmati taraf kehidupan selesa.

Di samping itu, isu-isu bertaraf global dan ‘High Profile’, DDJK memiliki kepakaran dalam penyelesaian isu berkenaan.

 

MODERATOR : Persepsi warganet sering terpedaya tentang sesuatu perkara atau berita atau perkongsian yang tersebar dengan kecanggihan teknologi melalui MedSos...Apakah yang anda harapkan dari warganet berkenaan berita-berita sahih dan sebagainya?


KSC : Dunia serba canggih ini diakui mampu mempengaruhi sesiapa sahaja.

Saya mengambil contoh, masih ramai rakyat di Sabah yang takut untuk menerima vaksin Covid-19 akibat terlalu terpengaruh dengan penyebaran berita tidak sahih mengenai vaksin tersebut.  Walhal, vaksin itu sebenarnya selamat diterima.

Justeru, saya berharap, bagi mereka yang masih menanam minda ragu-ragu terhadap sesuatu perkara, jangan malu untuk bertanya kepada mereka yang arif atau memiliki pengetahun tentang sesuatu perkara.

Dalam masa sama, bagi mereka yang tergolong sebagai cendikiawan atau bijak pandai, curahkanlah ilmu berguna kepada mereka yang masih ada keraguan agar golongan ini terus terbuka minda untuk sentiasa releven dalam menilai sesuatu perkara atau isu.  

Saya juga mengharapkan agar kerajaan memulakan suatu inisiatif untuk mewujudkan Latihan Dalam Perkhidmatan kepada pemimpin-pemimpin kampung agar setiap penularan berita tidak sahih ini ditepis dengan cara mendapatkan bantuan penerangan daripada agensi atau individu tertentu.

Peranan pemimpin kampung adalah menjadi perantara masyarakat dan kerajaan...Buat warganet yang gemar menyebarkan berita palsu, hentikanlah segera kerana tabiat itu hanya sia-sia dan tidak mendatangkan rezeki kepada anda.

 

MODERATOR : Apakah misi dan visi anda di masa hadapan sebagai anak muda yang berjuang melalui platform politik?

KSC : Visi dan misi saya sangat mudah.....Saya tidak mengharapkan untuk menjadi seperti Gong atau pembesar suara.

Kedua-dua alat ini semakin di palu atau semakin di letak pada mood kuat, maka suara itu kedengaran semakin kuat.

Tetapi bagi saya, sebagai anak muda yang berjuang menerusi platform politik, saya menanam visi dan misi untuk mempastikan suara anak muda semakin lantang menyuarakan segala isu yang membelenggu segenap lapisan rakyat selama ini.

Tidak kira lah isu itu besar atau kecil, asalkan ia memberi manfaat berguna kepada golongan atau kelompok yang besar, maka anak muda kena lantang.

Tetapi lantang bukan secara membuta tuli, sebaliknya secara profesional.


Disamping itu, saya juga telah menggariskan lapan teras perjuangan saya dalam perjuangan politik iaitu :-

 

1. WIRAMUDA STAR SABAH MENJADI TIANG UTAMA TERHADAP PERJUANGAN PARTI YANG MENEGAKKAN AGENDA HAK-HAK SABAH DALAM PERJANJIAN MALAYSIA 1963. 

(Suara Wiramuda Star Sabah akan terus lantang bersama kepimpinan utama parti dalam mempastikan Hak-Hak Negeri Sabah terus seadilnya diberikan oleh Kerajaan Persekutuan)

 

2. WIRAMUDA STAR SABAH AKAN MEMPASTIKAN GOLONGAN MUDA TERUS MENDAPAT PEMBELAAN SEWAJARNYA DARI SUDUT PENINGKATAN EKONOMI. 

(Wiramuda Star Sabah akan membentangkan idea-idea bernas kepada Kerajaan Pusat dan Negeri Sabah mengenai saranan-saranan pembukaan sektor perkilangan, pembuatan, pertanian serta kursus kemahiran yang boleh membantu golongan muda di negeri Sabah meningkatkan taraf ekonomi mereka)

 

3.  PEMBELAAN TERHADAP PEMBANGUNAN PENDUDUK PEDALAMAN.  

(Wiramuda Star Sabah akan mempastikan kedaifan hidup penduduk pedalaman negeri Sabah terus terbela khasnya kanak-kanak sekolah.  Kami akan terus lantang menyuarakan isu-isu kemunduran teknologi maklumat, jaringan capaian telekomunikasi, jalanraya, air dan bekalan elektrik yang hingga kini masih membelenggu kehidupan masyarakat pedalaman di Sabah)

 

4.  MEMPROMOSIKAN KEHARMONIAN HIDUP DIKALANGAN MASYARAKAT PELBAGAI ETNIK DAN ANUTAN AGAMA. 

(Wiramuda Star Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba meniupkan sentimen ‘Racist’ bagi memecah-belahkan keharmonian sejagat yang sekian lama terjalin di negeri Sabah.  Sebaliknya, kami akan terus menjadi contoh kepada masyarakat untuk bersifat adil dan saksama menyantuni setiap insan tanpa mengira kaum, agama dan budaya kehidupan)

 

5.  BERKERJASAMA DENGAN PIHAK KESELAMATAN NEGARA UNTUK MEMPASTIKAN NEGARA DAN NEGERI SABAH TERUS AMAN DAMAI. 

(Wiramuda Star Sabah akan menjadi mata dan telinga kepada Pasukan Keselamatan negara untuk menyalurkan apa juga bentuk maklumat yang boleh mengancam keselamatan rakyat di negara ini khususnya di Negeri Sabah)

 

6. WIRAMUDA STAR SABAH BERHASRAT UNTUK MEWUJUDKAN KOPERASI WIRAMUDA BAGI MEMPASTIKAN KEDUDUKAN EKONOMI SAYAP PARTI TERUS TERJAMIN.  

(Pendapatan koperasi ini turut akan digunapakai untuk menggerakkan aktiviti kemasyarakatan khasnya dalam membantu golongan miskin, OKU dan anak-anak yatim)

 

7.   WIRAMUDA STAR SABAH KOMITED UNTUK MENDESAK AGAR KERAJAAN PUSAT DAN NEGERI SABAH MENGKAJI SEMULA KADAR HARGA RUMAH DI NEGERI SABAH YANG TERLALU TINGGI. 

(Isu ini menyukarkan pembeli rumah khasnya dikalangan golongan muda yang baru memulakan kerjaya memiliki rumah kediaman sendiri)

 

8.    WIRAMUDA STAR SABAH KOMITED MEMPERJUANGKAN 7 TERAS PERJUANGAN AGENDA BORNEO SEPERTIMANA YANG TELAH DIGARISKAN OLEH BARISAN BORNEO BERSATU. 

(Wiramuda Star Sabah komited berjuang menuntut pengembalian hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak, syarat serta jaminan yang tidak ditunaikan semasa Pembentukan Malaysia melalui Laporan Jawatankuasa Antara-Kerajaan (JAK) 1963 yang ditandatangani di London).

Walau bagaimanapun, saya percaya, misi dan visi ini tidak mampu saya pikul sendirian.

Ianya sudah tentu memerlukan kerjasama semua peringkat dalam kepimpinan wiramuda parti. Adunan kuat dan seimbang antara seluruh AJK Tertinggi dan AJK bawahan amat penting bagi menjadikan misi dan visi ini lebih kuat untuk direalitikan sebagai sebuah perjuangan yang memberikan manfaat seluruh peringkat rakyat.

Justeru, saya akan terus bersedia membuka minda menerima apa jua idea bernas dan baru dari rakan-rakan seperjuangan bagi menguatkan lagi gerak langkah merelalisasikan misi dan visi ini.


DEMIKIAN LAH HASIL BUAL BICARA KAMI BERSAMA SDR.KONG SOON CHOI.

Terimakasih.

Wednesday, April 7, 2021

TANDA PRU15

 tanda-tanda PRU15 menjelang tiba (episod 2)

GRS ATAU SEJARAH PRN16 BERULANG KEMBALI ?

oleh Sam Hj.Othman



Episod ke-2 ini lebih menekankan kepada sasaran yang cuba untuk di intai oleh Star pimpinan Datuk Seri Panglima Dr.Jeffrey Kitingan,Presiden Star yang juga bakal mempertahankan kerusi P180 Keningau.

Terdahulu,Setiausaha Agung parti itu Datuk Guandee Kohoi menyebut pada Februari lepas bahawa Star bercadang untuk bertanding lapan kawasan disasarkan di PRU15 nanti iaitu Tuaran,Sepanggar,Keningau,Pensiangan,Kota Belud,Putatan dan Penampang.

Manakala baru-baru ini,Presiden Star pula tidak menolak kemungkinan akan kekal melabuhkan cabaran hanya di 5 kawasan.

Kemungkinan itu kelihatan menjurus kepada kawasan Penampang, Keningau, Pensiangan, Putatan dan samada Tenom ataupun Kota Belud.

Pada dasarnya,saya melihat bahawa tidak ada kewajaran untuk Star melabuh cabaran di Sepanggar dan Tuaran kerana taji parti itu masih terlalu tumpul di dua kawasan ini.

Begitu halnya apabila ramai yang menyebut bahawa Star perlu bertanding di Kudat dan Kota Belud berdasarkan riuh khabar di meja bincang umum.

Tidak mustahil sebenarnya Star mengidam dua kerusi ini (Kudat/Kota Belud) bila melihat kepada tindak balas akar umbi yang kami telusuri sebulan dua lalu.

Saya ingin mengupas sedikit APAKAH WAJAR STAR BERTANDING DI KUDAT DAN KOTA BELUD ?

KUDAT merupakan salah satu dari kubu kuat UMNO suatu ketika dahulu yang mana kekuatan itu kini beralih kepada Bersatu apabila Ahli Parlimen Kudat Datuk Rahim Bakri meninggalkan UMNO.

Tidak dinafikan bahawa tindakan Rahim ini banyak melukakan hati warga khususnya penyokong-penyokong Umno itu sendiri lalu mencetuskan suatu fenomena 'dendam kesumat' untuk Umno merampas kembali kerusi itu melalui pilihanraya.

Kemunculan Star di beberapa kawasan di Kudat terutamanya di DUN Tg.Kapor,bukanlah satu alasan memungkinkan Star melabuh cabaran di sana.

Perlu di ingat,Kudat terbahagi kepada dua yakni 'telinga peta Sabah' dan bukan hanya Bandar Kudat sahaja.

Kawasan Bengkoka di dalam Parlimen Kudat dipelopori oleh suku KDMR dan Sungai manakala di Bandar Kudat pula terdapatnya majmuk masyarakat cina dan etnik bajau (terdapat juga suku-suku lain dalam jumlah yang kecil).

Menawan hanya Bandar Kudat sahaja tidak mencukupi meskipun masyarakat cina di sana dikhabarkan memaksimakan sokongan kepada Star melalui kerajaan GRS.

Tidak ada manusia yang sempurna,masing-masing punya kelemahan tersendiri apatah lagi golongan orang politik yang sentimennya sering berubah mengikut senario semasa.

Ini membawa makna,mahu atau tidak,Star perlu melepaskan Kudat kepada Bersatu semula untuk mewakili PN di PRU15 kelak supaya berhadapan dengan Warisan-Upko.

Itu pun jika Umno-BN masih bersetia dengan janjinya tidak menginginkan pertembungan antara sesama nanti kerana jika berlaku juga pertembungan tersebut,undi bakal berpecah lagi seperti PRN lalu yang akhirnya memberi kemenangan kepada Warisan-Upko.

Seperti hal nya di Kudat,ketiadaan calon Star berwibawa juga turut melibatkan Kota Belud apatah lagi bila Umno terus-terusan menegakkan ketetapan bahawa Kota Belud itu kubu yang perlu dipertahan dan di rampas semula dari Warisan-Upko.

Saya belum lagi melihat wujudnya calon terbaik untuk Star di Kudat,begitu juga halnya di Kota Belud.

Tidak dinafikan bahawa Kota Belud memiliki ramai ahli-ahli Star sejak sekianlama dan ada di antaranya adalah pejuang-pejuang lama dalam Star (sejak sebelum 2016 lagi).

Beberapa nama muncul untuk ditabalkan sebagai calon PN-Star di Kota Belud tetapi persoalannya,adakah calon-calon itu mampu mengharungi cabaran di 3 suku kaum majoriti ini iaitu KDM,Bajau dan Iranun ?

Memilih A - Iranun tidak mengenalinya.

Memilih B - Tidak popular di masyarakat KDM.

Memilih C - Suku Bajau Sama & KDM tidak mahu.

Pernah dikhabarkan bahawa terdapatnya perjanjian lisan berlaku semasa PRN16 lalu di mana sebuah 'DUN ditukar ganti kepada  Parlimen' (saya kurang berminat kepada isu ini kerana tidak ada hitam putihnya).

Sebelum Ramadan tiba,dengar-dengar sudah ada ura-ura membawa masuk bekas seorang ADUN sebagai persiapan menghadapi PRU15,sahih atau tidak,kita tunggu sebelum 1 Ramadan ini nanti.

Pada hakikatnya, Star boleh bertanding atas tiket PN pada PRU15 ini dengan syarat, menawarkan seorang calon yang benar-benar bisa diketengahkan, yang boleh di terima rakyat majmuk dan bukannya 'chipsmore'. 

Wal hasil balik asal...Kota Belud sebenarnya masih punya kelibat tokoh politik terkemuka seperti Tan Sri Pandikar Amin,Datuk Japlin Akim,Datuk Musbah Jamli dan beberapa orang lagi yang boleh masuk ke gelanggang PRU15 atas tiket PN atau mungkin juga menggunakan kibaran bendera Star-PN. 

Namun, terima atau tidak, Umno kekal mengatakan bahawa P169 itu kubu Umno meskipun tewas mnegejut oleh Warisan di PRU14 dulu. 

Apapun, jika tidak terjadinya pertembungan dan janji Umno Sabah masih kekal di pegang erat yang sekaligus menunjukkan bahawa Parlimen P169 Kota Belud itu masih relevan jika UMNO-BN menandinginya semula dengan harapan dapat di rampas kembali dari Warisan-Upko.

Ertinya,Star-PN akan terpaksa berganding sama dengan sekutu kerajaan GRSnya iaitu Umno-BN dalam sistem 1 lawan 1 (GRS vs Warisan-Upko).


Jika ini terjadi, saya melihat Umno-BN harus membuat pilihan siapa Calon nya (andai bukan Star - PN yang BERTANDING). 

BN mungkin meletakkan Datuk Seri Rahman Dahlan atau Datuk Seri Salleh Tun Said sebagai mewakili GRS menentang calon Warisan-Upko tetapi adalah lebih baik jika kedua-dua tokoh established ini mengetengahkan Azuwan Marjan@Norjan (Ketua Pemuda Umno-BN Kota Belud) dalam usaha menyeimbangi pengundi dari golongan belia kerana golongan belia hari ini lebih sukakan cabaran dengan membawa maksud bahawa calonnya juga mestilah dari muda belia yang cekal,gigih dan mesra rakyat.

Apalah gunanya mengejar kuasa jika akhirnya hanya kekalahan yang di terima ?

Bukankah kemenangan itu lebih penting dalam dunia politik biarpun cuma 10 undi ?

Masalahnya ialah apabila sistem demokrasi itu sudah diperlekehkan di peringkat Bahagian dalam memilih calon-calon teraju parti sehingga membawa kepada sistem berpuak-puak,kau-kau,aku-aku,maka tidak disedari bahawa perpecahan sudah bermula di peringkat akar umbi lagi.

Bagaimana rakyat mahu menyokong jika di peringkat bahagian pun sudah kucar-kacir mencetus permusuhan ?

Apatah lagi bila mahu memilih siapa calon,masing-masing dengan karektor yang merasa dirinya lebih bagus dari orang lain sehingga bila keputusan Bahagian menunjukkan orang lain menang,mulalah berbuat akal yang tidak baik lalu mengempiskan sokongan,menyalahkan demokrasi.

Jika inilah jenis orang yang mahu dijadikan calon pilihanraya,sudah tentulah kepimpinannya kelak tidak menerima sanjungan maksima,cuma dikelilingi oleh wajah-wajah talam dua muka.

Itu pun...Jika tidak ada pertembungan BERLAKU dan kerajaan GRS bertolak ansur dalam semangat kekeluargaannya bersama rakan-rakan parti lain. 


Tuesday, March 16, 2021

TANDA-TANDA PRU15 MENJELANG TIBA ??

BENARKAH PRU15 DI AMBANG PINTU ?

Oleh Sam Hj.Othman


Jika benar gelanggang pilihanraya sudah di ambang mata dan bakal di buka,bagaimanakah persiapan setiap parti untuk menghadapinya dalam keadaan pandemik masih pada tahap jaga.

Persoalan ini muncul di kalangan rakyat tetapi tidak di mata fikir orang politik kerana bagi ahli politik,apa yang ada di kotak fikir mereka hanyalah kuasa manakala soal lain di letak pada level lain.

Sebagai pemerhati politik,saya melihat kemelut pentadbiran merupakan suatu asas kukuh untuk mengadakan sekali lagi pilihanraya dan ianya tidak boleh juga di elak memandangkan keabsahan sistem demokrasi itu dijadikan alasan.

Ia perspektif yang saya lihat di Malaya manakala di Sabah pula,corak tadbir kerajaan yang ada sekarang agak menyakinkan rakyat dan tidak perlu kepada sebuah lagi PRN.

Lainlah di Sarawak,kerana tempoh matang DUN Sarawak sudah tiba dan memerlukan pengundian semula untuk membentuk sebuah kerajaan sehabis tamat tempoh.

Rakyat sering bualkan di kedai-kedai kopi atau apa-apa jua pertemuan mereka mengenai nasib UMNO Sabah,Warisan,PPBM dan lain-lain apabila musim PRU15 itu mendatang.

Masih menjadi tanda tanya samada Pengerusi BN yang juga Ketua UMNO Sabah Dato’ Sri Bung Moktar melangkah benar untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan GRS (soal pembahagian kerusi) di PRU15 nanti.

Atau terpaksa akur lagi kepada desakan pimpinan pusat kerana ianya melibatkan Pilihanraya Parlimen (manakala kerjasama di kerajaan negeri dikekalkan).

Apakah konsep PRN 16 akan digunapakai semula di mana berlakunya pertembungan antara sesama akibat merebut tempat (kerusi),akhirnya membawa kerugian besar kemudiannya ?

Rakyat juga persoal apakah autonomi itu masih relevan di Sabah pada saat UMNO Pusat ingin kembali memegang tampuk pemerintahan negara  ?

Kita yakin saja kepada kebijaksanaan Umno Sabah serta kepimpinannya yang memang sudah established.

Kita amat mengetahui bahawa Pilihanraya Parlimen bukan lah sama seperti Pilihanraya Negeri lantaran itulah rakyat mula fikir yang bukan-bukan sehingga isu ini boleh sahaja  terkeluar dari kotak kepercayaan.

Saya sering gunakan istilah Sang Algojo itu adalah Rakyat-merekalah penghukum sebenar,pada setiap kali saya menulis isu-isu berkaitan politik kerana,sedar atau tidak,rakyatlah juga yang menentu undi untuk memenangkan calon pilihan mereka sendiri.

Banyak kubu-kubu kuat parti jadi roboh bila kempen pilihanraya berakhir dan pihak pimpinan parti harus menerima kekalahan tersebut kerana itulah kehendak rakyat,bukan calon atau penyokong menetapkannya.

Saya tertarik dengan pengumuman Setiausaha Agung Star bulan lepas bahawa parti itu hanya memilih 8 kawasan parlimen sahaja untuk ditandingi meskipun kenyataan itu saya sifatkan hanyalah sebagai cadangan awal sahaja.


Keningau kawasan istimewa kerana ianya bakal dipertahankan oleh penyandangnya Dr.Jeffrey Kitingan dengan bolotan jentera rakan-rakan DUN yang lain (Bingkor,Liawan,Tambunan dan sebahagian Tulid) dan begitu halnya juga jika mempercatur nasib di Putatan dan Penampang.

Cuma agak wenang untuk memperjudikan nasib di sebelah Utara Sabah iaitu di Parlimen Kudat dan Kota Belud,berdasarkan sejarah,lokaliti dan populariti.

Tinjauan krew kami banyak menghabiskan masa berada di dua kawasan parlimen ini dan sehingga kini belum lagi bisa menemukan sebarang KEWAJARAN untuk Star meletakkan calon di Parlimen Kota Belud atau Kudat apatah lagi bagi kawasan Parlimen Sepanggar,Tuaran,Tenom dan Ranau.

Terdapatlah sedikit titik kewajaran jika benar Star mahu meletakkan calon di Parlimen Pensiangan kerana ada beberapa elemen dan isu yang melibatkan pengaruh dari kalangan rakyat jelata di sana.

Saya akan ulas lebih lanjut 8 kawasan parlimen yang bakal Star tandingi ini sejurus selepas kami menamatkan tinjauan akar umbi yang baru sahaja (40%) kami selidiki.

Begitu juga halnya dengan tinjauan kami terhadap parti-parti lokal Sabah yang lain termasuklah parti yang berasal dari Malaya.

Wal hasil balik asal,ada yang berpendapat,sudah tiba masanya parti lokal melakukan anjakan paradigma untuk bergabung membentuk suatu gagasan baharu yang hanya diduduki oleh parti Sabahan sendiri sahaja.

Ini masuk akal kerana sudah sekianlama negeri di bawah bayu ini dijadikan Fix-Deposit oleh Malaya demi terus memperteguh kerusi dan kuasa di Parlimen Malaysia.

Sudah tiba masanya Gabungan Parti Lokal milik Sabahan ini duduk serumah dan berdaulatkan istilah Bulat Air kerana Pembetung yang akhirnya menjadikan Negeri Sabah Fix-Deposit yang benar-benar mencapai maksudnya dengan hanya menggunakan satu (1) logo Sabahan mewakili semua gabungan parti Sabahan yang terlibat.

Pada saat itulah,King Maker atau apa sekalipun gelarannya,Sabah tidak mudah goyah di urung telunjuk Malaya sampai bila-bila malah jika ingin mengidamkan kerusi Nombor 2 Negara sekalipun,Sabah bisa minta.

Sabah ada Ketua Menterinya dari Parti Lokal Sabah (dalam gabungan tersebut),bermuafakat berbahagi kuasa siapa menteri di negeri,siapa menteri di persekutuan secara samarata.

Andai Parti A dalam gabungan itu miliki kerusi terbanyak di DUN Sabah,letaklah dia di kerusi Ketua Menteri.

Andai Parti B pula banyak menang kerusi parlimen di Sabah,calonkanlah dia ke jawatan Nombor 2 Negara.

Yang penting,sepakat untuk berkat,jangan tunjuk ego masing-masing kerana akhirnya akan memberi impak kepada rakyat jelata nanti.

Rakyat mahu tanahair tercinta ini semaju bandaraya yang lain berdasarkan sifatnya yang kaya hasil mahsyul.

Tidak salah pun jika medan perang antara sesama parti lokal ini di gencat senjatanya atau di tutup medan perangnya dahulu.

Yang penting,gunakan satu (1) logo untuk pilihanraya,lalu digandingkan bersama-sama logo atau bendera parti masing-masing.

Lebih dua bulan krew kami membuat tinjauan akar umbi berkenaan isu politik semasa dari satu DUN ke satu DUN yang lain juga dari Parlimen ini ke Parlimen lain di Sabah.

Tidak semua menginginkan perlanggaran berlaku kerana akar umbi Sabahan (khususnya di ceruk-ceruk kampung pendalaman) sudah bijak berpolitik disebabkan oleh kemajuan teknologi yang semakin canggih.

MEREKA BOSAN DENGAN PERPECAHAN KERANA TIDAK MENJAMIN KEMAJUAN YANG HAKIKI.

Kami berjaya mengesan bahawa bendera parti yang terpacak di kampung-kampung bukan lagi menggambarkan yang kampung itu lambang kubu kuat parti berkenaan.

Arus perubahan minda rakyat hari ini mengalami percambahan yang jauh lebih advance dari tahun-tahun sebelumnya malah,sticker parti yang melekat di dinding pintu rumah juga sebenarnya hanya lah wayang semata-mata (sepertimana wayangnya kalangan pemimpin politik hari ini).

Rakyat nyata hanya mahukan nasib mereka terbela,wang tersalur untuk fasiliti kawasan mereka dan kebajikan serta masa depan anak-anak mereka terpelihara,itu sahaja pun.

Jika ada pemimpin atau wakil parti datang menjenguk tayang muka,mereka tukar baju ikut suasana laksana sang sesumpah yang boleh bertukar warna.

Tidak salah bagi mereka untuk berbuat demikian kerana mereka sedar bahawa terlalu banyak ‘permainan’ yang akan mereka hadapi sepanjang tahun hingga tiba saatnya pilihanraya datang lagi.

 

(BERSAMBUNG....)

 

Wednesday, February 3, 2021

BELIA PUTATAN

SHAHELMEY SERU BELIA PILIH NIAGA DI MUSIM PANDEMIK



PUTATAN :
Belia perlu bijak cari peluang menjana pendapatan di musim pandemik dan jangan memilih pekerjaaan,ceburi bidang perniagaan sebagai fokus utama.

Demikian antara pesanan YB Tn Ir Shahelmey Yahya,Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah ketika merasmikan pembukaan kiosk JT Burger di Jeti Pasir Putih Putatan semalam.

"Kepakaran tiga adik beradik ini iaitu Masri,Awangku Sidik dan Aso Mustapa yang pernah bekerja sebagai Chef di hotel terkemuka di ibunegeri malah Masri sendiri pernah menjadi Chef di sebuah hotel ternama di Johor sebelum ini,diadaptasikan kepada perniagaan kecil-kecilan apabila sektor perhotelan mula menguncup akibat pandemik COVID-19.

Inilah yang kerajaan maksudkan apabila ianya melibatkan golongan muda belia,ceburi bidang perniagaan untuk menjanakan ekonomi diri dan keluarga," jelas Shahelmey yang juga merupakan ADUN N24 Tanjung Keramat,Putatan.

Kiosk JT Burger tersebut disumbangkan sendiri oleh Shahelmey bagi membantu tiga beradik tersebut meneruskan perniagaan burger mereka yang begitu popular dan viral di sekitar Putatan,Sabindo dan Kota Kinabalu.


Masri (kanan) bersama Shahelmey,Awangku Sidik dan Aso

Ketiga-tiganya merupakan Chef bertauliah bersama kronologi karier masing-masing,jelas Shahelmey lagi.

“Masri,abang kepada tiga beradik ini merupakan seorang Chef yang pernah berkhidmat di hotel-hotel terkemuka seperti di Johor dan Kota Kinabalu manakala adik-adiknya pula merupakan bekas Chef di hotel Shangri La Tanjung Aru & Resort.

Mereka gabungkan kemahiran mereka ini untuk mencipta resipi baharu dalam industri makanan segera (burger) ini dengan menu hidangan bukan biasa-biasa.

Tetapi harganya sama dan tidak jauh berbeza dengan burger biasa dan inilah hasil buatan anak-anak tempatan kita yang seharusnya dibanggakan,di sokong dan diketengahkan,” katanya lagi.