KAJIAN TERPERINCI MELEBAR KEMBALI SUNGAI TEMPASUK : JEFFREY
Oleh Sam Hj.Othman
13hb November 2020
KOTA BELUD : Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (KPIM) dikhabarkan sedang mengkaji semula kerja-kerja mengaut pasir dan mendalamkan sungai Tempasuk-Kadamaian di daerah Kota Belud.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah,Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata kerja-kerja tersebut di lihat sebagai satu jalan alternatif bagi mengelakkan situasi banjir berlaku.
"Kita akan membuat kajian terperinci berpandukan pada sistem kerja yang ada sekarang dan melihat di sudut mana ianya perlu ditambahbaik atau di ubah.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah sudah memaklumkan situasi sungai serta syarikat yang mengendalikan kerja-kerja tersebut.
Apa yang kita ketahui ialah kelemahan sistem tersebut dimana kontraktor di bayar daripada hasil penjualan pasir yang dikaut dari sungai berkenaan," jelas beliau.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah itu lagi,di bahagian muara sungai terdapatnya longgokan pasir yang tebal sehingga menyempitkan laluan sungai dan malang sekali,tiada syarikat pembinaan lain yang berminat untuk membeli pasir-pasir ini kerana ianya masin (tidak sesuai untuk binaan konkrit).
"Tiada pembeli...Tidak laku maka tidak ada insentif walaupun Menteri KPIM terdahulu menjamin bahawa akan ada pembeli dari China.
Sebab itu syarikat yang di lantik mengendalikan sistem pengorekan pasir di sungai berkenaan menghentikan kerja akibat ketiadaan pembayaran bagi menampung kos," jelasnya lagi.
Apapun,kerajaan sedang berusaha untuk melihat dari cara mana pasir-pasir ini boleh dialihkan dari tebing sungai bagi mengelakkan banjir semakin teruk melanda Kota Belud,kata Jeffrey.
Sebelum tahun 2018, Kerajaan Persekutuan pernah melaksanakan kerja-kerja mengaut pasir dan melebarkan sungai berkenaan.
Apabila Warisan mengambilalih tampuk pemerintahan negeri,khidmat kontraktor yang terlibat dihentikan.
Kerja-kerja berkenaan tertangguh hampir lebih setahun sebelum Warisan (kerajaan negeri ketika itu) melantik sebuah syarikat lain menyambung projek berkenaan.
Bagaimanapun,sehingga sebelum PRN lalu,syarikat berkenaan tidak kelihatan memfokuskan kerja-kerja berkenaan menyebabkan limpahan pasir membentuk di tebing hingga menyebabkan sungai semakin sempit.
Persoalan ini sering dijadikan topik hangat bila saja daerah berkenaan di landa banjir dan tidak dinafikan sejak kebelakangan ini, situasi banjir semakin teruk hingga menyebabkan jalan utama menghubungkan Bandaraya Kota Kinabalu ke utara negeri ini terputus.
"Kerajaan tidak akan duduk diam khususnya kementerian saya tentang masalah ini.
Kita sedang buat kajian dan akan mencuba cari jalan untuk mengatasi masalah rakyat ini seberapa cepat yang boleh," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment