Friday, February 7, 2020

PELUANG SABAH & SARAWAK TAMBAH KERUSI PARLIMEN  
Dari Kacamata Ir.Jovilis Majami 


Saya amat bersetuju dengan kenyataan Ketua Menteri Sarawak bahawa Sabah dan Sarawak sepatutnya memiliki lebih satu pertiga daripada jumlah kerusi parlimen yang ada di dalam Persekutuan Malaysia.

2. Walaupun kita tahu bahawa interpretasi daripada perjanjian persefahaman dahulu mengatakan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) sepatutnya mempunyai kuasa penuh untuk menolak atau menerima usul daripada Persekutuan Malaysia namun kita lihat sehingga kini ianya belum dapat direalisasikan walaupun wilayah Sabah telah beberapa kali bertukar kerajaan sebelum ini.

3. Kita juga melihat bahawa seolah-olah kerajaan Sabah dan Sarawak belum berapa bersedia untuk menggunakan sepenuhnya kuasa DUN mereka (walaupun Sarawak dilihat lebih berani dan tegas dalam soal ini) kerana mungkin minda pemimpin-pemimpin kerajaan negeri masih lagi terpengaruh dengan menganggap bahawa persekutuan itu lebih besar peranannya berbanding dengan kerajaan negeri.

4. Secara logik dan praktikalnya mungkin persepsi pemimpin negeri yang menganggap bahawa persekutuan itu lebih besar kuasanya berbanding kerajaan negeri ada kebenarannya kerana kerajaan persekutuan itu dibentuk melalui parlimen yang merangkumi seluruh Malaysia manakala kerajaan negeri pula dibentuk oleh DUN yang hanya berhak bercakap di peringkat kawasan yang lebih kecil.

5. Kelebihan parlimen yang paling mudah dilihat ialah dari segi kekuatan kewangannya. Peruntukan tahunan seorang ahli parlimen itu pula ialah RM1.5 juta manakala RM300,000 turut disediakan untuk mengurus pejabat bagai penyediaan khidmat masyarakat di kawasan masing-masing jauh labih besar berbanding dengan peruntukan yang diperolehi olah wakil rakyat diperingkat DUN.

6. Manakala apabila seseorang ahli parlimen itu bernasib baik dan dilantik menjadi menteri penuh maka peruntukan yang di terima oleh kementeriannya sangat besar dan ini sudah tentu boleh digunakan untuk mengukuhkan pengaruhnya di peringkat akar umbi.

7. Tugas-tugas dan fungsi parlimen seperti dasar-dasar negara, melulus dan meminda undang-undang, melulus bajet dan cadangan cukai yang baru adalah ditentukan di peringkat persekutuan dengan peranan itu terletak di bahu ahli parlimen untuk membahas sebelum meluluskan dasar tersebut maka tidak hairanlah jika kita lihat ahli parlimen di pandang lebih penting berbanding dengan ADUN.



8. Apabila bilangan ahli parlimen yang berperanan untuk membuat dasar dan meluluskan bajet ini banyak dikuasai oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Semananjung Malaysia maka sudah tentu mereka lebih mengutamakan dasar yang memberi kelebihan dan pulangan yang baik kepada kawasan mereka maka akhirnya kita akan terus terpinggir.

9. Sekiranya kedudukan jumlah bilangan parlimen yang setara antara Semenanjung dengan kita di Borneo ini kita boleh sahaja menolak usul, dasar, bajet dan apa-apa sahaja perkara yang merugikan dan tidak memihak kepada Sabah dan Sarawak.

10. Oleh itu, apabila KM  Sarawak membangkitkan isu ini maka adalah penting untuk kerajaan Sabah menyokong seterusnya berbincang dengan kerajaan Sarawak untuk membawa usul meminta tambahan kerusi parlimen kepada kerajaan persekutuan.

11. Saya juga melihat bahawa desas-desus penubuhan kerajaan baru yang hangat diperkatakan ketika ini merupakan satu peluang keemasan untuk Sabah dan Sarawak mendapat tambahan kawasan parlimen bagi mencapai hasrat keseimbangan suara di dalam dewan dan seterusnya membuat keputusan dasar.

12. Kita boleh saja menolak atau menerima cadangan kerajaan baru (Pakatan Nasional) ini berdasarkan kepada kepentingan dan keperluan kita. Bayangan itu juga sudah dinyatakan oleh kerajaan Sarawak pada 06 Februari 2020 dengan menyatakan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) Bebas, dan Tidak Akan Menyertai Pakatan Nasional yang mungkin hendak ditubuhkan.



Terence Sinti Tinggalkan Star Sabah  
SELAMAT MAJU JAYA KATA JEFFREY  
oleh Sam Hj.Othman  


KOTA KINABALU : Presiden Star Sabah Datuk Dr.Jeffrey G.Kitingan menyambut baik hasrat mantan Ketua WiraMuda Star Sabah Terence Sinti yang meninggalkan parti itu dan berharap agar Terence beroleh kejayaan bersama parti baharu yang bakal beliau sertai.

"Selamat Maju Jaya kepada beliau,itu ucapan saya pada malam sebelum Terence mengumumkan keluar dari parti kerana dia ada berjumpa dengan saya dan membincangkan perkara ini," kata Jeffrey.

Menurut Ahli Parlimen Keningau itu,perbincangan kedua mereka adalah dari hati ke hati dan tiada sebarang prasangka buruk malah hubungan di antara keduanya tetap terjaga sebagai ahli politik yang matang.

"Terence ada menceritakan tentang masalah peribadi yang dihadapinya yang mana perlu penyelesaian segera sehingga mengganggu tugas-tugasnya selaku Ketua WiraMuda Negeri dan Naib Presiden Star sebelum ini.

  Terence Sinti (sumber BS)  

Sebagai parti pembangkang,banyak perkara yang tidak mampu kami atasi bersama dan beliau boleh memilih untuk kelangsungan karier politiknya yang mempunyai masa depan yang cerah," ujar Jeffrey lagi.

Pada Khamis,Terence dilaporkan telah mengumumkan keluar dari Star Sabah sekaligus meletakkan keahliannya dari parti berkenaan dengan alasan ingin meneruskan karier politiknya ke arah yang lebih baik lagi khususnya dalam memperjuangan suku Momogun yang tampak semakin berpecah belah dan perlukan penyatuan segera.

Dari sumber yang kami terima,Terence berkemungkinan besar akan menyertai UPKO dan dikhabarkan akan melangsungkan suatu majlis bersama Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau di kediamannya Sabtu ini.
KENYATAAN AKHBAR YBHG DATO’ SRI ANIFAH HAJI AMAN, MANTAN AHLI PARLIMEN P.176 KIMANIS DAN MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA BERKENAAN CADANGAN KERJASAMA PARTI POLITIK YANG BARU

Baru-baru ini terdapat desas-desus usaha pembentukan kerjasama parti politik baru yang dikatakan bakal melibatkan beberapa parti dalam Kerajaan dan beberapa parti dari pihak pembangkang. Secara tidak langsung, sekiranya kerjasama tersebut benar-benar termeterai maka ianya boleh menamatkan gabungan Pakatan Harapan sekaligus menukar Kerajaan yang sedia ada.

Tidak ada salahnya menyokong pembentukan kerjasama politik baru ini sekiranya kelebihan kepada rakyat untuk berbuat sedemian. Apa yang penting adalah para pemimpin politik harus menyedari amanah kekuasaan terletak pada prestasi mereka memperbaiki kualiti hidup rakyat.

Sekiranya Kerajaan pada hari ini tidak mampu memberikan prestasi yang diharapkan oleh rakyat maka sewajarnya kerjasama baru dan Kerajaan baru yang lebih cekap dan berwibawa dibentuk dengan segera.

Namun begitu kita tidak seharusnya membuat keputusan dengan terburu-buru dan terdapat beberapa faktor yang harus dipertimbangkan sebelum menyokong atau tidak pembentukan kerjasama politik baru ini.

Setiap pemimpin seharusnya mendahulukan kemahuan rakyat terutama para pemimpin di Sabah. Jangan sampai rakyat Sabah sekali lagi dipermainkan dengan janji-janji manis. Sebelum sokongan diberi, para pemimpin dari Sabah perlu mengambil kira dan hanya menyokong  sekiranya perkara berikut dilaksanakan dengan serta merta:

-Perjanjian Malaysia 1963 dilaksanakan dengan sepenuhnya tanpa memberikan sebarang alasan lagi mahupun membentuk jawatankuasa-jawatankuasa lagi dengan alasan ingin mengkaji semula sedangkan kita telahpun membuat kajian bahkan cadangan telah diberi sehingga ke peringkat Kabinet bagi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dengan serta merta.

-Royalti Minyak diberikan segera kepada Sabah seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan.

-Masalah Pendatang Tanpa Izin di Sabah diberikan tindakan serta jalan penyelesaian yang serius dan sewajarnya tanpa melengahkan masa lagi.

Sekiranya semua perkara yang disebutkan dilaksanakan maka sudah tentu tidak ada sebab mengapa pembentukan kerjasama politik yang baru ini ditolak. Namun hanya jika perkara yang dinyatakan dilaksanakan. Jangan hanya janji manis diberi dan hanya mencari sokongan pemimpin-pemimpin dari Sabah bila perlu sahaja tetapi tidak melaksanakan apa yang dijanjikan. Jangan sampai pisang berbuah dua kali. 

Dato’ Sri Anifah Haji Aman
6 Februari 2020

Thursday, February 6, 2020

Gabungan Bersatu-Muafakat Nasional ?  
ALKISAH SI MERAH BERDUA : BAGAI CINTA TERLARANG  
Segar Bugar dari Meja Editor  


Ini adalah salah satu cerita paling aneh pernah saya terima selain isu team Solidariti vs Datu Akjan dan cerita tentang lantikan Ketua Kampung yang menerbitkan banyak tanda tanya di Sabah ini.

Ribut dua tiga hari ini di Media Sosial berkenaan khabar bakal bergabungnya PPBM dengan Muafakat Nasional.

Terpanggil rasanya untuk menelusuri kisah ini yang kebanyakan rakyat khususnya penyokong-penyokong parti yang terlibat,membuat berbagai kenyataan dan pendapat.

Dua hari untuk saya membaca hampir semua komen di Media Sosial tanpa menemukan apa-apa yang bisa dijadikan jawapan malah dipertemukan pula persoalan.

Hal ini sebenarnya terjadi antara kedua mempelai yakni 'seorang suami' yang sudah menikahi seorang perempuan tetapi muncul pula pihak ketiga yang membawa makna si suami itu mahu kahwin dua (?).

Ibaratnya,kisah sebuah cinta yang terlarang...Orang kampung tak mahu si suami kahwin satu lagi.

Muafakat Nasional adalah hasil persefahaman PAS dan UMNO-BN.

Insan bernama Lokman Adam ini adalah punca merebaknya berita mengenai Cadangan Gabungan Muafakat Nasional bersama PPBM pimpinan Tun Mahathir.

Saya tak berselera untuk ungkit kembali dan susun semula kronologi Lokman Adam ini kerana itu hal ehwal dalaman UMNO yang akan menguruskannya.

Soalnya di sini yang pertama saya musykil ialah :
Mengapa rakaman Presiden UMNO itu tidak punya hujung dan pangkal cerita?
Rakaman itu cuma pada pertengahan sahaja sehingga kita tertanya-tanya dengan siapakah Presiden itu berkata-kata ?

Kemusykilan kedua saya ialah :
Mengapa PAS menafikan penggabungan ini ?
PAS parti Islam yang rata-ratanya di pimpin ulamak-ulamak tersohor,takkan mereka ini berbohong pula ?

Kemusykilan ketiga saya ialah :
Mengapa Hikayat Gabungan ini cuma di bahas di sebelah pihak sahaja sedangkan PPBM pula hanya mendiamkan diri ?

Kemusykilan ke-4 saya ialah :
tunggu di hujung artikel ini ya.....

Atau mungkin pengetahuan saya amat terhad dan kekurangan fakta di dalam hal ini tetapi di kesempatan ini suka lah saya mengambil peluang ini untuk merujuk sedikit tentang kenyataan dan rasa hati netizen Sabah di MedSos.

Ada penyokong UMNO yang sanggup berpatah arang daripada bergabung dengan Tun Mahathir (PPBM) kerana mereka berpendapat bahawa Tun M sudah banyak kali menafikan hak perjuangan UMNO dan PAS.

Ada yang sanggup untuk meninggalkan UMNO serta merta jika gabungan Muafakat Nasional menerima 'cadangan gabungan' ini.


Saya melihat bahawa cadangan gabungan ini sesuatu yang agak retorik kerana ianya hanya 'hampir' bermain sekitar UMNO itu sahaja yang dicetuskan oleh makhluk Allah yang mungkin punya kepentingan peribadi yang lain.

Manakala soal tinggalkan parti hanya kerana Tun M mungkin bersama Muafakat Nasional itu,perlulah kalian pertimbangkan semula lantaran bukan begitu sebenarnya yang harus dilakukan jika benar-benar cintakan UMNO.

Allah ciptakan sesuatu itu ada sebab dan hikmahnya-terpulang pada diri menilai sebaik-baik dan sesempurna akal yang bijaksana.

Istilah tinggalkan UMNO itu mungkin bakal di anggap sebagai 'golongan orang-orang yang  kecewa' yang mungkin juga akan di anggap sebagai golongan yang kalah sebelum medan tempur di buka.

Jika anda cintakan UMNO dan ingin meneruskan perjuangan di dalam Muafakat Nasional TANPA PPBM,maka teruslah berjuang menafikannya sehingga ke titisan keringat yang terakhir kerana  Sang Saka lebih memerlukan pejuang atau pahlawan yang 'Ganteng' hebatnya,bukan sekadar bicara lidah setajam mata pedang semata.

Saya ingin mencadangkan agar para penyokong UMNO satu Malaysia ini agar 'calm down' dan istigfar sebanyak mungkin supaya Allah jauhkan kita semua dari bala yang tersembunyi.

UMNO masih punya ketua atau pemimpin yang tegar pendekarnya di medan juang,mengapa pula kita tidak berdiri di sampingnya demi sebuah perjuangan sejati ?

Walhal,UMNO Sabah sudah milik autonominya sendiri tanpa kita mengikut telunjuk UMNO Pusat namun adalah lebih indah jika sebarang keputusan terhasil dari musyawarah itu sendiri ?


Saya percaya dan yakin dengan kepimpinan Dato Seri Bung Mokhtar Raden sebagai Ketua UMNO Sabah dan bukan sembarangan orangnya jika benar ada sesuatu yang tidak baik bakal dihadapi.

Ahli UMNO Sabah juga harus ingat bahawa parti lokal Sabahan ini masih punya 'The Warriors' seperti Datuk Yakub Khan dan Dato Seri Abd.Rahman Dahlan serta pemimpin sayap yang lain.

Rasanya,suara UMNO Sabah masih gagah berkumandang dalam forum yang mungkin membicarakan soal 'cadangan gabungan' ini nanti dan kepada pemimpin utama UMNO Sabah inilah kita pertaruhkan hasrat dan tekad kita besama.

Tetapi yang ironinya ialah,ada juga penyokong Bersatu Sabah memberikan komen samada komen terus atau pun sinis mengenai 'cadangan gabungan' ini sehingga menimbulkan persoalan pula.

Nah..Disinilah persoalan ke-4 saya ingin dihidangkan sebagai santapan minda kita semua.

Kemusykilan ke-4 saya ialah :
Penyokong Bersatu Sabah agak teruja dengan cadangan pergabungan ini...Tak tahu samada mereka rindu untuk kembali bersama UMNO kah (alah..macam dulu-dulu tu bah),atau memang 'cadangan gabungan' itu kelak,bakal melihat pemimpin mereka akan naik takhta semula ?  

Sejujurnya,rakyat hari ini diletakkan dalam DILEMA samada :

1.Menyokong gabungan demi bangsa,agama dan negara (mengenepikan 'dosa-dosa Mahathir' buat seketika) ;

Atau ;

2.Menolak gabungan demi prinsip sebuah perjuangan dalam Muafakat Nasional hingga ke PRU15 nanti (membiarkan negara terus terkontang kanting dengan pentadbiran yang tidak betul).

Sama-sama lah kita renungkan dengan penuh kesabaran,ketenangan dan kebijaksanaan.
Cubalah berfikir dengan HATI dan bertindak menggunakan AKAL.
Melihat RISIKO di sebalik RISIKO itu sendiri yang akhirnya kembali kepada TIMBANG akal fikir.



Wednesday, February 5, 2020

STAR PERJUANG MASA DEPAN GEN Y : RAPLIN  
oleh Sam Hj.Othman  

KOTA BELUD : Kebangkitan Gen Y khususnya golongan anak muda memang sudah kelihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan suara mereka bergema di setiap pelusuk daerah samada melalui lisan ataupun melalui media sosial dalam dunia serba kecanggihan teknologi hari ini.

Adalah menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk membentuk golongan anak muda ini bagi menuju ke satu lapangan masa depan yang lebih dinamik dan efisien supaya kesejahteraan dan kemakmuran negara tetap terjamin sampai bila-bila.

“Kita adalah generasi hari ini yang di panggil sebagai acuannya dan kita lah yang membentuk mereka ini samada putih atau hitam kehidupan masa depan mereka,” jelas Ketua Star Sabah Bahagian DUN Pintasan,Dato Sri Raplin Samat.

Menurutnya,kebanyakan pemimpin hari ini terutamanya wakil rakyat-wakil rakyat seakan melupakan golongan anak muda ini setelah mereka ini memegang kuasa sebagai Yang Berhormat sedangkan pada masa pilihanraya berlangsung,golongan anak-anak muda inilah yang banyak membantu kempen mereka dari segi logistik dan moral.

“Kita semua tahu,suara anak muda yang merobah lanskap politik hari ini...Mereka inilah yang di panggil untuk meramaikan kempen  dan melaungkan slogan-slogan parti yang mereka pilih.

Mereka disajikan dengan bermacam-macam janji oleh bakal calon dan parti lalu berjuang habis-habisan sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah keselamatan diri mereka,nama dan keluarga,” kata Raplin dalam satu temubual bersama Sabah_OnlineNEWS di sini.


Beliau yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Sabah menyifatkan bahawa kebanyakan golongan anak muda ini berjaya dipengaruhi menjelang PRU14 lalu dengan berbagai janji yang diberikan oleh parti-parti tertentu sehingga ‘kuasa undi’ golongan anak muda ini berjaya membuat perubahan dalam lanskap politik negara.

“Kini tidak lagi....Mereka (orang muda) sudah kembali sedar bahawa mereka telah tertipu dengan ‘gula-gula’ tersebut dan bakal bangkit semula untuk gelombang kedua Tsunami politik menjelang PRU15 akan datang.

Malah,sekarang ini pun mereka sudah mula bangkit dan menunjukkan sesuatu yang di luar jangkaan dan mereka berjaya mempengaruhi warga dewasa untuk bersama-sama mereka untuk membina kembali apa yang mereka telah ‘hilang’,” jelas Raplin.

Sebagai seorang Ketua Bahagian di dalam parti Star Sabah,sebuah parti lokal Sabahan,Raplin menaruh sepenuh keyakinan dengan perjuangan Datuk Dr.Jeffrey Kitingan sebagai Presiden Star Sabah kerana nyata sekali perjuangan Jeffrey bukan sembarangan dalam misi memartabatkan bangsa anak asal Sabah dan misi mendapatkan semula Hak-Hak Sabah itu sendiri.

“Perjuangan ini khas untuk masa depan anak cucu cicit kita di Sabah,yakni rakyat pribumi asal Sabah dan kita tidak akan mengizinkan apa-apa juga tindakan atau ganggu-gugat merampas hak-hak tersebut.
Kerana itulah,Gen Y ini perlu kita tetapkan haluan mereka ke arah sesuatu yang terbaik supaya masa depan mereka terjamin sepenuhnya.

Acuan itu,kita yang membuatnya hari ini,dan acuan tersebut adalah acuan yang sangat terbaik demi bangsa,agama dan negara di masa hadapan,” ujarnya lagi mengakhiri temubual kami.

Monday, February 3, 2020

DAP PERLU BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP AKJAN : JAMAIN
Oleh Sam Hj.Othman

KOTA KINABALU : DAP Sabah harus membuat laporan polis terhadap orang Yang menganggap dirinya sendiri sebagai sultan Sulu, Datu Mohd Akjan Ali dengan kenyataan biadap etnosentrisnya dan bukannya laporan polis mengenai tuduhan bekas IGP yang menghubungkan DAP dengan suatu kenyataan berkaitan Komunisme, kata Jamain Sarudin. 

Jamain, pengerusi Solidariti Rakyat Sabah (SORAK), berkata, komunisme dan isu LTTE bukanlah satu Isu besar kepada Sabah. "Tuduhan yang menghubungkan DAP dengan komunisme adalah perkara biasa di Semenanjung Malaysia dan pada hakikatnya, wujud lebih daripada lima dekad sekarang.

"Saya menggesa DAP Sabah, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Sabah dan para pemimpinnya untuk tidak bermain pekak dan bengap terhadap ancaman dan penghinaan terhadap orang-orang asli dalam audio / video viral oleh seorang Yang mmengisytiharkan dirinya sendiri sebagai Sultan Sulu. Mereka harus mengambil serius perkara ini kerana ia bersangkut paut dengan kita, tanah air kita Sabah, "tegasnya. 

Beliau melahirkan sedih dengan ucapan perkauman oleh Datu Akjan yang tidak harus dikecualikan dan pihak berkuasa harus melihatnya dengan serius dan harus mengambil tindakan terhadapnya. 

"Saya ingin mengingatkan bahawa hubungan kaum, budaya dan agama kita adalah unik di Sabah. Kita mempunyai keluarga besar dari pelbagai kaum dan agama, sentiasa saling bantu-membantu semasa majlis perkahwinan, kenduri, perayaan dan bahkan semasa berkabung. Ini memberi kita rakyat Sabah rasa kepunyaan, kepekaan dan pemahaman yang kuat antara satu sama lain yang meningkatkan harmoni komuniti kita.

"DAP Sabah harus menumpukan perhatian mereka kepada Sabah dan bukannya mengatasi isu-isu yang tidak membimbangkan Sabah. Berhentilah cuba menari dengan rentak lagu bos anda di Semenanjung Malaysia, "katanya.


JAMILAH ISYTIHAR KELUAR PBS
Oleh Sam Hj.Othman

KOTA KINABALU : Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Hajah Jamilah Sulaiman hari ini mengisytiharkan keluar daripada parti itu yang telah disertainya Iebih dari 33 tahun.

Beliau yang juga Ketua Bahagian PBS N.28 Sindumin turut melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Katanya, beliau membuat keputusan itu setelah mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama penyokong dan pendokong setia PBS khususnya di bahagian Sipitang.

"Dengan mengambil kira pandangan dan perjuangan mereka bersama saya dalam PBS selama ini, maka saya mengambil keputusan meletak semua jawatan dalam parti dan mengisytiharkan keluar dari PBS dan berhenti daripada menjadi ahli PBS"

"Saya membuat keputusan ini kerana hilang kepercayaan dengan kepimpinan Presiden PBS, YB. Datuk Seri Panglima Dr Maximus J Ongkili. Beliau seorang pemimpin yang tidak konsisten, tidak berpegang kepada kata-katanya, tidak bertimbang rasa, pilih kasih dan hipokrit.", katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut adalah jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh Jamilah :

1990 - 1994 Ahli Dewan Undangan Negeri N38 Sipitang dan Pembantu Menteri Perkhidmatan Sosial. (semasa era pemerintahan PBS). 2012 - 2018 Ahli Dewan Negara (2 penggal).


*PERINGKAT PBS PUSAT*

1986 - 1992 Naib Ketua Pergerakan Wanita PBS.

1992 - 1994: Ahli Majlis Tertinggi PBS.

1994 - 2000: Naib Presiden PBS.

2000 - 2013: Ketua Pergerakan Wanita PBS.

2013 - 2020: Timbalan Presiden PBS.


*PERINGKAT PBS BAHAGIAN*

1986 - 1992: Ketua Pergerakan Wanita PBS Bahagian.

1992 - 2020: Ketua PBS Bahagian.

Beliau telah bersama-sama dalam perjuangan PBS selama 32 tahun dibawah kepimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan 1 tahun 2 bulan dibawah kepimpinan YB Datuk Seri Panglima Dr Maximus.

Jamilah merupakan wanita pertama dipilih menjadi Timbalan Presiden PBS bagi kuota Bumiputera Islam.

Beliau dipilih semula (tanpa ditanding) sebagai salah seorang daripada 3 Timbalan Presiden pada Persidangan Perwakilan Tahunan yang ke 33 pada November 2018. Penyandang Iain ialah Datuk Seri Panglima Radin Malih dan Datuk Dr Yee Moh Chai.

"Memandangkan saya tidak dapat bekerjasama dengan YB. Presiden dan "gengnya" dalam PBS, maka adalah Iebih baik saya keluar dari parti saja".

"Walaupun amat berat bagi saya untuk mengambil keputusan meninggalkan PBS setelah berjuang bersama parti itu Iebih daripada 33 tahun.

"Pada masa ini saya mahu berehat dari politik untuk sementara waktu dan setakat ini masih belum  membuat sebarang keputusan mengenai masa depan karier politik saya", tambah Jamilah.

Sementara itu, 17 daripada 18 Ahli Jawatankuasa (AJK) PBS Bahagian Sipitang turut bersama-sama Jamilah beramai-ramai mengisytiharkan keluar dari PBS.