Wednesday, February 5, 2020

STAR PERJUANG MASA DEPAN GEN Y : RAPLIN  
oleh Sam Hj.Othman  

KOTA BELUD : Kebangkitan Gen Y khususnya golongan anak muda memang sudah kelihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan suara mereka bergema di setiap pelusuk daerah samada melalui lisan ataupun melalui media sosial dalam dunia serba kecanggihan teknologi hari ini.

Adalah menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk membentuk golongan anak muda ini bagi menuju ke satu lapangan masa depan yang lebih dinamik dan efisien supaya kesejahteraan dan kemakmuran negara tetap terjamin sampai bila-bila.

“Kita adalah generasi hari ini yang di panggil sebagai acuannya dan kita lah yang membentuk mereka ini samada putih atau hitam kehidupan masa depan mereka,” jelas Ketua Star Sabah Bahagian DUN Pintasan,Dato Sri Raplin Samat.

Menurutnya,kebanyakan pemimpin hari ini terutamanya wakil rakyat-wakil rakyat seakan melupakan golongan anak muda ini setelah mereka ini memegang kuasa sebagai Yang Berhormat sedangkan pada masa pilihanraya berlangsung,golongan anak-anak muda inilah yang banyak membantu kempen mereka dari segi logistik dan moral.

“Kita semua tahu,suara anak muda yang merobah lanskap politik hari ini...Mereka inilah yang di panggil untuk meramaikan kempen  dan melaungkan slogan-slogan parti yang mereka pilih.

Mereka disajikan dengan bermacam-macam janji oleh bakal calon dan parti lalu berjuang habis-habisan sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah keselamatan diri mereka,nama dan keluarga,” kata Raplin dalam satu temubual bersama Sabah_OnlineNEWS di sini.


Beliau yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Sabah menyifatkan bahawa kebanyakan golongan anak muda ini berjaya dipengaruhi menjelang PRU14 lalu dengan berbagai janji yang diberikan oleh parti-parti tertentu sehingga ‘kuasa undi’ golongan anak muda ini berjaya membuat perubahan dalam lanskap politik negara.

“Kini tidak lagi....Mereka (orang muda) sudah kembali sedar bahawa mereka telah tertipu dengan ‘gula-gula’ tersebut dan bakal bangkit semula untuk gelombang kedua Tsunami politik menjelang PRU15 akan datang.

Malah,sekarang ini pun mereka sudah mula bangkit dan menunjukkan sesuatu yang di luar jangkaan dan mereka berjaya mempengaruhi warga dewasa untuk bersama-sama mereka untuk membina kembali apa yang mereka telah ‘hilang’,” jelas Raplin.

Sebagai seorang Ketua Bahagian di dalam parti Star Sabah,sebuah parti lokal Sabahan,Raplin menaruh sepenuh keyakinan dengan perjuangan Datuk Dr.Jeffrey Kitingan sebagai Presiden Star Sabah kerana nyata sekali perjuangan Jeffrey bukan sembarangan dalam misi memartabatkan bangsa anak asal Sabah dan misi mendapatkan semula Hak-Hak Sabah itu sendiri.

“Perjuangan ini khas untuk masa depan anak cucu cicit kita di Sabah,yakni rakyat pribumi asal Sabah dan kita tidak akan mengizinkan apa-apa juga tindakan atau ganggu-gugat merampas hak-hak tersebut.
Kerana itulah,Gen Y ini perlu kita tetapkan haluan mereka ke arah sesuatu yang terbaik supaya masa depan mereka terjamin sepenuhnya.

Acuan itu,kita yang membuatnya hari ini,dan acuan tersebut adalah acuan yang sangat terbaik demi bangsa,agama dan negara di masa hadapan,” ujarnya lagi mengakhiri temubual kami.

No comments:

Post a Comment