Tuesday, March 16, 2021

TANDA-TANDA PRU15 MENJELANG TIBA ??

BENARKAH PRU15 DI AMBANG PINTU ?

Oleh Sam Hj.Othman


Jika benar gelanggang pilihanraya sudah di ambang mata dan bakal di buka,bagaimanakah persiapan setiap parti untuk menghadapinya dalam keadaan pandemik masih pada tahap jaga.

Persoalan ini muncul di kalangan rakyat tetapi tidak di mata fikir orang politik kerana bagi ahli politik,apa yang ada di kotak fikir mereka hanyalah kuasa manakala soal lain di letak pada level lain.

Sebagai pemerhati politik,saya melihat kemelut pentadbiran merupakan suatu asas kukuh untuk mengadakan sekali lagi pilihanraya dan ianya tidak boleh juga di elak memandangkan keabsahan sistem demokrasi itu dijadikan alasan.

Ia perspektif yang saya lihat di Malaya manakala di Sabah pula,corak tadbir kerajaan yang ada sekarang agak menyakinkan rakyat dan tidak perlu kepada sebuah lagi PRN.

Lainlah di Sarawak,kerana tempoh matang DUN Sarawak sudah tiba dan memerlukan pengundian semula untuk membentuk sebuah kerajaan sehabis tamat tempoh.

Rakyat sering bualkan di kedai-kedai kopi atau apa-apa jua pertemuan mereka mengenai nasib UMNO Sabah,Warisan,PPBM dan lain-lain apabila musim PRU15 itu mendatang.

Masih menjadi tanda tanya samada Pengerusi BN yang juga Ketua UMNO Sabah Dato’ Sri Bung Moktar melangkah benar untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan GRS (soal pembahagian kerusi) di PRU15 nanti.

Atau terpaksa akur lagi kepada desakan pimpinan pusat kerana ianya melibatkan Pilihanraya Parlimen (manakala kerjasama di kerajaan negeri dikekalkan).

Apakah konsep PRN 16 akan digunapakai semula di mana berlakunya pertembungan antara sesama akibat merebut tempat (kerusi),akhirnya membawa kerugian besar kemudiannya ?

Rakyat juga persoal apakah autonomi itu masih relevan di Sabah pada saat UMNO Pusat ingin kembali memegang tampuk pemerintahan negara  ?

Kita yakin saja kepada kebijaksanaan Umno Sabah serta kepimpinannya yang memang sudah established.

Kita amat mengetahui bahawa Pilihanraya Parlimen bukan lah sama seperti Pilihanraya Negeri lantaran itulah rakyat mula fikir yang bukan-bukan sehingga isu ini boleh sahaja  terkeluar dari kotak kepercayaan.

Saya sering gunakan istilah Sang Algojo itu adalah Rakyat-merekalah penghukum sebenar,pada setiap kali saya menulis isu-isu berkaitan politik kerana,sedar atau tidak,rakyatlah juga yang menentu undi untuk memenangkan calon pilihan mereka sendiri.

Banyak kubu-kubu kuat parti jadi roboh bila kempen pilihanraya berakhir dan pihak pimpinan parti harus menerima kekalahan tersebut kerana itulah kehendak rakyat,bukan calon atau penyokong menetapkannya.

Saya tertarik dengan pengumuman Setiausaha Agung Star bulan lepas bahawa parti itu hanya memilih 8 kawasan parlimen sahaja untuk ditandingi meskipun kenyataan itu saya sifatkan hanyalah sebagai cadangan awal sahaja.


Keningau kawasan istimewa kerana ianya bakal dipertahankan oleh penyandangnya Dr.Jeffrey Kitingan dengan bolotan jentera rakan-rakan DUN yang lain (Bingkor,Liawan,Tambunan dan sebahagian Tulid) dan begitu halnya juga jika mempercatur nasib di Putatan dan Penampang.

Cuma agak wenang untuk memperjudikan nasib di sebelah Utara Sabah iaitu di Parlimen Kudat dan Kota Belud,berdasarkan sejarah,lokaliti dan populariti.

Tinjauan krew kami banyak menghabiskan masa berada di dua kawasan parlimen ini dan sehingga kini belum lagi bisa menemukan sebarang KEWAJARAN untuk Star meletakkan calon di Parlimen Kota Belud atau Kudat apatah lagi bagi kawasan Parlimen Sepanggar,Tuaran,Tenom dan Ranau.

Terdapatlah sedikit titik kewajaran jika benar Star mahu meletakkan calon di Parlimen Pensiangan kerana ada beberapa elemen dan isu yang melibatkan pengaruh dari kalangan rakyat jelata di sana.

Saya akan ulas lebih lanjut 8 kawasan parlimen yang bakal Star tandingi ini sejurus selepas kami menamatkan tinjauan akar umbi yang baru sahaja (40%) kami selidiki.

Begitu juga halnya dengan tinjauan kami terhadap parti-parti lokal Sabah yang lain termasuklah parti yang berasal dari Malaya.

Wal hasil balik asal,ada yang berpendapat,sudah tiba masanya parti lokal melakukan anjakan paradigma untuk bergabung membentuk suatu gagasan baharu yang hanya diduduki oleh parti Sabahan sendiri sahaja.

Ini masuk akal kerana sudah sekianlama negeri di bawah bayu ini dijadikan Fix-Deposit oleh Malaya demi terus memperteguh kerusi dan kuasa di Parlimen Malaysia.

Sudah tiba masanya Gabungan Parti Lokal milik Sabahan ini duduk serumah dan berdaulatkan istilah Bulat Air kerana Pembetung yang akhirnya menjadikan Negeri Sabah Fix-Deposit yang benar-benar mencapai maksudnya dengan hanya menggunakan satu (1) logo Sabahan mewakili semua gabungan parti Sabahan yang terlibat.

Pada saat itulah,King Maker atau apa sekalipun gelarannya,Sabah tidak mudah goyah di urung telunjuk Malaya sampai bila-bila malah jika ingin mengidamkan kerusi Nombor 2 Negara sekalipun,Sabah bisa minta.

Sabah ada Ketua Menterinya dari Parti Lokal Sabah (dalam gabungan tersebut),bermuafakat berbahagi kuasa siapa menteri di negeri,siapa menteri di persekutuan secara samarata.

Andai Parti A dalam gabungan itu miliki kerusi terbanyak di DUN Sabah,letaklah dia di kerusi Ketua Menteri.

Andai Parti B pula banyak menang kerusi parlimen di Sabah,calonkanlah dia ke jawatan Nombor 2 Negara.

Yang penting,sepakat untuk berkat,jangan tunjuk ego masing-masing kerana akhirnya akan memberi impak kepada rakyat jelata nanti.

Rakyat mahu tanahair tercinta ini semaju bandaraya yang lain berdasarkan sifatnya yang kaya hasil mahsyul.

Tidak salah pun jika medan perang antara sesama parti lokal ini di gencat senjatanya atau di tutup medan perangnya dahulu.

Yang penting,gunakan satu (1) logo untuk pilihanraya,lalu digandingkan bersama-sama logo atau bendera parti masing-masing.

Lebih dua bulan krew kami membuat tinjauan akar umbi berkenaan isu politik semasa dari satu DUN ke satu DUN yang lain juga dari Parlimen ini ke Parlimen lain di Sabah.

Tidak semua menginginkan perlanggaran berlaku kerana akar umbi Sabahan (khususnya di ceruk-ceruk kampung pendalaman) sudah bijak berpolitik disebabkan oleh kemajuan teknologi yang semakin canggih.

MEREKA BOSAN DENGAN PERPECAHAN KERANA TIDAK MENJAMIN KEMAJUAN YANG HAKIKI.

Kami berjaya mengesan bahawa bendera parti yang terpacak di kampung-kampung bukan lagi menggambarkan yang kampung itu lambang kubu kuat parti berkenaan.

Arus perubahan minda rakyat hari ini mengalami percambahan yang jauh lebih advance dari tahun-tahun sebelumnya malah,sticker parti yang melekat di dinding pintu rumah juga sebenarnya hanya lah wayang semata-mata (sepertimana wayangnya kalangan pemimpin politik hari ini).

Rakyat nyata hanya mahukan nasib mereka terbela,wang tersalur untuk fasiliti kawasan mereka dan kebajikan serta masa depan anak-anak mereka terpelihara,itu sahaja pun.

Jika ada pemimpin atau wakil parti datang menjenguk tayang muka,mereka tukar baju ikut suasana laksana sang sesumpah yang boleh bertukar warna.

Tidak salah bagi mereka untuk berbuat demikian kerana mereka sedar bahawa terlalu banyak ‘permainan’ yang akan mereka hadapi sepanjang tahun hingga tiba saatnya pilihanraya datang lagi.

 

(BERSAMBUNG....)

 

Wednesday, February 3, 2021

BELIA PUTATAN

SHAHELMEY SERU BELIA PILIH NIAGA DI MUSIM PANDEMIK



PUTATAN :
Belia perlu bijak cari peluang menjana pendapatan di musim pandemik dan jangan memilih pekerjaaan,ceburi bidang perniagaan sebagai fokus utama.

Demikian antara pesanan YB Tn Ir Shahelmey Yahya,Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah ketika merasmikan pembukaan kiosk JT Burger di Jeti Pasir Putih Putatan semalam.

"Kepakaran tiga adik beradik ini iaitu Masri,Awangku Sidik dan Aso Mustapa yang pernah bekerja sebagai Chef di hotel terkemuka di ibunegeri malah Masri sendiri pernah menjadi Chef di sebuah hotel ternama di Johor sebelum ini,diadaptasikan kepada perniagaan kecil-kecilan apabila sektor perhotelan mula menguncup akibat pandemik COVID-19.

Inilah yang kerajaan maksudkan apabila ianya melibatkan golongan muda belia,ceburi bidang perniagaan untuk menjanakan ekonomi diri dan keluarga," jelas Shahelmey yang juga merupakan ADUN N24 Tanjung Keramat,Putatan.

Kiosk JT Burger tersebut disumbangkan sendiri oleh Shahelmey bagi membantu tiga beradik tersebut meneruskan perniagaan burger mereka yang begitu popular dan viral di sekitar Putatan,Sabindo dan Kota Kinabalu.


Masri (kanan) bersama Shahelmey,Awangku Sidik dan Aso

Ketiga-tiganya merupakan Chef bertauliah bersama kronologi karier masing-masing,jelas Shahelmey lagi.

“Masri,abang kepada tiga beradik ini merupakan seorang Chef yang pernah berkhidmat di hotel-hotel terkemuka seperti di Johor dan Kota Kinabalu manakala adik-adiknya pula merupakan bekas Chef di hotel Shangri La Tanjung Aru & Resort.

Mereka gabungkan kemahiran mereka ini untuk mencipta resipi baharu dalam industri makanan segera (burger) ini dengan menu hidangan bukan biasa-biasa.

Tetapi harganya sama dan tidak jauh berbeza dengan burger biasa dan inilah hasil buatan anak-anak tempatan kita yang seharusnya dibanggakan,di sokong dan diketengahkan,” katanya lagi.

Tuesday, February 2, 2021

NAIB KETUA STAR TANJUNG KAPOR KINI TIMBALAN PENYELARAS PARLIMEN KUDAT
Oleh Sam Hj.Othman


KUDAT :
Naib Ketua Bahagian Star Tanjung Kapor,Shawn Davey Robert Lee hari ini di lantik menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Penyelaras Parlimen P167 Kudat.

Perlantikan tersebut dilakukan di ibupejabat Star di Kota Kinabalu oleh Presidennya,YB Datuk Seri Panglima Dr.Jeffrey G.Kitingan sambil disaksikan oleh Timbalan Presiden Tn.Jalumin Bayogoh dan Timbalan Setiausaha Agong Star,Sdr Ardino Diris.

Shawn Davey,44,adalah Ketua Gerakan Team Solidariti Prihatin Rakyat Kudat sejak pertengahan tahun lalu dan bergiat aktif hampir setiap hari dalam usaha membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik dan PKPB (PKP).

Menurut Timbalan Presiden Star Sabah,Tn Jalumin Bayogoh,komitmen yang ditunjukkan oleh Shawn hampir setahun ini perlu dicontohi oleh pemimpin-pemimpin bahagian yang lain kerana usaha beliau itu menunjukkan betapa Parti Star pimpinan YB DSP Dr.Jeffrey Kitingan ini benar-benar prihatin rakyat dan mampu menjadi sandaran untuk rakyat bernaung di bawah parti ini.

Shawn ketika menerima surat perlantikan dari Jeffrey


Untuk info awam,Ketua Penyelaras Parlimen P167 Kudat ialah Tuan Pransol Tiying,di mana pejabat perhubungan Star Kudat terletak di kawasan Bengkoka.

Dengan perlantikan Shawn sebagai timbalannya,rakyat di kawasan bandar Kudat,Sikuati dan persekitarannya termasuk Tanjung Kapor,Parapat dan Simpang Mengayau,kini boleh berurusan di Pejabat Perhubungan Parlimen Star P167 Kudat,Taman Friendly kira-kira 2KM dari pusat bandar Kudat.

Adalah dijangkakan Pulau Banggi juga bakal menerima perlantikan Timbalan Penyeleras Parlimen tidak lama lagi berikutan faktor jarak dan kawasan. 

Star Bakal Tawan Pulau Banggi

BEKAS AMT USNO ISYTIHAR TINGGALKAN PARTI DAN SERTAI STAR

oleh Sam Hj.Othman


KOTA KINABALU :
Gerakan bekas penyokong Usno,PBS dan Warisan Kudat mengisytiharkan keluar dari parti-parti berkenaan memberikan khabar gembira kepada Star Pusat hari ini apabila Pulau Banggi bakal menjadi sebuah lagi lokasi politik untuk STAR bertapak.

Menyerahkan borang-borang keahlian bekas penyokong Usno,Warisan dan PBS,Ketua Gerakan tersebut,Sdr Salbin Muksin hari ini turut mengisytiharkan keluar Usno untuk bersama dengan kepimpinan Bapa Pejuang Hak-Hak Orang Asal Sabah,STAR.

"Semalam adalah kali terakhir saya menghadiri mesyuarat Usno P167 Kudat di mana saya adalah Ahli Majlis Tertinggi dan merangkap Ketua Usno Bahagian P167 Kudat.

Seperti yang saya suarakan semalam,hari ini janji itu saya kotakan untuk menyertai STAR sekaligus meletakkan semua jawatan saya di parti itu sebelum ini," katanya sejurus selepas menemui YB DSP Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden STAR di ibupejabat parti itu di Kota Kinabalu.

Menurut Salbin, rakan-rakan seperjuangan politik beliau dari PBS dan Warisan Kudat juga akan menyusul jejaknya dalam sehari dua ini manakala dua cawangan Usno (Banggi dan Bandar Kudat) dibubarkan bagi menyertai STAR Sabah.

Salbin merupakan mantan Ketua Bahagian dan AMT PBS di antara tahun 1999 hingga 2018 manakala pada tahun 2019, telah menyertai USNO lalu di lantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut.

"Ramai rakan-rakan saya yang dulu berjuang dalam PBS tetapi kini menyertai warisan.

dari kiri Edward,Salbin,Jeffrey dan Phillip

Rakan seperjuangan dalam Usno pula yang terdiri dari Cawangan Banggi & bandar Kudat,manakala ada 4 cawangan Usno lagi dalam Parlimen Kudat ini akan beransur keluar untuk bersama-sama saya di dalam Star.

Malah,kemasukan saya bersama beberapa orang lagi hari ini adalah atas permintaan rakan-rakan seperjuangan saya ini di mana,kami yang memulakan langkah pertama bertemu YB DSP Presiden sebagai pembuka laluan untuk yang lainnya menyertai beramai-ramai kelak," katanya lagi.

Salah satu dari asbab gerakan kumpulan ini memilih Star ialah kerana parti-arti mereka yang terdahulu ternyata semakin kurang sambutan dari rakyat Kudat malah disebabkan musim pandemic Covid19 melanda dan PKP pula ketika ini,parti-parti yang kononnya berjuang untuk rakyat hanya sekadar omongan kosong sahaja.

“Tidak dinafikan bahawa memang mereka bergerak menyantuni rakyat tetapi ianya Cuma sekadar memilih kroni-kroni mereka sahaja tanpa memperdulikan rakyat yang lain.

Mereka bergerak secara bermusim iaitu apabila ada desakan atau viral di media sosial sahaja tetapi ianya hanya umpama lakonan semata-mata,” jelas Salbin lagi.

Salbin tiba di ibupejabat Star di Sokid Villa diiringi oleh Ketua Penyelaras Parlimen P173 Putatan Sdr Phillip Among dan Pengarah Strategi Politik Star Sdr Edward Linggu.

Sedar atau tidak,kemunculan Shawn Davey yang kini sudahpun bergelar Timbalan Penyelaras Parlimen STAR Kudat,banyak membuka mata pengamal politik yang lain untuk bersama-sama melabuhkan perjuangan di dalam Parti STAR Sabah di bawah pimpinan YB DSP Dr Jeffrey Kitingan.

Shawn Davey

Gerakan Team Solidariti Prihatin Rakyat yang diketuai oleh Shawn Davey tersebut di lihat sebagai sebuah gerakan tanpa memilih fahaman politik atau kaum kerana team pimpinan beliau ini bergerak setiap hari sejak pertengahan tahun lepas lagi tanpa henti sehingga pernah menjadi bahan ketawa oleh para pemimpin-pemimpin parti politik yang lain.

Saturday, January 30, 2021

Politik Hari ini :

SINDROM TAKUT BAYANG-BAYANG SENDIRI

Oleh Sam Hj.Othman

 


Ramai pemimpin politik yang berpendapat bahawa kebangkitan suara rakyat dari segenap pelusuk rantau samada di grup-grup whatsapp mahupun Medsos sebagai angin yang berlalu begitu sahaja.

Selepas menang PRN16,ada wakil rakyat yang mula tinggi diri,lupa asal usul sewaktu masih dalam kumpulan pembangkang malah merasa diri mereka bukan lagi diri mereka yang terdahulu yakni,lupa bahawa kemenangan ciput mereka itu adalah hasil pangkah pengundi yang memberi belas kasihan.

Di tanah Malaya,ribut taufan melanda ‘Sindrom Takut Bayang-Bayang Sendiri’ sehingga lupa bahawa Pandemik Covid19 masih terlalu kukuh berlagak bagai Malaikatul Maut.

Kerana gila kuasa dan gila pangkat,mereka sanggup menikam rakan sendiri tanpa rasa malu dan pada masa yang sama,berusaha untuk memartabatkan Ego masing-masing tanpa berfikir bahawa rakyat memerhati tingkah laku mereka untuk pengadilan seterusnya.

Apakah kerana politik,kuasa dan jawatan itu lebih penting berbanding dari memikirkan kesejahteraan rakyat jelata ?

Mahu di panggil BANGANG & BODOH,kita pula di saman dan di ambil tindakan.

Jadi,wajar bagi rakyat Malaya sana mengadili mereka pada Pilihanraya Parlimen akan datang ini berdasarkan sikap belacan mereka itu di kala negara di landa musibah Covid19 yang makin bermaharajalela.

Hukum mereka sewajarnya kerana mereka tidak peduli kepada nasib dan masalah rakyat (pengundi) tetapi lebih kepada memenangkan poket mereka sendiri.

Di Sabah pula,kesan begitu belum lagi ketara tetapi para penyokong-penyokong parti Malaya ini sudah mula meniupkan sentimen tersebut di grup-grup whatsapp dan MedSos yang sekaligus menggambarkan bahawa mereka ini begitu cenderung kepada pergolakan politik Malaya sedangkan para pemimpin Sabahan pula berusaha sedaya upaya untuk memenuhi aspirasi rakyat dengan penubuhan kerajaan GRS.

Apakah para penyokong parti import ini masih taksub kepada Malaya sedangkan kita di Sabah ini memiliki autonomi dan parti lokal sendiri yang bekerjasama semahu-mahunya ?

Tidak kira dari parti manapun,politik Sabahan bercorak dengan seninya yang tersendiri malah keunikan seni politik tersendiri itulah yang menjadikan Sabah ini negeri yang begitu versetail.

Kesenian politik Sabah ada kembang,ada kuncupnya dan mengamalkan sistem ‘hidup ibarat roda’,ada kala di atas,ada kala di bawah.

Bersembah diri kepada rakyat pada waktu dunia di landa musibah ini adalah suatu tindakan yang bijaksana jika dilakukan oleh para pengamal politik hari ini khususnya yang ingin menjadi calon pilihanraya akan datang.

Rakyat mempersembahkan peluang kepada bakal-bakal calon ini untuk mengetengahkan diri mereka sendiri andai ada terdetik nawaitu mereka mahu bertanding di pilihanraya yang akan datang.

Bakal-bakal calon ini seharusnya mengambil peluang ini untuk berusaha menampilkan diri mereka untuk berbakti kepada rakyat yang mengundi tanpa memikirkan istilah ‘boleh saja menang kerana parti ini pilihan rakyat’.

Istilah ini sudah lapuk dan rakyat bukannya bodoh untuk diperkotak-katikkan dengan istilah zaman purba sebegitu kerana dari parti mana sekalipun kamu,atau siapapun kamu,atau sebesar mana jentera politikmu sekalipun,kamu boleh saja tumbang bila-bila masa tanpa sebarang amaran.

Seseorang calon yang ingin mencalonkan diri mereka untuk bertanding nanti (selepas pandemik menurun dan mungkin SPR bagi laluan pilihanraya),bukanlah kaleng-kaleng orangnya (saya rasa) lantaran untuk menjadi seorang calon pilihanraya ini,sudah tentu anda itu punya kewangan yang mencukupi,pengaruh yang hebat dan mendapat kepercayaan pucuk pimpinan pula.

 


 KEWANGAN YANG TEGUH

Setiap calon pilihanraya perlu mengorbankan wang ringgit mereka untuk mendekati rakyat dan waktunya itu sudah ada di depan mata,yakni di musim rakyat terkesan dengan bencana alam dan pandemik Covid-19 ini.

Apakah perlu menunggu ‘bantuan’ dari parti baharulah mahu turun padang ?

Calon ditentukan oleh parti tetapi parti pula mahu melihat komitmen calon yang sesuai,jadi adakah perlu seseorang calon itu menunggu sumbangan parti,kemudian,barulah mahu bergerak menyumbang kepada rakyat?

Pemikiran seperti ini hanya akan membuatkan pucuk pimpinan parti berhak memilih sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai dan berupaya menjadi calon pilihanraya bagi mewakili parti ataupun mengambil pendekatan drastik untuk tidak meletakkan calon di sesuatu kawasan tersebut.

Maknanya,kamu tidak semestinya akan jadi calon pilihanraya walau sekaya mana sekalipun kamu kerana rakyat tidak mahu memilih kamu kelak.

Mutu kewangan yang teguh oleh seseorang yang ingin bertanding di sesuatu kawasan pilihanraya itu haruslah berkorban dahulu mencari dana dari sumber lain (jika kedekut dari poket sendiri) kerana rakyat ingin melihat lebih jelas siapakah yang muncul membantu mereka di saat mereka memerlukan.

Berjanji kosong atau berbohong pada rakyat akan membuatkan rakyat bakal menjatuhkan hukuman di saat-saat akhir kelak.

  

PENGARUH YANG HEBAT

Pengaruh yang hebat boleh saja lahir dari tindak tanduk keperihatinan seseorang bakal calon itu apabila lebih mementingkan rakyat dari yang lain.

Tetapi,pengaruh yang hebat bukan datang dari laporan sekutu-sekutu terdekatnya yang ‘kaki jeck’ sedangkan pada sebaliknya adalah Zero dan rakyat ‘fed-up’ dengan segala impian yang dijanjikan tidak kunjung tiba.

Akar umbi adalah pengundi dan pengundi adalah penentu masa depan politik kamu.

Ada di kalangan para pengamal politik ini sudah kerapkali masuk keluar kampung berziarah dan menyantuni rakyat walaupun dengan hanya membawa sekampit beras untuk setiap keluarga tanpa memikirkan adakah fahaman politik keluarga berkenaan.

Ini tindakan bijak kerana si pelaku ini sekaligus menonjolkan dirinya kepada orang awam sebagai salah seorang dari Ikon Masyarakat yang prihatin.

Dia tidak menunggu lama untuk memperkenalkan dirinya walau dengan hanya sekampit beras,dia terus bersabar dan berusaha mencari penaja-penaja atau dana yang bukan daripada parti yang dianggotainya sendiri kerana sedia maklum bahawa urusan memohon dana itu banyak prosedur dan lambat ketibaannya.

Dia tidak mengamalkan sikap menunggu hingga bantuan berlori-lori,barulah mahu turun padang,cukup sekadar hari ini membeli 10 kampit beras,cari sasaran warga OKU dan daif atau keluarga yang terjejas lalu hantar sumbangan tersebut sambil bertanya khabar sihat walafiat.

 

PILIHAN PUCUK PIMPINAN

Bila sudah ada kewangan yang teguh,pengaruh yang hebat dan dikenali oleh rakyat sebagai seorang yang prihatin,baharulah Pucuk Pimpinan akan buka mata.

Tidak bodoh seorang Presiden Parti memilih calon pilihanraya yang mewakili parti dari kalangan pemimpin yang rakyat tidak berapa kenal atau jarang tunjuk muka ke kampung-kampung.

Pucuk Pimpinan tidak ingin menggadaikan maruah partinya semata-mata untuk kepentingan individu pelobi calon itu sendiri sedangkan undi yang bakal di terima hanya ciput dan ini amatlah memalukan sekali.

Pucuk Pimpinan sudah pernah merasai bahawa ada ex-calon-calonnya yang gagah perkasa,tumbang kalah teruk di pilihanraya lalu dek kerana di hukum oleh rakyat atas sebab-sebab keperibadiannya.

Pucuk Pimpinan parti sudah masak tentang asam garam kehidupan dalam karenah politik hari ini yang menonjolkan Rakyat Itu persis Sang Algojo (penjatuh hukuman) dan bukan lagi mahu melihat siapa kamu dan dari parti apa kamu datang.

Rakyat hanya mahu melihat kamu muncul di ketika mereka memerlukan.

Dan bukan pada ketika memerlukan rakyat (undi),baharulah kamu muncul.

Politik hari ini sudah jauh berbeza dari genre politik di tahun-tahun lalu dan adalah menjadi suatu kelemahan bagi setiap pengamal politik yang masih lagi mempraktikkan sistem drama politik yang nyata sudah jauh ketinggalan.

Wednesday, November 25, 2020

WARISAN TAKUT KELIBAT JEFFREY KITINGAN ?


 SEJAK DARI DULU DR. JEFFREY G. KITINGAN DITAKUTI OLEH PEMIMPIN-PEMIMPIN WARISAN.

BENARKAH WARISAN TAKUT KELIBAT JEFFREY KITINGAN ?

Hingga sanggup putar belit dan fitnah dari dahulu hingga kini..

TS Ir.Jovilis Majami,Penganalisa Politik


1. Isu Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan presiden STAR Sabah digasak oleh Datuk Azis Jamman berhubung kehadirannya di dewan rakyat yang dikatakan melanggar arahan 14 hari kuarantin wajib menujukan bahawa parti Warisan ini sangat takut dengan susuk tubuh yang bernama Dr. Jeffrey G. Kitingan.

2. Semua orang sedar, sejak dari wujudnya parti Warisan sehinggalah hari ini tiada lain pemimpin Sabah yang menjadi sasaran utama mereka ialah presiden STAR Sabah ini. 

3. Mereka tidak kira sama ada berada dalam kerajaan atau pembangkang tetapi ketakutan itu tetap sama terhadap presiden STAR Sabah.

4. Sebenarnya kalaulah pemimpin Warisan ini tidak gundah-gulana dengan kelibat Dr. Jeffrey G. Kitingan isu ini sangat mudah difahami iaitu dengan meminta maklumat lanjut daripada Kementerian Kesihatan kerana kementerian ini yang bertanggungjawab memberi pelepasan kepada presiden STAR ini untuk datang ke Dewan Rakyat dan bukannya berterusan menuding jari kepada Dr. Jeffrey.

5.  Kalaulah Azis Jamman benar-benar mengambil berat terhadap kesihatan ahli-ahli dewan maka beliau juga sepatutnya lebih risau dengan rakyat dan menyuarakan perkara ini sejak dahulu lagi kepada Kementerian Kesihatan memandangkan sebelum ini memang ramai rakyat kita yang dibenarkan untuk tidak menghabiskan kuarantin 14 hari sekiranya mereka berpuashati dengan beberapa keputusan ujian yang dibuat. 

6.  Namun, sekiranya Azis Jamman mengatakan bahawa beliau tidak tahu akan adanya prosedur sebegitu maka kita anggap sahaja yang beliau ini tidak sensitif dan malas mengambil tahu hal-hal rakyat yang terkesan dengan COVID-19.  

7.  Sebagai wakil rakyat Azis Jamman sepatutnya mengetengahkan sesuatu isu yang lebih menjurus kepada kepentingan Rakyat Sabah daripada mempersoalkan dan mempertikaikan perkara remeh seperti ini.

8.  Ataupun mungkin juga pembangkang kita kali ini sudah ketandusan idea untuk dibahaskan di Dewan Rakyat kerana sebelum ini mereka pernah diberi peluang untuk menjadi kerajaan namun keadaan rakyat bertambah sengsara.

-TS.Ir.Jovilis Majami adalah merupakan Penganalisa Politik semasa di Sabah

(Ini adalah pandangan peribadi melalui analisa penulis dan tidak mewakili portal Sabah_OnlineNEWS)

Friday, November 13, 2020

KAJI LEBAR KEMBALI SUNGAI TEMPASUK : JEFFREY

KAJIAN TERPERINCI MELEBAR KEMBALI SUNGAI TEMPASUK : JEFFREY

Oleh Sam Hj.Othman

13hb November 2020


KOTA BELUD : Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (KPIM) dikhabarkan sedang mengkaji semula kerja-kerja mengaut pasir dan mendalamkan sungai Tempasuk-Kadamaian di daerah Kota Belud.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah,Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata kerja-kerja tersebut di lihat sebagai satu jalan alternatif bagi mengelakkan situasi banjir berlaku.

"Kita akan membuat kajian terperinci berpandukan pada sistem kerja yang ada sekarang dan melihat di sudut mana ianya perlu ditambahbaik atau di ubah.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah sudah memaklumkan situasi sungai serta syarikat yang mengendalikan kerja-kerja tersebut.

Apa yang kita ketahui ialah kelemahan sistem tersebut dimana kontraktor di bayar daripada hasil penjualan pasir yang dikaut dari sungai berkenaan," jelas beliau.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah itu lagi,di bahagian muara sungai terdapatnya longgokan pasir yang tebal sehingga menyempitkan laluan sungai dan malang sekali,tiada syarikat pembinaan lain yang berminat untuk membeli pasir-pasir ini kerana ianya masin (tidak sesuai untuk binaan konkrit).

"Tiada pembeli...Tidak laku maka tidak ada insentif walaupun Menteri KPIM terdahulu menjamin bahawa akan ada pembeli dari China.

Sebab itu syarikat yang di lantik mengendalikan sistem pengorekan pasir di sungai berkenaan menghentikan kerja akibat ketiadaan pembayaran bagi menampung kos," jelasnya lagi.


Apapun,kerajaan sedang berusaha untuk melihat dari cara mana pasir-pasir ini boleh dialihkan dari tebing sungai bagi mengelakkan banjir semakin teruk melanda Kota Belud,kata Jeffrey.

Sebelum tahun 2018, Kerajaan Persekutuan pernah melaksanakan kerja-kerja mengaut pasir dan melebarkan sungai berkenaan.

Apabila Warisan mengambilalih tampuk pemerintahan negeri,khidmat kontraktor yang terlibat dihentikan.

Kerja-kerja berkenaan tertangguh hampir lebih setahun sebelum Warisan (kerajaan negeri ketika itu) melantik sebuah syarikat lain menyambung projek berkenaan.

Bagaimanapun,sehingga sebelum PRN lalu,syarikat berkenaan tidak kelihatan memfokuskan kerja-kerja berkenaan menyebabkan limpahan pasir membentuk di tebing hingga menyebabkan sungai semakin sempit.


Persoalan ini sering dijadikan topik hangat bila saja daerah berkenaan di landa banjir dan tidak dinafikan sejak kebelakangan ini, situasi banjir semakin teruk hingga menyebabkan jalan utama menghubungkan Bandaraya Kota Kinabalu ke utara negeri ini terputus.

"Kerajaan tidak akan duduk diam khususnya kementerian saya tentang masalah ini.

Kita sedang buat kajian dan akan mencuba cari jalan untuk mengatasi masalah rakyat ini seberapa cepat yang boleh," ujarnya lagi.