Kota Kinabalu : Jangan lupa asal usul dan jangan lupa daratan,ujar Ketua Wanita UMNO Sabah Datuk Dr.Hjh.Jainab DSP Ahmad Ayid terhadap pemimpin-pemimpin PPBM dan mereka yang pernah mengecapi kesenangan semasa kerajaan terdahulu memerintah.
"Ingatlah...Kalian dahulu adalah orang-orang UMNO dan mengecapi kesenangan,kemajuan dan ada yang hidup mewah semasa kerajaan BN yang ditunjangi UMNO memerintah negeri ini.
Kalian juga pernah memegang jawatan-jawatan tertinggi dalam kabinet Sabah dan sekaligus mengukuhkan karier politik kalian sehingga ke hari ini," kata Jainab.
Menurutnya,bila sudah keluar dari UMNO dan mengkhianati para pengundi di kawasan mereka,kini mereka pula bersuara dengan lantang mengkritik UMNO sedangkan kerusi yang mereka duduki sekarang ini pun dimenangi atas tiket BN-UMNO.
"Kecaman nyata dan berterusan daripada kalangan pemimpin PPBM Sabah ibarat meludah ke langit,tetapi kena muka sendiri...
UMNO Sabah mandiri sejak pengkhianat-pengkhianat seperti mereka ini keluar dari UMNO dan UMNO Sabah terus relevan dari hari ke hari biarpun terpaksa menghadapi dugaan dan kecaman yang datang khususnya daripada bekas-bekas ahli yang berpaling tadah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jainab mengulas mengenai kenyataan Timbalan Ketua PPBM Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang menggambarkan bahawa UMNO seolah-olah sebuah parti rasis setelah Muafakat Nasional bersama PAS terjalin.
Masidi dalam laporan sebuah portal kelmarin memberikan kenyataan yang sensitif yang boleh disalah tafsirkan olah rakyat di mana tuduhan terhadap pembentukan Muafakat Nasional tidak sesuai berada di Sabah dan lebih kepada rasis.
"Perlu di ingat bahawa UMNO Sabah akan memiliki autonominya sendiri menjelang beberapa minggu lagi dari sekarang dan UMNO Sabah berpendirian bahawa Muafakat Nasional bersama PAS itu RELEVAN di Sabah yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.
UMNO bukan parti rasis kerana Masidi harus sedar dan lebih mengetahui bahawa sejak dahulu lagi,UMNO Sabah bukan saja dianggotai oleh masyarakat muslim semata-mata malah UMNO Sabah terkenal dengan parti bersifat berbilang kaum di negeri ini.
Isu rasis dan menyentuh sensitiviti keagamaan yang cuba ditiupkan oleh PPBM Sabah adalah tidak masuk akal dan merupakan tindakan yang bodoh dari lidah seseorang yang bergelar pemimpin," jelas Jainab lagi.
"Kita hairan mengapa UMNO di bidas dengan berbagai tohmahan dan kecaman setelah gagal mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan di Sabah.
Tetapi bagi UMNO Sabah,kenyataan demi kenyataan oleh bekas orang-orang UMNO ini disifatkan sebagai 'ketakutan' apabila mereka sedar bahawa UMNO masih kukuh berdiri,UMNO masih relevan sebagai pilihan rakyat dan rakyat kini semakin ramai yang ingin kembali bersama-sama dengan UMNO setelah janji-janji PRU14 tidak mampu dilaksanakan," katanya lagi.
UMNO Sabah bakal diberikan autonomi bulan depan (Disember 2019) di mana ianya akan menjadikan parti berkenaan mentadbir dan menguruskan sendiri perjalanannya berpandukan kepada tawaran baharu atau 'New Deal' untuk Sabah.
Ini sekaligus merupakan anjakan paradigma parti itu dalam menyantuni rakyat serta negeri secara keseluruhannya berbanding sebelum ini.
"Oleh yang demikian,saya berharap agar serangan politik atau kecaman perlulah dihentikan terhadap UMNO Sabah kerana mereka-mereka yang merupakan bekas pemimpin UMNO itu,apabila membuat tohmahan dan kecaman,seolah-olah terkena juga batang hidung sendiri.
Adalah lebih baik kalian menjaga parti kalian sendiri yang ternyata jauh lebih kucar-kacir dari sudut dalamannya daripada menyerang UMNO....
Semua orang tahu,parti-parti kerajaan sekarang berada dalam situasi retak menanti belah kerana terlalu taksub dan terlalu banyak 'kepala' serta jauh dari istilah permuafakatan.
Orang luar jangan masuk campur urusan UMNO Sabah kerana ia parti yang kini di tadbir dengan baik di bawah kepimpinan baharu yang sejati dan oleh para pejuang yang sebenar," ujar beliau lagi yang juga merupakan Exco Wanita UMNO Malaysia.
No comments:
Post a Comment