Friday, June 28, 2019

UMNO TERUSKAN 'SENTUHAN RAKYAT'


KOTA KINABALU : Program Sentuhan Rakyat akan tetap di teruskan kerana ianya sudah berlangsung sejak sekian lama,jelas Sdr Mohd.Ghazali Hj.Mohd.Azim,Setiausaha UMNO Bahagian P169 Kota Belud.

"UMNO Kota Belud akan meneruskan gerak kerja 'sentuhan rakyat' yang lebih menjurus kepada isu-isu kebajikan sepertimana yang kita lakukan sebelum ini dan antara gerak kerja lain yang telah digariskan dalam plan tindakan parti ialah "engagement program" dengan golongan muda bagi melihat dan memahami dengan lebih jelas akan isu dan dilema yang dihadapi oleh orang muda berikutan begitu banyak kecelaruan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada masa kini," jelasnya ketika ditemui di sini.

Menurutnya,UMNO Kota Belud yakin bahawa rakyat akan kembali memilih UMNO sebagai parti yang selayaknya diberi mandat untuk memerintah.

"Kita akan menjadi pembangkang yang berwibawa....Kita perlu mengutarakan hal-hal yang memberi manfaat kepada kesedaran rakyat terhadap hak mereka dan tanggungjawab kerajaan. Kita tidak akan mengikut acuan "stereotaip" pembangkang. Sebaliknya, kita perlu memainkan peranan "check and balance" dan memberi peringatan yang membina agar kerajaan melaksanakan janji mereka demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Setiap yang dikatakan, haruslah dikotakan. Kerajaan PH tidak wajar memperlekehkan harapan dan mandat yang telah diberikan kepada mereka dengan alasan yang tidak munasabah dan hanya menuding jari kepada kerajaan yang lepas," ujar beliau lagi.

Menyentuh tentang situasi masa kini khususnya di Kota Belud,beliau menjelaskan bahawa penerimaan rakyat terhadap UMNO juga didorong antara lainnya melalui kerjasama rapat bersama PAS di atas nama Penyatuan Ummah.

"Kesedaran masyarakat melayu dan bumiputera tentang betapa perlunya mereka bersatu demi kelangsungan bangsa dan agama semakin memuncak.Justeru, seruan untuk penyatuan ummah adalah tepat pada masanya."

UMNO Kota Belud,setelah PRU14 lalu menyaksikan proses pentadbirannya agak goyah tatkala beberapa pemimpin parti itu beralih arah ke parti lain khususnya dua ADUN yang memenangi kerusi masing-masing diatas tiket BN(UMNO) iaitu Datuk Musbah Hj.Jamli (Tempasuk) dan Datuk Japlin Hj.Akim (Usukan).

Parti itu kini diketuai oleh tenaga anak muda Tn.Hj.Fadli Hj.Juanas yang memangku jawatan Ketua Bahagian manakala timbalannya,Sdr Selamat Antang.Rata-rata barisan komiti baharu UMNO Kota Belud terhasil dari gandingan tenaga lama dan baru sebagai kesinambungan perjuangan parti keramat tersebut.


No comments:

Post a Comment