Friday, January 31, 2020


Masalah Bekalan Air Kritikal  
KOMUNITI DESAK JANS BERTINDAK SEGERA  

KOTA KINABALU : Masalah bekalan air semakin kritikal di sebahagian kawasan Bandaraya Kota Kinabalu dan komuniti mendesak agar Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bertindak segera untuk mengatasi masalah ini yang sekaligus menyebabkan banyak gangguan dari segi perniagaan dan urusan seharian.

Beberapa kawasan kritikal yang terlibat termasuklah hotel-hotel penginapan di sekitar bandaraya,premis-premis perniagaan terutamanya restoran dan kafe serta rumah atau apartment.

Tinjauan krew Sabah_OnlineNEWS dilakukan berikutan terdapatnya aduan terus kepada blog kami yang pada mulanya di hantar oleh seorang penduduk Kg.Anggun Jaya yang bernama Rizal Jumat,32,yang mendakwa sudah beberapa kali membuat aduan ke JANS berkenaan masalah ketiadaan air yang sudah lama berlaku di kampung berkenaan .


Menurut Rizal,sebuah sekolah juga terlibat mengalami masalah air ini di sini dan bukan setakat penduduk kampung sahaja.

“Kami sudah beberapa kali mengadu kepada JANS namun sehingga hari ini,belum ada sebarang tindakan di buat melainkan hanya dihidangkan dengan alasan demi alasan.

Kami menderita tanpa ada bekalan air bersih selama beberapa bulan ini dan terpaksa mencari alternative lain termasuk turun ke sungai kecil kampung kami untuk mengambil air,” katanya lagi.

Rizal selaku jurucakap kepada seluruh penduduk Kg.Anggun Jaya juga mendedahkan bahawa alasan JANS mengenai masalah ketiadaan air ini ialah pam air rosak dan ketiadaan tangki air bagi menampung bekalan.

“Takkan masalah itu,kami semua yang perlu atasi dan sediakan ?....Apakah kerajaan melalui JANS sudah tidak berfungsi lagi ? ” Soal beliau lagi.


Memang benar kata Rizal lagi,Sepanggar pesat membangun dengan projek-projek perumahan dan kilang perusahaan kecil yang bermula dua tiga tahun lalu sehingga menyebabkan kekurangan bekalan air berlaku tetapi adakah kerana itu,kesejahteraan dan keperluan rakyat perlu diabaikan ?

“Sampai bila masalah air ini akan berterusan kerana sebelum ini,tidaklah jadi sampai begini teruk ?” Katanya lagi.

Semalam muncul viral sebuah senario yang menarik perhatian netizen bila mana sebuah hotel terkemuka di pusat bandar begitu terdesak sehingga terpaksa membeli bekalan air menggunakan lori bagi kegunaan hotel berkenaan.

Senario ini amat jarang berlaku kerana selalunya,isu kekurangan bekalan air ini hanya melanda kawasan-kawasan luar bandar sahaja.

Menurut netizen di laman sosial yang di petik sebagai berkata,Mahkamah sudah memutuskan bahawa perlantikan Pengarah JANS baru-baru ini adalah tidak sah dan pada ketika yang hamper sama,Ketua Menteri Sabah pula mengarahkan Pengarah tersebut agar meneruskan tugas yang sekaligus merupakan perbuatan membelakangi keputusan Badan Kehakiman.

Menurut netizen,sudah lah perlantikan itu tidak sah malah kebajikan rakyat sebagai pengguna air di negeri ini pula diabaikan.

 




Thursday, January 30, 2020

Pemilihan BERSATU Sabah
NAMA-NAMA BESAR MENANG TANPA TANDING


  DSP HAJIJI  
KOTA KINABALU: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengekalkan jawatan Ketua Bahagian BERSATU Tuaran apabila tidak dicabar sehingga pencalonan ditutup pada Ahad lalu.

Sesi pencalonan untuk pemilihan parti pada Ahad lalu menyaksikan tiada individu lain yang mengemukakan borang untuk mencabar Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman.

Timbalan Ketua BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun juga menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian BERSATU Ranau.

Turut menang tanpa bertanding jawatan Ketua Bahagian ialah Setiausaha BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (Beluran), Ketua Penerangan BERSATU Negeri, Encik Khairul Firdaus Akbar Khan (Libaran) dan Bendahari BERSATU Negeri, Datuk Haji Mohd.Arifin Haji Mohd.Arif (Kimanis).
  MASIDI  

14 lagi Ketua Bahagian lain juga memang tanpa bertanding ialah Datuk Rahim Bakri (Kudat), Datuk Wetron Bahanda (Kota Marudu), Datuk Japlin Haji Akim (Kota Belud), Encik Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar), Datuk Faisyal Yusof Hamdan Diego (Kota Kinabalu), Senator Datuk John Ambrose (Penampang).

Datuk Haji Ghulam Haidar Khan Bahadar (Papar), Datuk Isnin Haji Alisnih (Beaufort), Encik Matbali Musah (Sipitang), Datuk Rubin Balang (Tenom), Encik Azman Ruslan (Keningau), Senator Datuk Abdul Ghani Yassin (Pensiangan), Datuk Awang Kadin Tang (Sandakan) dan Encik Aksyah Nasrah (Kinabatangan).

  ARIFFIN ARIF  
Sementara 6 lagi bahagian lain kebanyakannya menyaksikan pertandingan 2 penjuru, kecuali Bahagian Putatan. Bahagian lain ialah Libaran, Semporna, Silam, Tawau dan Kalabakan.

Setiausaha BERSATU Negeri, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, semua 25 bahagian di negeri ini layak mengemuka pencalonan bagi pemilihan yang diadakan buat pertama kalinya.

Katanya, Ketua Srikandi (KS) BERSATU Sabah, Datuk Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Mohd.Dun bersama 20 lagi KS mengekalkan jawatan mereka apabila turut tidak dicabar.

"Antara yang menang tanpa bertanding ialah Timbalan KS BERSATU Negeri, Datuk Amisah Yassin (Ranau), Setiausaha SK Negeri, Dato Redonah Bahanda (Kota Marudu), Ketua Penerangan SK Negeri, Puan Mizma Appehdullah (Silam) dan Bendahari SK Negeri, Puan Jamaliah Antalip (Tuaran)", katanya dalam kenyataan, hari ini.
   RONALD KIANDEE  

Hanya 4 bahagian mencatatkan saingan  2 penjuru bagi merebut jawatan KS Bahagian, iaitu Penampang, Tenom, Tawau dan Kalabakan.

Sementara bagi jawatan Ketua Armada (KA) BERSATU Bahagian, 20 KA bahagian berjaya mengekalkan jawatan mereka apabila tidak dicabar.

Antaranya ialah Timbalan KA Negeri, Ceasar Mandela Malakun (KA Bahagian Penampang), Setiausaha Armada Negeri, Encik Azrul Ibrahim (Papar) dan Bendahari Armada Negeri, Encik Ghazali Hajiji (Tuaran).

  GHAZALI HAJIJI  
5 KA bahagian lagi wujud saingan yang membabitkan pertembungan 2 hingga 3 calon, iaitu Putatan yang diterajui oleh KA Negeri, Encik Isquzawan Israq Datuk Arsit, Beluran, Semporna, Tawau dan Kalabalan.

Ronald Kiandee berkata, proses penamaan calon pada Ahad lalu berlangsung dalam keadaan tenang, aman dan lancar.

“Saya harap kelancaran ini dapat diteruskan pada proses berkempen nanti,” katanya.

Mesyuarat BERSATU peringkat cawangan akan dimulakan pada 15 Februari sehingga 29 Mac dan mesyuarat peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April, manakala Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) pula pada 25 hingga 28 Jun depan.

Wednesday, January 29, 2020


Kenyataan Media
Datuk Yong Teck Lee
Mantan Ketua Menteri Sabah
Kota Kinabalu (Rabu) 29  Januari 2020

YONG : HENTIKAN TUNTUTAN MEMERANJATKAN

Pemikiran yang menyedihkan dan harapan palsu di kalangan pendatang tanpa izin dari Filipina Selatan telah memesongkan pemikiran mereka bahawa mereka berhak, sebagai hak untuk memasuki Sabah seperti yang mereka inginkan kerana mereka kini percaya bahawa Sabah adalah milik mereka.

Seorang Sulu yang menggelarkan dirinya sendiri sebagai sultan, yang tinggal di Sabah, tanpa rasa segan untuk membuat kenyataan yang keterlaluan bahawa mereka adalah penduduk pribumi kelas pertama di Sabah dan mengejek status penduduk asal Sabah. Tuntutan keterlaluan sedemikian mesti dihentikan dengan serta-merta.

Kerajaan dan NGO juga mesti memulakan kempen secara agresif yang mendesak untuk menghapuskan mentaliti di kalangan orang-orang yang menghina, yang berfikir bahawa Filipina, melalui Kesultanan Sulu sekarang, masih mempunyai tuntutan ke atas Sabah.


Orang berbangsa Suluk tempatan menerima bahawa Sulu tidak ada tuntutan ke atas Sabah

Saya berasal dari Lahad Datu, membesar dalam masyarakat berbilang kaum dengan ramai orang asal Sulu, sebagai rakan sekelas dan sahabat sahabat  keluarga. Oleh itu, saya boleh mengatakan dengan yakin bahawa rakyat asal Sulu yang telah berada di Sabah selama beberapa generasi menerima kenyataan sejarah bahawa Sabah adalah milik rakyat Sabah dan bahawa Filipina dan keluarga Sulu tidak mempunyai sebarang tuntutan yang sah terhadap Sabah.

Ilustrasi fakta  meletakkan Sabah dimiliki oleh rakyat Sabah dan tidak ada orang lain, ketika Suruhanjaya Cobbold dan kemudian Misi Penemuan Fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UN Fact Finding Mission)  datang ke Sabah pada tahun 1962 dan 1963, mereka hanya berunding dengan orang-orang di Sabah mengenai Pembentukan Malaysia, bukannya dengan pemimpin Sulu atau Brunei. Kesultanan Sulu yang disebut adalah sama seperti kesultanan di Indonesia yang tidak lagi wujud.



Tidak ada kesultanan di Filipina

Terdapat hanya sultan-sultan palsu di sana-sini yang hanya ingin menuntut Sabah untuk mendapatkan keuntungan kewangan.

Pada tahun 1962, keluarga Kiram (bukan kesultanan) di Sulu telah menyerahkan apa sahaja tuntutan mereka ke Sabah kepada kerajaan Republik Filipina bagi menguruskan apa pun perkara berbangkit dengan PBB dan Malaysia.

Apa-apa tuntutan sejarah yang ada diantara Sabah dan Filipina telah lama diselesaikan secara konsisten memihak kepada Malaysia melalui pengiktirafan PBB sejak 1963 dan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (Mahkamah Dunia). ICJ (International Court of Justice) atau Mahkamah Dunia pada Oktober 2001 menyampaikan penghakiman yang menolak percubaan oleh Filipina untuk campur tangan dalam kes antara Malaysia dan Indonesia ke atas pulau Sipadan/Ligitan. Malaysia memenangi kes itu pada Disember 2002 dengan meyakinkan.


Peta Filipina tidak termasuk Borneo

Malah, sejauh mana kegusaran Filipina, sempadan negara mereka ditakrifkan dalam Perlembagaan Filipina seperti yang terkandung dalam Perjanjian Paris 1898 yang mencipta Republik Filipina yang moden. Peta Filipina dalam perlembagaan Filipina secara eksplisit mengecualikan semua wilayah Borneo. (lihat peta dilampirkan).

Ini adalah fakta sejarah, yang dibuktikan berdasarkan dokumen-dokumen di Brunei dan negara-negara lain, bahawa Brunei tidak pernah memberikan sebahagian daripada Borneo kepada Kesultanan Sulu pada abad ke-17 atau selepas itu. Ia adalah fakta bahawa tiada kuasa asing yang pernah mengiktiraf pemerintahan Sulu di mana-mana bahagian Borneo. Sebelum pentadbiran British North Borneo Chartered Company bermula pada 1881 di Sabah, semua urusan asing yang berkaitan dengan bahagian utara Borneo adalah dengan kuasa Kerajaan di Brunei, bukan Sulu. Tuntutan yang dipanggil Sulu kepada Sabah sentiasa ditentang oleh Brunei.

Menurut pemimpin Warisan, Datuk Peter Anthony, dalam satu video viral, mendakwa bahawa ketika British pertama kali datang ke Sabah, Orang Suluk, Bajau, Simunul adalah orang pertama yang dijumpai oleh British, sebelum KDM. Kenyataan sedemikian telah diambil dengan maksud bahawa Suluk, Bajau, Simunul berada di Sabah lebih awal daripada orang-orang asal seperti Dusun asal.

Ucapan oleh pemimpin KDM, yang kini menjadi menteri kanan Sabah, telah menggalakkan banyak tuntutan palsu dan tidak berasas oleh orang yang meragukan, bahawa KDM bukan berasal dari Sabah tetapi berasal dari Indo-China atau Mongolia. Perbincangan sebegini mengenai penduduk asal KDM amat menghasut dan berbahaya.

  Yong bersama buku The Philipines Constitution  
Sebagai fakta sejarah, British, (yang disebut oleh Peter Anthony), sebenarnya adalah orang Europa yang terakhir menjejakkan kaki di Asia Tenggara, termasuk Borneo Utara. British datang hanya pada abad ke-18. Portugis, Belanda dan Sepanyol datang pada abad ke-16. Tetapi orang Arab, Cina dan India telah datang ke Asia Tenggara selama berabad-abad sebelum orang Eropah. Perbezaan antara orang Eropah dan orang Arab/Cina/India yang datang ke Asia Tenggara adalah bahawa orang Arab/Cina/India datang sebagai pedagang dan bukan sebagai penakluk untuk menjajah Asia Tenggara.


Pelayar Cina telah berhubung dengan orang-orang Brunei dan Dusun sebelum British datang

Bagi Dusun dan suku suku asal di Sabah, rekod pelayar China, sejak zaman Laksamana Zheng He dan sebelum itu, telah mencatatkan pertukaran dengan orang-orang asal di bahagian utara Borneo. Armada Zheng He telah tiba di Borneo pada awal abad ke-15. British datang 300 tahun kemudian.

Oleh itu, penemuan Sulu, Bajau, Simunul oleh British adalah sekurang-kurangnya 300 tahun selepas orang Cina membuat hubungan dengan orang-orang Brunei dan Dusun Borneo Utara. Dan, rekod-rekod China menunjukkan bahawa orang-orang Dusun dan orang-orang asal yang lain sudah berada di Sabah sebelum para pelayar British mula-mula meninggalkan mereka pulau mereka di Britain.


BUNG MOKTAR PEJUANG YANG TIDAK MUDAH MENYERAH  

KOTA KINABALU :  Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin merupakan pemimpin dan pejuang yang tidak mudah menyerah, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam karier politiknya.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kinabatangan, Encik Titing Putang berkata,  Bung memiliki semangat juang yang kental dan tinggi.

Katanya, Bung adalah tokoh yang tidak mudah menyerah kalah walaupun di hambat dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam perjuangannya bersama UMNO.

Beliau berkata, selaku Ketua UMNO Sabah,  Bung  bukan sahaja perlu memastikan kesemua 25 Bahagian UMNO seluruh Sabah dapat berfungsi dengan berkesan, malah UMNO perlu terus relavan di negeri ini.


"Beliau di beri kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai Ketua UMNO Sabah selepas parti itu menghadapi Tsunami  Politik dengan penghijrahan beramai-ramai Wakil Rakyat dan Ketua-Ketua Bahagian UMNO Sabah ke parti komponan Pakatan Harapan (PH).

Ketika itu UMNO Sabah menghadapi krisis sokongan apabila ramai ahli UMNO meninggalkan parti dan menyertai parti lain, termasuk beberapa orang Wakil Rakyatnya yang meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Warisan Sabah.

Namun semua dugaan itu tidak mematahkan semangat juang Bung dan beliau menyusul semula kepimpinan UMNO Sabah agar parti itu bertambah kuat dan teguh", katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Titing lagi, UMNO Sabah di bawah pimpinan Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan kini berada di landasan yang kukuh dengan sokongan daripada rakyat yang kembali memihak kepada UMNO Sabah.

“ Kekuatan UMNO Sabah dapat dilihat dan diuji apabila Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis 18 Januari lalu.


Selaras dengan autonomi yang diberikan oleh UMNO Pusat kepada UMNO Sabah, buat pertama kalinya dalam sejarah politik UMNO, Bung diberi kepercayaan dan kuasa untuk memilih dan menentukan calon PRK Kimanis,” jelas Titing.

Beliau berkata, Bung yang mengetuai Jentera PRK itu dengan sokongan dan dokongan padu daripada pemimpin UMNO Pusat dan parti komponen BN yang lain serta parti-parti pembangkang  lain iaitu PAS, Parti Bersatu Sabah (PBS), Star, SAPP dan lain-lain, maka misi mengekalkan kerusi P176 kimanis itu mencapai kejayaan sekaligus menunjukkan petanda bahawa UMNO masih relevan di hati rakyat.


Kepimpinan Bung begitu menyerah apabila UMNO dan BN berjaya menewaskan Parti Warisan Sabah dalam PRK Parlimen Kimanis dengan kelebihan majoriti 2,029 undi.

"Bukan mudah bagi UMNO dan BN yang berada dalam blok pembangkang untuk mengalahkan parti Warisan yang menerajui Kerajaan Negeri Sabah dalam pertandingan satu lawan satu dalam PRK Kimanis yang lalu.

Kemenangan BN dalam PRK Kimanis bukan sahaja membuktikan bahawa rakyat menolak Warisan yang merancang untuk melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS) pada mulanya, malah sekaligus membukti sokongan yang padu daripada rakyat terhadap UMNO dan BN", tegasnya.

Bung Moktar Radin, 60,  dilahirkan pada tahun 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan pernah berjuang bersama United Sabah National Organisation (USNO) sebelum menyertai USNO yang dibubarkan bagi memberi laluan kepada ahli-ahlinya untuk menyertai UMNO supaya parti itu dapat bertapak di Sabah.



Tuesday, January 28, 2020

SELEPAS PSS,APA YANG SETERUSNYA ? SOAL SAPP   
Oleh Sam Hj.Othman    


KOTA KINABALU : Kerajaan perlu memberi jaminan bahawa ratusan ribu pendatang tanpa izin yang masih berada di Sabah tidak akan diberi kewarganegaraan,kata mantan Ketua Menteri Sabah DSP Yong Teck Lee bagi mengulas kebimbangan orang ramai terhadap  pembatalan cadangan  PSS yang digantikan dengan mekanisme baharu dan  pemberian dokumen kewarganegaraan kepada orang asing yang tidak layak.

“Kebimbangan awam ini timbul daripada niat kerajaan yang ingin mengekalkan orang asing di Sabah, terbukti dari banyak kenyataan dari menteri-menteri kerajaan seperti memberikan pendatang tanpa izin untuk menetap, menggazet setinggan sebagai penempatan selain mempromosikan pendirian bahawa ekonomi Sabah memerlukan pendatang tanpa izin sebagai buruh asing.

Timbalan Menteri Dalam Negeri juga telah memberikan alasan bahawa kerajaan Filipina enggan menerima kembali pendatang haram berasal dari Filipina tetapi pada masa yang sama  ianya telah dinafikan oleh Filipina sendiri.

Semua kenyataan daripada menteri-menteri kerajaan itu menunjukkan terdapatnya corak yang konsisten dan niat yang jelas bahawa kerajaan tidak berniat pun untuk menghantar pendatang tanpa izin ini kembali ke negara asal mereka,” ujar Yong dalam satu kenyataan medianya di sini.


Menurut Yong yang juga Presiden SAPP berkata,ia masih segar dalam ingatan rakyat bahawa menteri persekutuan dan menteri Kabinet Sabah hari ini berulang kali dan dengan tegas menyokong cadangan pelaksanaan PSS selama beberapa bulan sebelum ini.

“Segala alasan untuk menghalalkan PSS diberikan dengan alasan untuk memantau pendatang tanpa izin dari sudut keselamatan, ekonomi,fasiliti akademik, menggunakan kemudahan hospital, membuka akaun bank, berkahwin dan sebagainya.

Menteri-menteri kerajaan juga menyerang pembangkang dan aktivis yang menentang PSS dan menghina Perhimpunan Aman Blacksunday Anti-PSS yang diadakan di Gaya Street di Kota Kinabalu pada 15 Disember lepas dan di Membakut baru-baru ini.

Jadi, bagaimana pula, secara tiba-tiba, semua justifikasi dan alasan untuk PSS itu mereka lupakan ?
Atau apakah rancangan lain seperti Projek IC 2.0 sedang direncanakan?” Tegas beliau lagi.

Menurut Yong,apa yang rakyat mahukan ialah memberikan jaminan yang jelas,tegas dan secara umum dari kerajaan negeri bahawa pendatang tanpa izin ini tidak akan diberikan dokumen kewarganegaraan.

Kenyataan Media oleh
Datuk Yong Teck Lee
Presiden SAPP.

Rencana Politik :   
SESUATU TENTANG UMNO YANG ANDA PERLU TAHU  
Admin bukan ahli UMNO-BN  

(Realiti yang bukan fantasi)  

UMNO tercalar di PRU14

Tahukah anda dari mana calar ini datang ?
Jawapannya terhasil dari unsur fitnah dan dendam.Checkmate bilang Julfazli si mulut puaka yang dulunya merondai segala keburukan UMNO-BN sampai tertelanjang bulat hingga menyebabkan badan politik tertua itu menerima tamparan isu yang mempengaruhi sebilangan masyarakat yang menyokong manusia dupang yang namanya Julfazli ini.

(Walaunnya - Julfazli kini menyentap hati dan peribadi pemerintah hari ini pula dengan banyak tuduhan dan makian khususnya terhadap YAB Ketua Menteri Sabah dan YAB Perdana Menteri Malaysia...Spesis Julfazli ni tetap satu pendiriannya iaitu : Ketidakpuasan hatinya terhadap sesiapa sahaja yang jadi pemerintah samada di kerajaan terdahulu ataupun di kerajaan kini selain membayangkan bahawa Budak Celupar ini seakan-akan sedang mengejar sesuatu yang belum terzahir.)

Selainnya ialah fitnah yang di tabur oleh kalangan pembangkang saat itu dengan mengaitkan dari isu asal kepada isu lain yang tampak terhasil agak sama.

Edit atau suntingan bahan yang tular,begitu banyak tersebar akibat kerajinan cytro-cytro MedSos yang di upah.

Bahan-bahan berkenaan diserapkan ke akaun MedSos tertentu sebelum 'pemilik akaun yang dungu' itu menyebarkannya pula bertali arus tanpa rasa curiga,dari mana sumber itu terhasil serta mana bukti-buktinya.

Lihat contoh hari ini,penularan berita palsu berkenaan KoronaVirus oleh kaki-kaki MedSos yang tanpa mahu siasat terlebih dahulu kesahihan berita itu,terus sahaja menyebarkannya tanpa rasa bersalah bahawa itu juga boleh dikatagorikan FITNAH dan Tahniah pula kepada SKMM dan PDRM yang berganding bahu mengesan penyebar berita palsu ini untuk tindakan selanjutnya

(Tohh...Alangkah baik jika penyebar fitnah tentang UMNO-BN yang di calar pelbagai tohmahan itu di kesan pada 'suatu waktu dahulu'  yakni di zaman tahun 80an dan 90an hingga sebelum PRU14?)

Benar sekali...Terdapatnya segelintir anggota atau pemimpin UMNO itu bersifat 'rakus kuasa dan suka mengambil kesempatan selain dikatakan ego berkroni' sewaktu ianya memerintah saat menjelangnya PRU12 hingga PRU14 dulu.

Percaya atau tidak,penghujung tahun 80an dan sepanjang tahun 90an adalah merupakan detik kegawatan politik yang paling runcing sekali tetapi hal itu bijak ditutupi dengan segenap kepintaran yang ada dengan menggunakan banyak isu yang mengaburi mata rakyat.

Saat itu,rakyat dimomokkan dengan isu kegawatan ekonomi yang dengan selambanya tiba-tiba berhasil menampilkan seorang Hero untuk Malaysia menyelamat ekonomi rakyat.

Tidak cukup dengan itu,pemecatan Anwar Ibrahim adalah salah satu cara yang turut mengalihkan pandangan umum terhadap masalah dalaman ekonomi negara sehinggalah ianya berlarutan hingga ke jeriji besi.

Bukankah ini juga calaran yang tanpa disedari tercipta untuk UMNO ?

Pada saat Najib Razak menjadi PM,sungguh benar begitu banyak perubahan yang di buat sejajar dengan kemajuan dunia dari segi persaingan global,sosio ekonomi dan pembangunan untuk rakyat sebagai kesinambungan perancangan PM-PM sebelumnya.

(Soal Najib di asak ke Mahkamah atas isu 1MDB atau SRC atau sebagainya itu,biar undang-undang yang menentukan selain berserah sahaja kepada Qada dan Qadar Allah SWT.)

Orang bijak pandai ada berkata - Setiap perbuatan baik itu,ada mata sinis yang memandang.

Persaingan mendapatkan title Juara (Nombar Satu) adalah keutamaan setiap orang yang melabuh cabaran dalam sesuatu sayembara (perlombaan) dan mereka yang mengidam gelaran itu akan sanggup berbuat apa sahaja untuk menjayakan misinya.

Manakala,mantan juara sebelumnya juga sangat menginginkan untuk kembali beraksi semula samada kerana niat untuk kepentingan peribadi mahupun kerana niat yang lain.Wallahualam bissawab.

Pelomba-pelomba yang lain (yang tentunya sudah terbiasa dapat nombor di belakang '1' itu) jika menang sekalipun,pemikiran mereka tetap bercampur aduk malah lebih parah lagi jika masih berfikiran dan berlagak seperti 'bukan pemenang' sebenar lantaran terlalu takut dibayangi kelibat pemenang sebelumnya.

Mengapa saya katakan UMNO masih kekal relevan ???

  autonomi  
Saya melihat hampir dua tahun UMNO struggle menjalani proses pemutihan yang tidak digembar-gemburkan kepada umum kerana parti itu parti pembangkang.

Ramai ahli mereka yang dahulu hidup mewah dalam UMNO sudah meninggalkan parti itu dan menyertai parti lain dengan misi-misi tertentu yang hanya naluri mereka sahaja bisa menjawabnya.

Tahukah anda bahawa para ahli yang meninggalkan UMNO BN itu adalah terdiri dari kalangan mereka-mereka yang di landa sindrom 'kekhuatiran'?? 

Sindrom gusar pada bayang-bayang sendiri.

Sindrom ini sangat merbahaya sehingga bukan sahaja menjangkiti individu-individu tertentu tetapi juga mereka sanggup bertindak membawa parti mereka meninggalkan UMNO atau BN yang sekaligus hakikatnya ialah 'menghina' rakyat yang pernah mengundi kemenangan mereka sebelum 'penghijrahan' berlaku.

Mereka cabul kepercayaan dan amanah yang rakyat beri.

Mereka ini lupa akan kuasa rakyat.

Mereka ini tidak takut dengan kuasa undi rakyat.

Mereka mementingkan diri sendiri dan periuk nasi pengikut-pengikutnya tanpa memikirkan kepercayaan yang pengundi sudah berikan kepada mereka.

Benar,rakyat akan faham...Itu alasan mereka tetapi tahukah anda bahawa alasan itu hanya laku untuk pengikut mereka yang taksub sahaja tetapi tidak di hati rakyat yang mengundi.

Proses pemutihan UMNO mengambil masa yang agak panjang kerana Tuhan sudah menurunkan tanda karma yang drastik maka para ahli parti yang masih kuat iman dengan ujian Tuhan itu,tetap berdiri bersama kebangkitan UMNO yang baharu.

Tidak cukup dengan itu,pejuang sejati yang tertinggal hari ini di dalam UMNO,di uji lagi dengan isu-isu baharu yang diciptakan khas bagi menekan bahu mereka agar tidak jadi bangkit berdiri.

(Kata nenek saya - selagi belum didapati bersalah,jangan sembarang membuat andaian kerana dosa fitnah itu lebih besar dari membunuh)

Hidup ini ibarat roda.

Beberapa hari ini,saya makan nasi berlaukkan ikan masin dan kadangkala berkuahkan mee segera kerana kesempitan poket selepas menempuhi tugas sukar di PRK Kimanis lalu....
Saya dan rakan setugas bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan supaya fakta dan realiti itu sampai kepada umum khususnya ke kalangan warga pengundi Kimanis....Minyak kereta,makan minum dan perbelanjaan tugasan,70% nya keluar dari poket sendiri.


Syukur ada juga insan-insan kamil yang dikenali,menghulur sedikit bantuan yang sedikit sebanyak mampu membakar semangat kami untuk teruskan tugas seawal 6 pagi dari Kota Kinabalu dan balik semula sekitar jam3 pagi,selama 20 hari berturut-turut.

Inilah bayangan hidup umpama roda.

Selepas PRK,letih dan lelah di bantu juga dengan kewangan yang sempit terus dilalui dengan doa dan harapan..

Alhamdulillah,hari ini,saya ke pasar beli keperluan dapur untuk keluarga.Nyata sekali,Sabar itu indah.

Roda berputar juga.Kadang kita di atas - kadang kita di bawah.

Hari ini,pejuang sejati UMNO jatuh tersungkur di himpit kemelut fitnah berasaskan apa yang pernah mereka tempuhi suatu ketika dahulu.

Hari ini,para pejuang itu sudah tidak punya kuasa untuk menentang selain berserah kepada keadilan dan ke hadrat Yang Maha Berkuasa di atas sana dengan harapan,segalanya dipermudahkan dan roda itu membawa mereka naik sekali lagi.

Kata lah...Pada ketika roda kehidupan itu berputar kembali,apakah yang bakal terjadi ??

Hari ini,yang di atas itu Huha-Huha dengan apa yang mereka miliki sedang rakyat terkedu di pisuk-pisuk bumi.

Bila roda itu berpusing kembali dengan kuasa Al-Malik kemudian kelak,bagaimanakah kehidupan anda saat itu dengan sajian karmaNya ??

Beranikah anda bersumpah bahawa anda TIDAK akan mati pada esok hari ??

Percayakah anda bahawa Tuhan Yang Esa itu berkuasa membentuk apa sahaja dengan sekelip mata seperti apa yang Dia mahukan ??

Jangan berani katakan TIDAK - itu angkuh namanya dan anda boleh jadi menyamakan Tuhan Yang Maha Mengetahui itu sama dengan diri anda sendiri.

Setiap yang berlaku disertakan Allah bersama hikmahNya yang tersendiri.

Tidak ada dalam kalangan manusia di muka bumi ini bisa meramal apa yang bakal terjadi pada esok dan hari-hari mendatang kerana hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui.

Sekalipun jatuh tersembam,UMNO ditakdirkan Allah bangkit jua.

Sebelum ini,saya terkejut biawak bila menyaksi tersungkurnya kerajaan BN yang begitu kuat dan teguh.

Tidak ada jalan lagi untuk BN yang bertunjangkan UMNO bangkit kerana mereka semua sudah di radu hampir rata.

Rupanya Tuhan menyalur hikmah....Tuhan berlaku adil....Tuhan menguji untuk sebuah kebenaran dengan syarat parti itu serta anggotanya wajib menjalani pembersihan,di kuarantin dan di beri vaksin untuk sembuh dari virus yang tidak bagus untuk rakyat.

Akhirnya selepas hampir 2 tahun,UMNO masih lagi relevan malah semakin kuat rengus kemarahannya yang ditiupkan oleh rakyat sehingga PAS sendiri ikut bangkit berganding bahu dalam Muafakat Nasional.

  Muafakat Nasional & Muafakat Sabah  
Di Sabah,tentu sekali ia di panggil Muafakat Sabah kerana UMNO Sabah punya autonominya sendiri yang membolehkannya membuat keputusan tanpa mengikut telunjuk UMNO Pusat (Perkara ini tidak di terima pakai oleh WarisanPH kerana isu Sabah Ubah dan Sabah Kita Punya begitu sarat menulikan pemikiran sesetengah orang di Sabah).

Muafakat Sabah terhasil dari terbentuknya Muafakat Nasional (UMNO-BN (MCA/MIC)-PAS) lalu diadaptasikan sejajar dengan kemajmukan rakyat Sabah.

Muafakat Sabah itu terdiri dari gandingan bahu seia sekata UMNO Sabah dengan PBS,Star,PBRS,SAPP dan kalangan mereka yang berada di blok pembangkang Sabah.

Inilah yang dimaksudkan bahawa UMNO itu masih relevan dan semakin gagah bangkit setelah tersungkur rebah menyembam tanah politik Malaysia.

Jika ia bukan parti idaman rakyat,mengapa UMNO-BN menang di Cameron Highland,Semenyih,Rantau,Tanjung Piai ??

Ini suara rakyat bukan suara orang politik yang dungdang-dundang berceramah itu ini hingga mencarut isu-isu bagai....

Terbaru,suara itu berkumandang lagi di PRK Kimanis.

  pemimpin tegar Umno Sabah  
Pun kata mereka,BN menang sebab isu PSS disalah-tafsir dan di putar belit....Biarpun itu sebahagian dari irama Dondang Brunei di Kimanis,terima atau tidak,kepercayaan rakyat Sabah sudah mula terhakis sedikit demi sedikit.

Ianya bermula di Kimanis...UMNO. 

Nyata karma Allah itu benar.Roda itu sudah mula berputar lagi.

Apa pun kejadian samada jenayah atau pembulian dan sebagainya,kebenaran seringkali mengatasi kemungkaran.

Berhentilah jadi MUNAFIK kerana ianya tergolong dalam dosa Syirik.

Apa yang kalian lalui hari ini adalah hasil dari sejarah yang tidak bisa dinafikan sesiapa hatta cendikia bijaksana sekalipun.


Ini yang anda perlu tahu.


#MunFahamBisai
Admin bukan ahli mana-mana parti politik.

Monday, January 27, 2020

JEFFREY DAN STAR PEJUANG HAK RAKYAT ASAL SABAH  
oleh Sam Hj.Othman  


KOTA KINABALU : Politik negeri Sabah sentiasa berdenyut keras bila mana Datuk Dr.Jeffrey Kitingan dan parti pimpinannya,Star Sabah diletakkan sebagai pejuang kepada hak-hak rakyat asal Sabah khususnya dalam MA63.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Sabah,Dato Sri Raplin Samat mengandaikan bahawa kurangnya pemimpim-pemimpin zaman ini yang fokus kepada perjuangan tersebut kerana selain Jeffrey,pemimpin lain lebih mengutamakan karier dan masa depan politik mereka berbanding Jeffrey yang saban waktu berjuang untuk masa depan Sabah.

"Apa pun tuduhan,tohmahan dan kritikan mahupun fitnah,beliau (Jeffrey) begitu tabah menghadapinya kerana beliau terlalu yakin bahawa perjuangan dalam Star Sabah bukan setakat politik sahaja tetapi lebih kepada pembentukan masa depan anak-anak Sabah yang kurang terbela.

Banyak juga parti lain yang bertunjangkan suku kaum pada asalnya yang melaung-laungkan slogan perjuangan masing-masing.

Parti veteran seperti PBS dan PBRS merupakan antara dalam blok pembangkang yang established dan masing-masing mempunyai hala tuju masing-masing tetapi di dalam hal perjuangan MA63 ini,mereka sepakat dengan Star Sabah bersama SAPP di bawah pimpinan DSP Yong Teck Lee," jelas Raplin dalam satu temubual di sini.

Menurutnya,rakyat melihat dan menilai bagaimana perjuangan Presiden Star Sabah itu sejak dahulu lagi sehingga menyebabkan dirinya menjadi Tahanan ISA akibat kelantangan bersuara.

Katanya,rakyat mengenali Jeffrey kerana pemimpin itu konsisten dalam perjuangannya untuk anak-anak asal Sabah biarpun berdepan dengan banyak makian,tuduhan,tohmahan dan kritikan pedas dari kalangan penyokong parti lawan.

"Datuk Dr.Jeffrey tidak akan pernah mengalah malah semangatnya semakin teguh bila sahaja menerima tantangan dalam bentuk apa jua sekalipun.

Pemimpin inilah yang menyebabkan saya turut sama dalam perjuangan beliau..Semangatnya yang kental,bangkit bila mana dijatuhkan,pemimpin berfikiran jauh dan sangat mesra dengan rakyat dari aras politik mana sekalipun tanpa mengira suku kaum,bahasa dan anutan," terang Raplin lagi yang kini menerajui DUN Pintasan Kota Belud sebagai Ketua Bahagian Star Sabah di sana.

Bercakap mengenai komitmen beliau sebagai Ketua Bahagian,Raplin mensasarkan matlamat demi pembangunan belia dan beliawanis terlebih dahulu khususnya yang berusia 18 tahun ke atas.

"Saya sudah memulakannya di DUN Pintasan sendiri dan sedang merancang banyak aktiviti melibatkan golongan Gen Y ini kerana merekalah aset berharga untuk negara,merekalah pelapis kepimpinan yang bakal mencorakkan masa depan negara dan kita perlu mencipta acuan kepimpinan yang betul kepada mereka," tambahnya lagi.


Pintasan bakal mengalami suatu fenomena kebangkitan belia dan beliawanis sejajar dengan persempadanan baharu SPR pada PRU15 yang akan datang di mana gabungan NGO dan Star Sabah bakal melancarkan berbagai aktiviti sepanjang tahun 2020 ini.

Antara yang dirancang ialah Karnival Belia Kota Belud 2020 yang tentu sekali padat dengan berbagai aktiviti yang bukan sahaja dilaksanakan oleh belia untuk belia tetapi juga turut melibatkan seluruh warga dengan tujuan mengeratkan jalinan ukhwah dan silaturrahim.