#KimanisMengundi
GELANGGANG PENENTU MARUAH
Oleh Sam Hj.Othman @Sabah_OnlineNEWS
BONGAWAN : Keputusan
Datuk Seri Anifah Hj.Aman tidak bertanding di Pilihanraya Kecil (PRK) Kimanis
di sambut baik oleh sebilangan orang politik dan sebilangannya pula menarik
nafas lega bila sahaja ianya disahkan oleh rakan baik Anifah yang juga
merupakan Presiden STAR Sabah,Datuk Dr.Jeffrey G.Kitingan baru-baru ini.
Sebelum ini,ramai yang
menjangkakan Anifah bakal tampil semula dan mempertahankan kerusi P176 Kimanis
itu biarpun menggunakan lambang yang bukannya Barisan Nasional (Anifah memenangi kerusi P176 PRU14 atas
tiket Barisan Nasinal).
Saat itu,kebimbangan benar-benar
bermain di benak kebanyakan orang kerana impak dari hasil keputusan Mahkamah
akan memberikan kesan yang mendalam dan sudah pasti ianya akan dijadikan isu
panas atau senjata paling ampuh oleh pihak lawan.
Pada ketika yang sama,dari
pihak Warisan Sabah pula,kedudukan Datuk Karim Hj.Bujang untuk meletakkan diri
sebagai calon parti kerajaan itu sedikit tergugat apabila khabar kononnya
terdapat beberapa nama lain turut diajukan kepada presiden (YAB DSP Mohd.Shafie
Apdal) untuk pilihan.
Pada dasarnya,Karim di
anggap sebagai calon paling layak kerana beliau sudah bersusah payah membawa
kes tersebut ke mahkamah sehingga memaksa pengadilan di buat yang akhirnya berpihak
kepadanya.
KARIM |
Kedua,Karim adalah calon
Warisan Sabah pada PRU14 lalu yang meraih undi hampir sama besar jumlahnya
dengan apa yang diperolehi oleh Anifah.
Ketiga,Karim adalah anak
jati Kimanis yang sudahpun menceburi dunia politik dari zaman Usno,UMNO dan kini
Warisan-PH.
Hari ini,rakyat sudah
mengetahui bahawa tanggal 4hb Januari 2020 itu adalah hari penamaan calon
malah,tarikh 18hb Januari 2020 itu juga diketahui sebagai tarikh penting untuk
menunaikan tanggungjawab memilih sekali lagi wakil rakyat di parlimen Kimanis.
Pada pihak parti-parti yang
mungkin akan bertanding meletakkan calon masing-masing,kemelut memilih calon
paling sesuai merupakan detik paling payah sekali.
Siapapun dan parti apa
sekalipun,soal memilih calon adalah saat bagai meletakkan telur di hujung
tanduk atau seolah perumpamaan ‘ditelan mati emak,diluah mati ayah’.
Mana tidaknya,jika terdapat
beberapa calon di peringkat akhir,memilih yang paling layak itu bukan ‘kaleng-kaleng’
payahnya,kata orang muda masa kini.
Andai pilih calon
A,penyokong calon B dan C akan patah hati dan mungkin kecewa sehingga memaksa sebahagiannya
kepada istilah ‘Atas Pagar’,yakni berpaling arah menyokong parti lawan sebagai
tanda protes dan begitulah sebaliknya.
PRK Kimanis secara
khususnya bakal diwarnai dengan politik sentimen jika melihat kepada keadaan
semasa dan apa yang berlaku sejak kerajaan baru mengambilalih pentadbiran.
Pihak kerajaan sudahpun
mula menabur bantuan dan sumbangan apabila sahaja sesebuah kawasan itu bakal
membuang undi (biarpun secara kebetulan).
Tidak hairanlah kalau-kalau
tiba-tiba ada pengumuman projek mega di kawasan Kimanis dengan tidak
semena-mena dalam tempoh terdekat ini.
Rakyat perlu peka kepada
setiap pengumuman yang di buat oleh pihak-pihak yang bertanding samada di pihak
kerajaan mahupun pihak pembangkang.
Rakyat perlu mendengar dan
memahami sebaik-baik dan sedalam-dalamnya tentang sesuatu pengumuman tersebut
biarpun disebutkan juga bahawa ianya adalah demi kepentingan rakyat.
Kelogikan sesuatu
pengumuman itu amat penting untuk di nilai,adakah ianya relevan untuk hari ini
atau hanya akan berlangsung lima tahun lagi ?
Perlu di ingat bahawa,janji
politik boleh sampai ke bulan dan bintang atau mungkin ke Syurga..
Sedangkan semua itu tidak
masuk akal malah hanya ‘neraka’ yang dapat akhirnya....
Anifah sudah menolak untuk
menjadi calon PRK Kimanis tetapi pada masa yang sama,khabarnya anak beliau kedua-duanya
sangat berminat untuk mewakili BN-UMNO.
Persoalannya,apakah
penarikan diri Anifah itu sebagai ‘tanda bersyarat’ bagi memberikan laluan
untuk salah seorang dari anaknya menjadi calon ?
Atau sudah adakah ‘rundingan’
hati ke hati antara Anifah dan BN sehingga khabar hangat begini tular dari
mulut ke mulut orang hari ini?
Jika ini berlaku,ia pasti akan
mengundang dua senario di PRK Kimanis sehingga wujud ‘perpecahan’ undian bagi
pihak BN.
Rata-rata penyokong UMNO-BN
mengharapkan calon lain (dalam UMNO Sabah sendiri) yang popular dan punya
pengaruh di kalangan orang kampung dinaikkan bagi mewakili BN dan bukannya ‘legasi
AA’ yang sekianlama menghuni Parlimen Kimanis.
Walhal,ada pula yang
tergamak menyifatkan bahawa Legasi AA ini bukan anak asal Kimanis tetapi
berasal dari daerah Beaufort.
Persepsi rakyat Kimanis
sebenarnya sudah melalui anjakan paradigma dari segi pemikiran dan bukan lagi
tertambat pada situasi di zaman dahulu kala.
JIKA KARIM (WARISAN) VS MOHAMAD ALAMIN (UMNO-BN)
Mohamad Alamin |
Sentimen kekeluargaan atau
pertalian darah atau asal usul akan menjadi sebahagian daripada sentimen politik
sepanjang kempen PRK Kimanis lantaran nama kedua-duanya bersalasiah sama serta
talian keluarga besar dari rumpun yang sama.
Andai kata UMNO meletakkan
Datuk Mohamad Alamin sebagai calon BN manakala Warisan diwakili oleh Datuk
Karim Bujang,bermakna sentimen kekeluargaan akan menjadi semakin kuat di antara
keduanya di kalangan penyokong lebih-lebih lagi di daerah Bongawan.
Selain itu,kreadibiliti
Karim dan Mohamad akan di ukur sekali lagi berdasarkan rekod lama yakni,pada
ketika keduanya pernah menyandang gelaran YB di DUN N23 Bongawan.
Ironinya,Karim pernah
menjadi YB bagi DUN N23 Bongawan sepertimana Mohamad dan harus juga di ingat
bahawa penyumbang undi terbesar dalam P176 Kimanis datangnya dari pengundi di
DUN ini iaitu seramai 16,052 pemilih berdaftar manakala jumlah keseluruhan
pemilih di parlimen ini menjangkau 29,664 orang termasuk pengundi awal (di 69
saluran).
Warisan bakal berhadapan
dengan berbagai situasi getir apabila di lihat pada senario politik hari ini di
mana isu Pas Sementara Sabah (PSS) bakal menjadi salah satu topik panas.
Pihak lawan akan
mempergunakan sebaik mungkin setiap inci hasil pentadbiran kerajaan negeri
pasca PRU14 dan akan diperbandingkan sepelaminan pula dengan isu kemelut
kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Kemelut pentadbiran,kemelut
dalaman parti dan harga barang atau petrol akan menjadi sensasi apatah lagi
apabila sentimen kesukuan di ambil kira.
Sebilangan rakyat sudah
mula berpaling tadah kembali akibat janji yang tidak tertunai seperti yang
disuarakan pada PRU14 lalu.
Penurunan nilai matawang
negara,aset-aset negara,sosio ekonomi,pengangguran,bantuan rakyat,subsidi yang
hilang,vandalisme maruah,kes rasuah yang nyata dan kes sengaja ditutupi,isu
pembelaan golongan siswa,kerakyatan,kes tunjuk kuasa,kes seksual,hak
rakyat,manifesto,copy paste pelan kerajaan terdahulu,kuasa beli
merundum,peniaga tarik pelaburan,tutup syarikat,isu agama,pencen pesara
kerajaan,isu babi,isu imigran,harga sawit,getah,bantuan nelayan,PPR,rasmi fun
fair sana,rasmi lif sini,isu Pengarah JANS dan banyak lagi akan menjadi bahan
isi ceramah kempen pihak pembangkang.
Isu MPKK,lantikan ketua
kampung dan juga lantikan politik yang lain begitu banyak menerbitkan keluhan
rakyat hari ini seperti contoh,orang yang diberikan jawatan itu bukan orang
asal dari kampung berkenaan namun andai ‘kabel besar’ dan dikenalpasti sebagai
penyokong kuat,mereka di lantik dan di pilih tanpa melalui persetujuan rakyat
setempat.
Walhal,gaji atau elaun
pun,masih ada lagi yang belum dapat biar sudah lebih setahun menyandang
jawatan.
UMNO-BN pula bukan semudah
itu laluannya kerana kerana rakyat masih beranggapan bahawa UMNO itu parti
Malaya walaupun UMNO Sabah sudahpun mendapat autonominya sendiri.
Agaknya..Adakah rakyat di
ceruk kampung memahami apa itu AUTONOMI ?
UMNO-BN Sabah perlu pantas
menyerapkan dan memahamkan orang kampung tentang autonomi ini supaya UMNO Sabah
tidak lagi dilabelkan sebagai parti Malaya seperti dulu.
Perlu di ingat,salah satu
sebab kejatuhan mereka di PRU14 dahulu adalah disebabkan sentimen “Sabah For
Sabahan’ yakni,penolakan terang-terangan rakyat terhadap campurtangan kuasa
Malaya.
Makanya,UMNO Sabah perlu
mendahulukan isu Autonomi itu agar rakyat kampungan segera faham dan menerima
serta jangan lagi dihidangkan dengan kemegahan pemimpin-pemimpin di Malaya atau
keberjasaannya.
Berhujahlah mengenai
pentingnya UMNO yang berautonomi di Sabah tanpa mengagung-agungkan apa yang di
capai dan berlaku di Malaya.
Benar...Cameron
Highland,Semenyih,Rantau dan Tg.Piai itu suatu keajaiban yang dianugerahkan
Tuhan dengan hikmah tertentu tetapi jika UMNO Sabah mengagungkannya di
sini,seolah-olah juga parti keramat yang sudah berautonomi ini di lihat masih
berpaksikan Malaya.
Isu Malaya ini akan selari
dengan pergelutan isu imigrasi,isu rasuah Najib dan pemimpin-pemimpin BN yang
lain termasuklah kes Tan Sri Musa Aman.
Ianya akan berlarutan dan
menjadi kebanggaan bagi pihak lawan tentang penafian mahkamah terhadap kehendak
Musa,ditambahi pula dengan slogan Sabah For Sabahan sekali lagi,Sabah Ubah dan
Sabah Kita Punya akan terdengar lagi di sini.
Kimanis diibaratkan sebagai
pertembungan Satu Lawan Satu di antara Warisan dan UMNO-BN,kalaupun tidak ada
parti lain menyongsong arus meletakkan calon mereka.
Ini kerana,terdapat dua
blok di Dewan Undangan Negeri Sabah iaitu blok pembangkang dan blok kerajaan
makanya,jika ada parti lain turut meletakkan calon,ianya pasti membawa makna
bahawa tidak ada kesepakatan dalam blok berkenaan.
Ini di panggil sikap Tamak
dan Gila Kuasa yang akan memecahkan undi dan tentu sekali rakyat akan memandang
serong kepada parti ini yang mungkin telah ‘di taja’ oleh blok tertentu bagi
tujuan tersebut.
Contoh Calon Bebas |
Andai benar-benar ikhlas
bertanding atas kehendak rakyat,parti-parti itu perlu ‘cermin dulu’ samada kemampuan
mereka itu mampu atasi dua gergasi politik yang sedia ataupun tidak kerana jika
hasrat bertanding itu sekadar memenuhi kehendak penyokong,baik lupakan sahaja
kerana jumlah penyokong parti tidak setanding dengan jumlah pengundi yang sedia
ada.
Percaya atau tidak,Calon
Bebas juga akan muncul dan seringkali kelihatan calon-calon ini kurang popular
(biasanya di taja oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan memecah undi).
Ini perkara biasa namun
sekiranya calon bebas itu terdiri dari kalangan orang ternama,popular dan
pernah punya pengaruh,tujuannya pasti hanya untuk kepentingan peribadi sahaja.
Warisan dan UMNO Sabah (BN
Sabah) harus mendahulukan apa kehendak rakyat Sabah di PRK Kimanis nanti
yakni,isu-isu tempatan yang boleh menyakinkan rakyat agar terjamin masa
depannya.
Bukan janji retorik bulan
dan bintang sedang melaksananya ibarat Angin Malam,bila fajar muncul,hilanglah
ia.
Gambar Hiasan |
Ketaksuban menyokong
seseorang pemimpin sehingga mencemarkan harga diri,silaturrahim atau ikatan
persaudaraan bukanlah amalan berpolitik di negeri Sabah sepertimana yang
berlaku di sebuah perhimpunan politik di Malaya.
Budaya itu tidak perlu di
bawa konsepnya di Sabah khusus kepada parti-parti yang bertanding lantaran
corak kempen di Malaya jauh berbeda daripada di Negeri di bawah bayu ini yang
sangat menjaga sensitiviti kaum dan agama.
Para pemimpin Malaya tidak
kira dari parti apa pun,perlu menghormati konsep Sabahan ini dan jangan cuba
untuk menyalakan budaya Malaya itu di Sabah.
#PRKkimanis #KimanisMengundi
No comments:
Post a Comment