Saturday, December 28, 2019


BANJIR KOTA BELUD : KETEPI IDEOLOGI POLITIK DEMI RAKYAT  
oleh Sam Hj.Othman  

KOTA BELUD : Terdapat empat perkara yang pernah dicadangkan sebelum ini berkenaan usaha mengatasi masalah banjir di daerah Kota Belud pada saat Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan masih menjadi Ahli Parlimen Kota Belud.

Sabah_OnlineNEWS tertarik dengan satu post yang dikeluarkan oleh Timbalan MPN PKR negeri Sabah Tn.Hj.Mustapha Hj.Sakmud yang berbunyi ;

‘Jika pengorekan sungai dapat mengurangkan risiko banjir,mohon percepatkan perlaksanaan. Jangan sampai rakyat menghukum pada PRU15.’
Mustapha Sakmud FB 24 December at 8:40

Ini sekaligus menunjukkan bahawa tindakan kerajaan hari ini menghentikan kerja-kerja pengorekan sungai di Kota Belud adalah tindakan yang kurang wajar dan ramai yang mempertikaikan keputusan itu lebih cenderung kepada sifat dendam dan egoistik.


Hampir dua tahun memegang tampuk kerajaan,masih belum kelihatan lagi apa yang diupayakan oleh kerajaan khususnya oleh para ADUN dan MP Kota Belud.

Yang ada Cuma mesyuarat demi mesyuarat,kajian demi kajian dan perancangan demi perancangan sedangkan perlaksanaannya benar-benar tidak ada.

Sedang pada masa yang sama,banjir kerapkali menenggelamkan beberapa bahagian penting di daerah ini terutamanya jalanraya utama penghubung antara daerah.

Kembali kepada cadangan asal yang pernah disarankan oleh Rahman Dahlan dahulu,tidak salah kiranya para wakil rakyat Kota Belud menimbang tara atau merealistikkannya demi untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Cadangan ini masih releven dan perlu difikirkan semula oleh pemimpin hari ini bagi mengatasi masalah berkenaan terus berlarutan tanpa hala tuju dan pengakhiran.

“Bagi mengatasi perbelanjaan kerajaan yang besar,kita telah mencadangkan supaya kontraktor-kontraktor yang dipilih untuk kerja mendalamkan sungai itu dibenarkan untuk menjual pasir sungai berkenaan supaya dengan cara ini,mereka tidak perlu dibayar oleh kerajaan kerana mereka mendapat untung dari penjualan pasir.

Dan bagi mengatasi kerisauan pencemaran alam sekitar kerana pendalaman sungai tersebut, saya telah cadangkan pelan pengorekan dan lokasi pengorekan didedahkan kepada umum supaya orang ramai maklum dan dapat memantau aktiviti pengorekan tersebut.


Kontraktor-kontraktor pula hanya diberi masa yang terhad untuk membuat pengorekan tersebut. Mungkin dalam 6 hingga 12 bulan sahaja supaya kesan pada alam sekitar tidak berkekalan,” jelas Rahman dalam satu kenyataannya baru-baru ini.

Menurutnya,pada ketika itu beliau tidak mahu jabatan kerajaan terlalu taksub menekankan kerisauan tentang kesan alam sekitar disebabkan kerja-kerja pengorekan sungai, kerana banjir yang berkali-kali terjadi itu juga merosakkan alam sekitar,sebenarnya.

Selain itu,katanya lagi,Kerajaan negeri dan pusat serta pejabat daerah mesti memberikan kelulusan dengan segera dalam semua urusan termasuk isu lesen dan permit kebenaran tanpa mengambil masa yang lama untuk bermesyuarat dan buat keputusan bagi mengelakkan karenah birokrasi.

“Wakil-wakil rakyat membantu meyakinkan kepimpinan tertinggi kerajaan pusat dan negeri tentang kritikalnya situasi banjir di Kota Belud.

Kalau kepimpinan tertinggi kerajaan tidak faham, mereka akan kurang peduli dengan apa yang berlaku sehingga akan menyebabkan segala perancangan terbantut atau lambat,” jelasnya sambil mengimbas kembali saranan yang pernah di buat bagi mengatasi isu banjir di Kota Belud.

“Saya berharap semua pihak di Kota Belud dapat bekerjasama untuk mengatasi masalah banjir yang sudah terlalu lama menghantui penduduk Kota Belud kerana masalah ini boleh diselesaikan dengan cara mengenepikan perbezaan ideologi politik.


Janganlah kerana isu siapa dapat kontrak kerja pengorekan sungai ini menjadi penghalang kepada penyelesaian penderitaan rakyat Kota Belud,” ujar beliau lagi.

No comments:

Post a Comment