Gabungan Bersatu-Muafakat Nasional ?
ALKISAH SI MERAH BERDUA : BAGAI CINTA TERLARANG
Segar Bugar dari Meja Editor
Ini adalah salah satu cerita paling aneh pernah saya terima selain isu team Solidariti vs Datu Akjan dan cerita tentang lantikan Ketua Kampung yang menerbitkan banyak tanda tanya di Sabah ini.
Ribut dua tiga hari ini di Media Sosial berkenaan khabar bakal bergabungnya PPBM dengan Muafakat Nasional.
Terpanggil rasanya untuk menelusuri kisah ini yang kebanyakan rakyat khususnya penyokong-penyokong parti yang terlibat,membuat berbagai kenyataan dan pendapat.
Dua hari untuk saya membaca hampir semua komen di Media Sosial tanpa menemukan apa-apa yang bisa dijadikan jawapan malah dipertemukan pula persoalan.
Hal ini sebenarnya terjadi antara kedua mempelai yakni 'seorang suami' yang sudah menikahi seorang perempuan tetapi muncul pula pihak ketiga yang membawa makna si suami itu mahu kahwin dua (?).
Ibaratnya,kisah sebuah cinta yang terlarang...Orang kampung tak mahu si suami kahwin satu lagi.
Muafakat Nasional adalah hasil persefahaman PAS dan UMNO-BN.
Insan bernama Lokman Adam ini adalah punca merebaknya berita mengenai Cadangan Gabungan Muafakat Nasional bersama PPBM pimpinan Tun Mahathir.
Saya tak berselera untuk ungkit kembali dan susun semula kronologi Lokman Adam ini kerana itu hal ehwal dalaman UMNO yang akan menguruskannya.
Soalnya di sini yang pertama saya musykil ialah :
Mengapa rakaman Presiden UMNO itu tidak punya hujung dan pangkal cerita?
Rakaman itu cuma pada pertengahan sahaja sehingga kita tertanya-tanya dengan siapakah Presiden itu berkata-kata ?
Kemusykilan kedua saya ialah :
Mengapa PAS menafikan penggabungan ini ?
PAS parti Islam yang rata-ratanya di pimpin ulamak-ulamak tersohor,takkan mereka ini berbohong pula ?
Kemusykilan ketiga saya ialah :
Mengapa Hikayat Gabungan ini cuma di bahas di sebelah pihak sahaja sedangkan PPBM pula hanya mendiamkan diri ?
Kemusykilan ke-4 saya ialah :
tunggu di hujung artikel ini ya.....
Atau mungkin pengetahuan saya amat terhad dan kekurangan fakta di dalam hal ini tetapi di kesempatan ini suka lah saya mengambil peluang ini untuk merujuk sedikit tentang kenyataan dan rasa hati netizen Sabah di MedSos.
Ada penyokong UMNO yang sanggup berpatah arang daripada bergabung dengan Tun Mahathir (PPBM) kerana mereka berpendapat bahawa Tun M sudah banyak kali menafikan hak perjuangan UMNO dan PAS.
Ada yang sanggup untuk meninggalkan UMNO serta merta jika gabungan Muafakat Nasional menerima 'cadangan gabungan' ini.
Saya melihat bahawa cadangan gabungan ini sesuatu yang agak retorik kerana ianya hanya 'hampir' bermain sekitar UMNO itu sahaja yang dicetuskan oleh makhluk Allah yang mungkin punya kepentingan peribadi yang lain.
Manakala soal tinggalkan parti hanya kerana Tun M mungkin bersama Muafakat Nasional itu,perlulah kalian pertimbangkan semula lantaran bukan begitu sebenarnya yang harus dilakukan jika benar-benar cintakan UMNO.
Allah ciptakan sesuatu itu ada sebab dan hikmahnya-terpulang pada diri menilai sebaik-baik dan sesempurna akal yang bijaksana.
Istilah tinggalkan UMNO itu mungkin bakal di anggap sebagai 'golongan orang-orang yang kecewa' yang mungkin juga akan di anggap sebagai golongan yang kalah sebelum medan tempur di buka.
Jika anda cintakan UMNO dan ingin meneruskan perjuangan di dalam Muafakat Nasional TANPA PPBM,maka teruslah berjuang menafikannya sehingga ke titisan keringat yang terakhir kerana Sang Saka lebih memerlukan pejuang atau pahlawan yang 'Ganteng' hebatnya,bukan sekadar bicara lidah setajam mata pedang semata.
Saya ingin mencadangkan agar para penyokong UMNO satu Malaysia ini agar 'calm down' dan istigfar sebanyak mungkin supaya Allah jauhkan kita semua dari bala yang tersembunyi.
UMNO masih punya ketua atau pemimpin yang tegar pendekarnya di medan juang,mengapa pula kita tidak berdiri di sampingnya demi sebuah perjuangan sejati ?
Walhal,UMNO Sabah sudah milik autonominya sendiri tanpa kita mengikut telunjuk UMNO Pusat namun adalah lebih indah jika sebarang keputusan terhasil dari musyawarah itu sendiri ?
Saya percaya dan yakin dengan kepimpinan Dato Seri Bung Mokhtar Raden sebagai Ketua UMNO Sabah dan bukan sembarangan orangnya jika benar ada sesuatu yang tidak baik bakal dihadapi.
Ahli UMNO Sabah juga harus ingat bahawa parti lokal Sabahan ini masih punya 'The Warriors' seperti Datuk Yakub Khan dan Dato Seri Abd.Rahman Dahlan serta pemimpin sayap yang lain.
Rasanya,suara UMNO Sabah masih gagah berkumandang dalam forum yang mungkin membicarakan soal 'cadangan gabungan' ini nanti dan kepada pemimpin utama UMNO Sabah inilah kita pertaruhkan hasrat dan tekad kita besama.
Tetapi yang ironinya ialah,ada juga penyokong Bersatu Sabah memberikan komen samada komen terus atau pun sinis mengenai 'cadangan gabungan' ini sehingga menimbulkan persoalan pula.
Nah..Disinilah persoalan ke-4 saya ingin dihidangkan sebagai santapan minda kita semua.
Kemusykilan ke-4 saya ialah :
Penyokong Bersatu Sabah agak teruja dengan cadangan pergabungan ini...Tak tahu samada mereka rindu untuk kembali bersama UMNO kah (alah..macam dulu-dulu tu bah),atau memang 'cadangan gabungan' itu kelak,bakal melihat pemimpin mereka akan naik takhta semula ?
Sejujurnya,rakyat hari ini diletakkan dalam DILEMA samada :
1.Menyokong gabungan demi bangsa,agama dan negara (mengenepikan 'dosa-dosa Mahathir' buat seketika) ;
Atau ;
2.Menolak gabungan demi prinsip sebuah perjuangan dalam Muafakat Nasional hingga ke PRU15 nanti (membiarkan negara terus terkontang kanting dengan pentadbiran yang tidak betul).
Sama-sama lah kita renungkan dengan penuh kesabaran,ketenangan dan kebijaksanaan.
Cubalah berfikir dengan HATI dan bertindak menggunakan AKAL.
Melihat RISIKO di sebalik RISIKO itu sendiri yang akhirnya kembali kepada TIMBANG akal fikir.