Monday, July 15, 2019

KENYATAAN AKHBAR
DATUK SERI PANGLIMA HAJI ABDUL RAHIM ISMAIL

SAYA KEMBALI KE UMNO SABAH

KOTA KINABALU : "Saya meninggalkan PPBM dan kembali ke pangkuan UMNO Sabah",kata Datuk Seri Panglima Abd.Rahim Ismail.

Keputusan ini bukanlah dibuat secara terburu-buru atau disebabkan beremosi, tetapi kerana mengambil kira situasi politik semasa Negara, terutama sekali di Sabah.

Seperti juga dengan beberapa pemimpin UMNO yang telah menyertai BERSATU,  saya menaruh harapan tinggi pada BERSATU untuk menyatu-padukan masyarakat Bumiputera di Sabah, sepertimana yang dijanjikan oleh kepimpinan tertinggi parti BERSATU semasa pelancaran parti itu di Sabah pada Mei lepas.

Walau bagaimanapun, janji BERSATU untuk mengamalkan dasar inklusif  agak samar-samar dan tidak meyakinkan, kerana parti itu lebih mengutamakan ‘selective accomodation’, iaitu memberi keutamaan kepada mereka yang ada jawatan dan kedudukan politik.

PRU 14 sememangnya telah merubah lanskap politik Negara, namun melihat pada situasi dan realiti politik Negara masa kini (post GE14), saya melihat bahawa perjuangan UMNO semakin relevan, terutama sekali sebagai wadah untuk menyatupadu dan membela nasib kaum Bumiputera di Malaysia dan di Sabah khususnya.

UMNO telah menjadi tulang belakang dalam mengamalkan dasar inklusif sepanjang era pemerintahan BN-UMNO dan tidak dapat dinafikan bahawa rakyat negeri Sabah telah menikmati pelbagai manfaat pembangunan sosio-ekonomi dan kestabilan politik sepanjang pemerintahan BN-UMNO. Saya percaya rakyat Sabah tidak mudah melupai jasa dan khidmat perjuangan UMNO. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa hati rakyat Sabah masih tersangkut pada UMNO.

Saya berpegang kepada kepercayaan dan keyakinan bahawa dasar inklusif yang diamalkan di era pemerintahan BN-UMNO masih signifikan untuk memacu Malaysia ke jalan hadapan.

DATUK SERI PANGLIMA HAJI ABDUL RAHIM ISMAIL
Kota Kinabalu
15 Julai 2019

No comments:

Post a Comment