KENYATAAN MEDIA OLEH ZAMZURI P.AMIN (13.07.2019)
HAD USIA 18 : PEMUDA USNO NYATA PENDIRIAN
KOTA KINABALU: Angkatan Pemuda USNO (APU) berpendirian menyokong penuh tanpa berbelah bahagi terhadap inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam hal membawa usul pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan mengenai penurunan umur minima untuk layak mengundi ketika setiap proses pilihan raya umum di negara ini dijalankan.
Kerajaan PH sekarang dalam proses membuat pindaan melalui Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 (RUU) yang telah dibentangkan oleh YB Syed Saddiq, Menteri Belia dan Sukan Malaysia buat kali pertama di Dewan Rakyat pada hari Khamis, 11 Julai 2019 iaitu sehari selepas ia ditarik balik. Bagi bacaan kali kedua dan ketiga, ia akan dibuat pada sesi mesyuarat Parlimen penggal ini yang akan bersidang berterusan sehingga 18 Julai bulan ini.
Cadangan Pindaan RUU ini yang dibawa oleh pihak kerajaan adalah bertujuan, antara lain, bagi meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan kelayakan umur warganegara mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, meminda perenggan (b) di bawah Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan kelayakan umur warganegara menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun, dan meminda Seksyen 5 Jadual Kelapan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan kelayakan had umur warganegara menjadi ahli Dewan Undangan Negeri daripada 21 kepada 18 tahun. Kerajaan PH juga mencadangkan untuk membuat pindaan ke atas takrif “tarikh kelayakan” dalam perenggan (b) Fasal (40 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Implikasi kepada cadangan pindaan terakhir ini ialah seorang warganegera yang mencapai 18 tahun akan dianggap pengundi yang layak dan seterusnya akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Perlaksanaan dasar sebegini harus dilihat sebagai suatu langkah yang positif dan wajar diberikan hak mengundi kepada sesiapa yang mencapai usia 18 tahun memandangkan majoriti dalam kalangan negara komanwel, negara maju yang mengamalkan sistem demokrasi dan negara ASEAN telah lama menurunkan had usia kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Di negara Indonesia, anak muda boleh mengundi seawal 17 tahun. Negara-negara ASEAN semua telah menurunkan hak kelayakan mengundi kecuali Malaysia dan Singapura," jelas Zamzuri Pandikar Amin,Ketua Angkatan Pemuda USNO.
“Sudah tiba masanya Malaysia membuat ketetapan baru mengikut kesesuaian semasa dan meletakkan tahap negara ini setaraf dengan amalan negara-negara maju demokrasi. Rakyat Malaysia khususnya golongan anak muda sekarang lebih terhubung dan bermaklumat akibat daripada pendedahan kepada maklumat yang luas tanpa sempadan dalam persekitaran moden yang banyak mempengaruhi pemikiran generasi muda. Kemajuan teknologi maklumat yang kian bertambah pesat membuat media massa sebagai suatu platform digital yang banyak membentuk minda dan pemikiran anak muda. Oleh itu, kini masyarakat tidak boleh membuat tanggapan bahawa warganegara yang berusia 21 tahun ke bawah adalah tidak matang, tidak rasional atau tidak bijak dalam menentukan kerajaan dan memilih sendiri siapa wakil mereka," kata beliau lagi.
“Kalau kita lihat dari sudut atau aspek perundangan yang ada di negara ini, usul pindaan ini konsisten dengan pelbagai undang-undang yang berkaitan dengan penetapan syarat kelayakan 18 tahun sebagai umur dewasa. Golongan anak muda yang sudah mencecah 18 tahun boleh memohon untuk dapatkan lesen perniagaan, lesen memandu, mendapatkan pinjaman kewangan, menyertai agensi-agensi berkaitan dengan keselamatan negara seperti tentera, polis atau bomba, berkahwin, menandatangani kontrak atau perjanjian, menyertai parti politik sebagai ahlinya, melibatkan diri dalam mana-mana kegiatan politik dan sebagainya. Senarai ini tidak berhenti di situ. Walhal, mana-mana individu yang sudah berumur 18 tahun dan didapati bersalah selepas dibicara dan sekiranya disabit oleh pihak Mahkamah akan dijatuh hukum setimpal dan sama dengan rakyat Malaysia dewasa yang lebih berumur. Jadi, tindakan menurunkan hak kelayakan usia mengundi ke 18 tahun adalah amat wajar, tepat pada masanya dan tidak berlaku percanggahan kepada kerangka perundangan di negara kita”, ujar Zamzuri ketika di temui di sini semalam.
Berkenaan pula dengan cadangan dua pra-syarat yang ditetapkan baru-baru ini oleh barisan kepimpinan Parlimen Barisan Nasional (BN), PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Zamzuri berpendapat bahawa kerajaan harus berwaspada dengan cadangan syarat untuk membuat ketetapan pendaftaran pengundi secara automatik dan mengambil kira pandangan yang ditegaskan oleh Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam menentang cadangan ini.
Dua pra-syarat tersebut ialah mengenai pendaftaran pemilih baru dilaksanakan secara automatik terhadap golongan muda berusia 18 tahun dan menurunkan kelayakan umur calon untuk bertanding dalam pilihan raya kepada usia yang sama.
“Presiden PBS telah membangkitkan kebimbangan tulen yang perlu diberikan perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya oleh kerajaan PH dalam implementasinya. Ini adalah kerana kehadiran pendatang tanpa izin di Sabah telah banyak membawa kesan negatif kepada masyarakat tempatan dari aspek permasalahan sosial. Situasi di negeri Sabah tidak boleh disamakan dengan situasi dan keadaan di Semenanjung Malaysia. Kebanyakan warga asing yang menyalahi undang-undang itu disyaki sebagai pemegang MyKad palsu, yang diberikan secara haram, atau mempunyai sijil kelahiran yang meragukan.
Sekiranya kanak-kanak kepada pengundi yang meragukan itu dibenarkan secara automatik untuk menjadi pengundi apabila mencapai usia 18 tahun, maka bagi Sabah, orang asing akan menggugat status rakyat Sabah yang sebenar dalam menentukan pembentukan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri”, ujar beliau.
Selaku Ketua kepada Angkatan Pemuda USNO, Zamzuri menyokong penuh pra-syarat kedua iaitu kelayakan bagi yang berusia 18 tahun untuk bertanding dalam pilihan raya umum sebab ianya tepat dan konsisten serta selaras dengan dasar aspirasi perjuangan USNO Malaysia Baharu sebagai terjemahan kepada semangat progresif dan sifat inklusif. Dalam cetak biru agenda USNO iaitu Perjanjian Baru atau ‘New Deal’, pucuk pimpinan tertinggi USNO, yang antaranya, akan memberi ruang dan peluang serta menampilkan 70 peratus daripada barisan kepimpinannya di semua peringkat kepada golongan Generasi X dan Y serta golongan wanita.
Beliau juga mengharapkan agar fokus dan lebih banyak usaha harus dicurahkan untuk menjalankan program pendidikan dan kesedaran kepada golongan anak muda khususnya yang berusia 18 tahun tentang mengapa mereka harus mengamalkan hak mereka untuk mengundi dan mengambil bahagian dalam proses demokrasi dan pembinaan negara. Ini adalah penting supaya kita boleh melahirkan pengundi yang berkualiti untuk memilih pemimpin atau kerajaan negara yang berkualiti. Zamzuri berkata, “Seelok-eloknya pendedahan dan kefahaman yang awal perlu dilaksanakan kepada golongan ini tentang sekiranya salah mengundi, apakah kesannya kepada urus tadbir negara. Sekurang-kurangnya ini harus dilakukan di bangku sekolah lagi mungkin di peringkat sekolah menengah. Pihak berkenaan harus mengkaji bagaimana cara memasukkan ini dalam modul atau silabus pelajaran mereka supaya kefahaman yang lebih menyeluruh dapat dicapai tentang hal dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara muda dan pengundi.
Perbahasan akan dilangsungkan di Dewan Rakyat pada sambungan sesi mesyuarat minggu depan mengenai usul pindaan kelayakan umur pengundi. Kerajaan PH memerlukan suara dua pertiga daripada majoriti di Dewan Rakyat sebelum cadangan-cadangan pindaan RUU ke atas Perlembagaan Persekutuan dapat diluluskan.
No comments:
Post a Comment