Sunday, June 14, 2020

TAK PERLU KELUAR ANCAMAN : JEFFREY


KOTA KINABALU : Presiden Warisan Shafie Apdal seharusnya tidak membuat ancaman terhadap lawan politiknya setelah ada khabar angin bahawa beberapa rakan seperjuangannya mungkin akan melompat.

" Tidak sesuai bagi presiden sebuah parti, apalagi seorang Ketua Menteri, untuk bercakap seperti gangster jalanan, mengeluarkan ancaman dan amaran dalam usaha menakut-nakutkan lawannya. 
Dia pasti merasa bagai cacing kepanasan atau sangat tertekan sehingga bertindak balas dengan cara yang agresif ketika ditanya mengenai kemungkinan beberapa YBnya akan membuang pakatan Warisan-DAP-PKR-Upko," kata Datuk Dr.Jeffrey G.Kitingan.

Shafie dipetik berkata bahawa dia tidak akan kecut dengan apa yang disebutkannya sebagai 'rancangan besar' Perikatan Nasional untuk memikat YB-YBnya bagi menyertai Perikatan Nasional.


" Mengapa dia begitu gelisah dan kelihatan marah jika YB-YB yang disebutnya itu tetap berada di belakangnya? 
Lebih penting lagi, mengapa ada keperluan untuk mengadakan perjumpaan solidariti sekiranya gabungan itu teguh? 
Perbincangan di mana-mana mengatakan bahawa akhir-akhir ini Shafie memanggil ‘para jeneral’nya untuk mengadakan perjumpaan hingga larut malam.

Ada juga disebut bahawa sebilangan Ahli-Ahli Parlimen dikurung kerana takut 'diculik'.

Adakah Shafie sekarang merasakan senjata sudah makan tuan ? Raja Dalang tentunya lebih kenal peralatannya sendiri.

" Mungkin ketakutannya berpunca dari ingatan yang tidak berapa lama dulu bagaimana dia sendiri menggunakan taktik seperti itu untuk memikat para ADUN dan Ahli Parlimen Barisan Nasional supaya mengalihkan kesetiaan mereka untuk menjatuhkan kerajaan negeri Sabah yang dipilih secara demokratik," ujar Jeffrey lagi.


Shafie dipetik sebagai berkata, "Mana boleh kamu menyuap orang dengan jawatan dan faedah-faedah lain? Ini tidak seharusnya berlaku."

Shafie juga berkata bahawa beliau tidak ada menjanjikan Wilfred Madius Tangau (presiden Upko) dan Ewon Benedick dengan jawatan sebelum ini (untuk mereka mengubah kesetiaan dari Barisan Nasional yang telah menjadi asas kemenangan mereka, kepada Warisan) walaupun dia (Shafie) kemudiannya melantik mereka sebagai menteri di dalam kabinet Sabah.

" Berfikirlah dengan serius, berapa bodohkah rakyat mengikut fikiran Shafie? 

Hari ini kita sering terus mendengar orang berkata kita harus menyebut kenyataan sebenar setiap sesuatu hal. Maka kita harus bersikap begitu dalam hal ini. Madius Tangau tidak akan melompat sekiranya BN memenangi kerajaan Persekutuan pada PRU14.

Dia hanya memenangi kerusi MP Tuarannya dan pada mulanya tidak bernilai di peringkat Negeri kepada Shafie," jelas Jeffrey yang juga merupakan Presiden Star Sabah.

Menurut Jeffrey lagi,UPKO hanya berharga setelah berjanji kepada Presiden Warisan itu bahawa Madius dapat menyeret 4 ADUN Upko yang lain untuk meninggalkan BN.

Pokoknya, Madius Tangau tidak akan bergabung dengan kem Shafie jika dia tidak dijanjikan kerusi ADUN lantikan dan mengangkatnya menjadi Timbalan Ketua Menteri.

Malahan, sebagai Ahli Parlimen, Tangau tidak layak pun dilantik sebagai Pembantu Menteri, apatah lagi sebagai Timbalan Ketua Menteri, sekiranya Shafie tidak menjadikannya ADUN lantikan,jelas Jeffrey.

" Shafie juga dilaporkan telah marah dan berleter panjang mengenai tindakan Perikatan Nasional untuk menakut-nakutkan para pengikutnya.
Dia juga mempersoalkan kenapa siasatan pengubahan wang haram dibuat pada masa ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap naib presiden Warisan, Peter Anthony, yang merupakan Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri.

Sudah tentu dia ini mengamalkan cara fikir berpilih-pilih kerana dengan senang dia lupa bagaimana setelah sekian lama selepas Musa Aman dibebaskan oleh pihak berkuasa Hong Kong dan Malaysia dari tuduhan rasuah, kes yang sama tiba-tiba muncul kembali ketika Pakatan Harapan berkuasa.

Lebih buruk lagi, pihak berkuasa memutuskan untuk menangkap dan mendakwa Musa dua hari sebelum keputusan kes Ketua Menteri Sabah yang sah," dakwa Jeffrey yang kini Timbalan Menteri Pelancongan,Seni dan Budaya Malaysia.

" Rakyat Sabah masih ingat bagaimana begitu banyak tuduhan terhadap Musa muncul begitu cepat sama cepatnya kes rasuah terhadap Shafie yang melibatkan RM1.5 bilion (ketika dia menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar) tiba-tiba digugurkan kerana konon kekurangan bukti.

Kes terhadap Shafie ini harus dibuka semula sekarang.

Siapa yang mendapat keuntungan dari rancangan yang didalangi dan digerakkan dengan cerdik ini?"

"Oleh itu, Shafie harus berhenti mengajar orang dari atas kuda moral tingginya kerana dia sungguh tidak layak berkhutbah tentang konon jahatnya berjanji memberi jawatan, keuntungan wang dan gertakan politik. Sungguh munafik (hipokrit) bagi dia untuk bercakap mengenai nilai dan harga diri!

Dia juga tidak boleh lyak bercakap tentang Rakyat Sabah diperalatkan dalam politik. Hari ini, Shafie menghabiskan lebih banyak masa untuk terlibat dalam politik Persekutuan daripada memberi tumpuan untuk menghidupkan semula ekonomi Sabah atau meningkatkan kesejahteraan rakyat. Jadi, siapa peralatkan siapa di sini? " Jelas Jeffrey.

Akhirnya, kita tidak harus lupa bahawa Musa dilantik sebagai Ketua Menteri sehari selepas pilihan raya Mei 2018, tetapi digantikan oleh Shafie dua hari kemudian. Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri setelah beberapa ADUN dari Umno dan Upko melompat untuk menyokong Warisan.

Bolehkah kita berkata dengan jujur bahawa pembentukan pemerintahan Warisan, iaitu 'kerajaan pintu belakang yang sebenar', telah dilakukan konon dengan penuh kehormatan dan maruah atau sebenarnya telah dicapai dengan permainan pisau dalam lipatan?

Petikan hasil kenyataan akhbar
DATUK DR. JEFFREY KITINGAN

No comments:

Post a Comment