CORAT CORET ABDUL RAHMAN DAHLAN
COVID 19
Let's move on to the next phase....
Covid 19: Let’s move on to the next phase. Here’s my 10 suggestions to the government.
Fasa sekarang iaitu fasa mencegah Covid19 19 dari merebak. Ini adalah fasa yang sedang berlaku dan hebat dibincangkan oleh semua pihak.
Namun kita tahu bahawa fasa seterusnya ialah jangkitan akan melonjak naik dan akan berlaku krisis dalam kemampuan hospital menangani kemasukkan pesakit-pesakit Covid 19. Malangnya kadar kematian juga akan meningkat. Ini pengalaman negara-negara lain yang dilanda wabak Covid 19 sebelum Malaysia.
Kalau belum dibuat, Kerajaan perlu mula menumpukan perhatian kepada fasa seterusnya ini iaitu fasa yang lebih mencabar dalam menangani wabak Covid 19 ini.
Antara perkara yang akan berlaku;
(1) kekurangan katil di hospital
(2) kekurangan peralatan seperti ventilator, test kit dan ubat-ubatan yang lain
(3) kekurangan tenaga kerja barisan hadapan terutama tenaga kerja perkhidmatan kesihatan
(4) kemungkinan kekurangan bekalan makanan dan keperluan harian
(5) penguatkuasaan yang lebih ketat akta kawalan harga dan anti pencatutan. Pencatutan bermakna “memperolehi keuntungan secara berlebih-lebihan (profiteering)”.
***********
Selepas 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan dan untuk memastikan kesan buruk jangka panjang dapat dikurangkan, kerajaan perlu:
(1) mengalihkan sejumlah RM2 bilion bajet pakej ransangan ekonomi yang telah diumumkan untuk projek-projek kecil kepada bantuan kewangan langsung kepada sektor yang terjejas teruk seperti industri perlancungan, usahawan kecil dan sederhana, restoran dan lain-lain. Malah kalau boleh ditambah lagi jumlah itu kepada RM5 bilion. Projek fizikal boleh ditangguhkan buat masa ini.
(2) Banyak industri dan syarikat yang berkemungkinan mengurangkan pekerja. Perlu ada pinjaman tanpa faedah dari kerajaan untuk membolehkan syarikat-syarikat membayar gaji walaupun tidak sepenuhnya.
(3) kerajaan tidak perlu risau tentang rating atau penarafan agensi antarabangsa. Bon dan sukuk kerajaan perlu diterbitkan untuk meminjam dari kumpulan dana tempatan.
Agensi penarafan antarabangsa akan faham dan besar kemungkinan bertambah yakin kepada negara yang mampu meminjam kerana mereka mempunyai potensi untuk memulihkan ekonomi. Covid 19 adalah masalah global dan agensi penarafan antarabangsa faham semua negara terkesan.
Dana yang dipinjam perlu disalurkan kepada syarikat-syarikat untuk menyelamatkan perniagaan rakyat Malaysia dengan pinjaman tanpa faedah. Adalah lebih baik kita tidak membiarkan mereka “terbakar menjadi abu” dari bermula dari asal jika mereka semua jatuh bankrap.
Kerajaan juga perlu mengalihkan tujuan dana berbilion-bilion ringgit agensi kerajaan bagi maksud untuk mengalakkan usahawan memulakan perniagaan dan pembesaran perniagaan, kepada tujuan untuk membantu syarikat sedia ada yang berdepan dengan kesan buruk Covid 19 ini. Melahirkan usahawan baru boleh ditunda buat masa ini.
(4) Galakkan syarikat gergasi swasta untuk menghulurkan bantuan kewangan dalam bentuk CSR. Beri mereka cukai perlepasan yang lebih tinggi jika mereka membantu dengan jumlah yang besar.
(5) Beri amaran dan seterusnya mendenda syarikat-syarikat yang membuang pekerja walaupun syarikat-syarikat tersebut mempunyai kedudukan kewangan yang baik. Data kewangan mereka boleh diketahui melalui rujukan di SSM dan LHDN. Ini masa untuk pengorbanan oleh semua pihak demi menyelamatkan ekonomi negara.
Kita perlu sentiasa berada di depan selekoh (ahead of the curve), yakni merancang langkah-langkah untuk menangani fasa seterusnya yang masih belum berlaku (tetapi akan berlaku).
Dengan cara ini, kita lebih bersedia dan mengurangkan kesan dasyat akibat Covid 19 ini.
Marilah kita doakan kerajaan mampu menangani Corvid 19 ini dan menyelamatkan ekonomi negara kita.
DARD
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Sabah, Bahagian Tuaran
18.03.20
No comments:
Post a Comment