MOTAC SEDIA JALIN KERJASAMA DENGAN KEMENTERIAN PELANCONGAN SABAH
Oleh Sam Hj.Othman
KOTA KINABALU : Kementerian Pelancongan ,Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah dalam kepelbagaian hal berhubungkait dengan peranan masing-masing di antara persekutuan dan negeri.
Timbalan Menteri MOTAC,Datuk Dr.Jeffrey G.Kitingan berkata,soal politik seharusnya diketepikan dalam urusan pentadbiran kerajaan biarpun Sabah kini merupakan negeri pembangkang di parlimen.
“Kita bersedia untuk menjalinkan kerjasama (dengan kerajaan negeri Sabah) untuk menjana lagi industri pelancongan,” jelas beliau ketika diajukan soalan berkenaan hubungan kedua belah pihak selepas Jeffrey di lantik sebagai anggota kabinet persekutuan baru-baru ini.
Perlantikan Jeffrey di lihat sebagai suatu senario baharu dalam industri pelancongan Sabah kerana beliau merupakan anak jati negeri di bawah bayu ini dan rakyat begitu mengharapkan peranan yang lebih baik lagi di dalam usaha memartabatkan kesenian dan kebudayaan etnik Sabah ke mata dunia.
Ramai berpendapat,sebagai anak kelahiran Sabah,Jeffrey boleh menumpukan perhatiannya sebagai Timbalan Menteri Pelancongan,Kesenian dan Kebudayaan untuk Kepulauan Borneo khususnya Sabah dan Sarawak manakala Datuk Seri Hjh.Nancy Shukri pula mungkin berperanan besar untuk menumpukan kawasan tanah semenanjung dan global.
“Sabah banyak etnik,banyak kesenian dan kebudayaan masing-masing..Maka banyak juga lah produk-produk tempatan yang memerlukan ruang pasaran terbuka agar kesenian kita tetap terpelihara serta terkenal di seluruh dunia.
Ini turut menyumbang ke arah pemantapan indutri pelancongan tersebut berasaskan dengan apa yang kita ada sejak dulu seperti contohnya Gunung Kinabalu,Kundasang...Lokasi-lokasi bersejarah dan peranginan yang merata di seluruh negeri.
Kita akan mantapkan lagi apa yang sudah ada dan terus berusaha untuk memperkenalkan Sabah ke seantero dunia,” kata Jeffrey lagi yang juga merupakan Presiden Star Sabah.
Bercakap mengenai perjuangan beliau sebagai Pejuang Hak-Hak Rakyat Sabah dan tuntutan yang dilaung-laungkan sebelum ini,Jeffrey menegaskan bahawa perjuangan tersebut masih sebati dalam jiwanya biarpun sudah berada di dalam pihak kerajaan.
“Kita juga sudah ada Maximus di JPM (Menteri Hal Ehwal Sabah Sarawak) dan YB Jonathan sebagai Timbalan Menteri KDN...Kita akan meneruskan perbincangan untuk tuntutan berkenaan dan YAB Perdana Menteri juga sudahpun mengatakan bahawa isu Sabah Sarawak perlu di pandang serius dan semakin diperhalusi.
Jangan fikir kami sudah berada di pihak kerajaan,maka perjuangan menuntut hak rakyat Sabah Sarawak itu akan luntur...Tidak sama sekali.
Malah inilah kesempatan yang ada untuk kita lebih gigih lagi berusaha demi untuk rakyat dan Sabah Tanahair kita yang tercinta,” ujarnya lagi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya memandang serius dalam mengendalikan isu kepentingan Sabah dan Sarawak termasuklah isu pembangunan serta kemajuan sosio ekonomi di kedua-dua negeri Borneo itu.
“Kabinet saya akan memastikan bahawa semangat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 itu diterjemahkan dalam bentuk dasar serta program yang memberikan manfaat secara langsung kepada Sabah dan Sarawak,” ucap Perdana Menteri tersebut ketika membacakan senarai barisan kabinet persekutuan Perikatan Nasional 2020.
Rakyat Sabah amat berterima kasih kepada PM8 oleh kerana keprihatinannya dalam mengambil perhatian akan kepentingan dan hak-hak Sabah dan Sarawak dibawah MA63 menerusi urus tadbir kerajaan baru PN. Harapan rakyat Sabah agar MA63 ini akan dapat diselesaikan dengan tuntas.
ReplyDelete