Tuesday, March 3, 2020

Corat-Coret Politik  
UNDI TIDAK PERCAYA DI PARLIMEN
Oleh Dato' Seri Abdul Rahman Dahlan

Apakah DS Anwar Ibrahim, Mat Sabu dan 
Lim Guan Eng akan meletak jawatan untuk mengambil tanggungjawab jika undi tidak percaya gagal?

Undi tidak percaya boleh dilakukan di parlimen. 

Walaupun dalam peraturan mesyuarat parlimen Malaysia tidak ada peruntukan spesifik untuk mengusulkan undi tidak percaya, ada beberapa cara untuk menujukkan undi tidak percaya.

Salah satunya ialah dengan tidak meluluskan bajet atau mana-mana rang undang-undang kerajaan yang dibentangkan di parlimen.

Undi tidak percaya kepada kerajaan bukan perkara remeh. Ia memberi kesan yang besar yang akan menyebabkan ketidakstabilan politik dan ekonomi negara.

Jika undi tidak percaya berjaya maka ada beberapa perkara yang akan terjadi.

(1) Perdana Menteri terpaksa letak jawatan dan kerajaannya terbubar dengan sendirinya.

(2) seorang ahli parlimen dari pembangkang akan menawarkan dirinya sebagai Perdana Menteri baru.

(3) seorang ahli parlimen dari parti pemerintah juga boleh cuba untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli parlimen dari semua parti dan menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri baru.

(4) Perdana Menteri boleh menasihati YDP Agong untuk membubarkan parlimen supaya pilihanraya umum diadakan. Itu terpulang kepada kebijaksanaan YDP Agong untuk memperkenankannya atau tidak. 

Tetapi ada satu perkara yang jarang orang perkatakan. Apa jadi jika undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dibawa oleh pembangkang tidak berjaya?

Sebenarnya undi tidak percaya juga bukan saja berkait dengan kredibiliti seorang Perdana Menteri. Ia juga adalah berkenaan kredibiliti pembawa usul.

Apa yang akan berlaku kepada pemimpin pembangkang jika undi tidak percaya gagal?

Bila undi tidak percaya gagal, secara budiman (gentleman), pemimpin parti pembangkang yang membawa usul itu wajib letak jawatan kerana kegagalan yang memalukan itu.

Persoalannya samaada DS Anwar Ibrahim, Mat Sabu dan Lim Guan Eng akan meletak jawatan untuk mengambil tanggungjawab atas kekalahan undi tidak percaya?

Undi tidak percaya adalah perkara serius untuk negara. Ianya tidak boleh dibuat sambil lewa tanpa ada pertanggungjawaban dari pembawa usul.

DARD
03.03.20
Tuaran, Sabah.

No comments:

Post a Comment