oleh Sam Hj.Othman
Ir.Abdul Aziz |
KOTA KINABALU: Pemimpin Perikatan Nasional (PN) perlu menolak sebarang usaha Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya untuk menyertai perikatan itu.
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir.Abdul Aziz Julkarnain berkata, seandainya Warisan memilih untuk menyokong Kerajaan Persekutuan, itu lebih baik agar rakyat Sabah mendapat manfaatnya.
"Namun sekiranya Warisan memilih untuk menyertai Perikatan, para pemimpin Perikatan perlu menolak sepenuhnya".
"Ini kerana ketika ini Warisan bersama-sama UPKO dan PH masih berhajat untuk menyokong Tun Dr. Mahathir Mohammed sebagai calon Perdana Menteri apabila Dewan Rakyat bersidang kelak.
"Sebaiknya Warisan-PH-UPKO perlu membatalkan niat tersebut kerana ianya kerja yang sia-sia. Sudah tiba saatnya, kemelut politik negara dihentikan dengan serta merta.", katanya dalam kenyataan, di sini.
Beliau berkata, gabungan Warisan-PH-UPKO boleh menjadi pembangkang yang baik sebagai penyemak dan pengimbang kepada pentadbiran kerajaan persekutuan sekarang.
Menurutnya, pembangkang juga ada peranan besar kepada rakyat, memandangkan gabungan itu masih kerajaan negeri.
Abdul Aziz berkata, komponen yang menyertai PN terdiri daripada UMNO, PPBM, STAR, PBRS, MCA yang mempunyai pendekatan politik yang berbeza dengan Parti Warisan itu sendiri.
"Polisi-polisi kerajaan Warisan amat bertentangan dengan doktrin bermasyarakat di Sabah apabila berlakunya Sempornasisasi, rancangan pemberian Pas Sementara Sabah (PSS), laungan 'SABAH KITA PUNYA' cukup membimbangkan masyarakat", tegasnya.
Beliau mendakwa, negeri ini juga ditadbir seperti koboi misalnya pelanggaran undang-undang negeri seperti pelantikan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, penganugerahan projek-projek pembangunan yang bernilai billion ringgit secara 'direct award' tanpa sebarang ketelusan dalam proses tender terbuka.
"Ini namanya penjarahan duit rakyat yang berlaku di siang hari terang", tambahnya.
Abd. Aziz optimis, penyertaan Warisan ke dalam Perikatan juga akan mencetuskan konflik kepentingan di antara parti-parti kerajaan terutamanya yang berkaitan dengan isu keabsahan Ketua Menteri Sabah yang bakal diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Beliau berkata, negeri ini harus diselamatkan dengan segera. Penyertaan Warisan ke dalam Perikatan akan membantutkan proses menyelamatkan negeri ini daripada tangan-tangan yang sedang melakukan kerosakan di negeri ini.
"Kami percaya kerajaan Warisan bakal runtuh sedikit masa lagi kerana ramai wakil-wakil rakyat sudah merungut kerana tidak diberi tempat oleh Warisan sebelum ini kerana kecenderungan melaksanakan proses Sempornasisasi secara berlebih-lebihan", tegas Abd. Aziz lagi.
No comments:
Post a Comment